18P

Suara

Peguam Syarie Menulis : Pengukuhan akidah faktor utama kebahagiaan keluarga

BOLEH dikatakan saban hari kita mendengar konflik rumah tangga membabitkan golongan bangsawan, artis, korporat serta pelbagai lapisan masyarakat. Sesetengah konflik itu berakhir dengan perceraian dan sudah pastinya memberi impak kepada maruah individu.

Turut terbabit ialah anak yang menjadi mangsa keadaan menimpa ibu bapa mereka. Perceraian tidak datang dengan sendirinya sebaliknya wujud konflik dalam rumah tangga yang menjurus kepada kes dibawa ke mahkamah.

Disebabkan konflik berpanjangan, ada pihak kadang-kadang menyalahkan Mahkamah Syariah kononnya lewat menyelesaikan kes mereka dengan mengambil kira penderitaan dialaminya.

Sebagai contoh, konflik antara A dan suaminya sudah wujud selama empat tahun dan akibat tidak tahan dengan konflik itu, A memfailkan kes perceraian di mahkamah. Apabila tiga bulan berlalu, A menyalahkan mahkamah kerana lewat menyelesaikan kes dan mendakwa sudah menderita selama empat tahun tiga bulan.

Beliau mengira daripada tarikh wujudnya konflik dengan mengambil kira sekali kes difailkan ke mahkamah seterusnya menyalahkan mahkamah atas kelewatan itu. Mahkamah menyelesaikan kes berdasarkan permohonan dikira daripada tarikh kes difailkan bukan tarikh konflik itu berlaku.

Konflik berlaku apabila ada ahli keluarga yang tidak bersetuju mengenai sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Antaranya, siapa yang patut melakukan tugas tertentu, bagaimana sumber digunakan secara bersama ataupun bagaimana keputusan harus dibuat.

Perbezaan itu memberi kesan kepada seluruh atau sebahagian ahli keluarga menyebabkan isu boleh bertukar menjadi konflik. Sebuah keluarga boleh bergaduh mengenai isu yang bersifat tunggal, jelas ataupun membabitkan hubungan seperti kuasa, kasih-sayang dan autonomi pasangan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan terimalah pesanku untuk berbuat kebajikan kepada wanita kerana mereka itu dijadikan dari tulang rusuk yang paling bengkok iaitu yang paling atas. Jika kamu hendak luruskan nescaya kamu patahkan dia, jika kamu biarkan dia, tetaplah dia bengkok kerana itu terimalah pesanku untuk berbuat baik kepada wanita.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Kebahagiaan keluarga adalah tanggungjawab semua ahli khususnya ibu bapa. Bapa atau suami khususnya, harus mempunyai peribadi baik, bertanggungjawab dan matang supaya penelitian yang saksama, adil dan berhati-hati dapat dilaksanakan dalam keluarga.

Firman Allah bermaksud: “Bahawa Dia menjadikan kamu dari jenis kamu jodoh dan kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih-sayang, sesungguhnya itu, ada tanda ayat-ayat bagi kamu yang mahu berfikir.” (Surah Ar-Rum, ayat 21)

Suami isteri yang berkongsi kehidupan bertahun-tahun, malah sehingga akhir hayat pasti tidak dapat lari daripada menempuh dugaan berumah tangga. Kadangkala, perkara kecil terbawa-bawa menjadi kes besar, bermasam muka dan berbalah.

Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Alwi Parman, berkata pertelingkahan berlaku sebagai satu cubaan kepada pasangan kerana ada dosa dengan Tuhan yang mungkin tidak disedari pasangan terbabit.

Berdasarkan kajian, pelbagai punca berlakunya konflik seperti mengabaikan pendidikan agama, ekonomi tidak mantap, kurangnya kefahaman terhadap tanggungjawab, campur tangan keluarga, wujudnya orang ketiga, berlaku keganasan dalam rumah tangga dan kegagalan menguruskan masa dengan bijak.

Antara konflik perlu dielakkan ialah kehadiran orang ketiga. Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman mengakui kehadiran orang ketiga sering kali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang.

Namun menurutnya orang ketiga bukan punca utama perceraian. Mengikut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat yang dijalankan LPPKN pada 2004, cuma 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan. Sebaliknya, tiada persefahaman antara pasangan iaitu 42 peratus.

Konflik dinyatakan jika tidak ditangani dengan bijak oleh pasangan boleh mengundang kepada peningkatan kes perceraian di Mahkamah Syariah. Kebahagiaan keluarga terletak pada banyak faktor dan yang paling utama ialah beragama.

Kenyataan penyanyi, pelakon dan pelawak Salih Yaakob yang mempunyai tiga isteri pada Seminar Kefahaman Poligami di Auditorium Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat Selangor baru-baru ini menarik untuk dihayati.

Katanya, pengukuhan akidah penting kerana apabila akidah sudah utuh, suami akan dapat membimbing keluarga dengan baik. Penerapan nilai agama penting dalam diri dan ia wajar dipupuk dan dibelai dalam keluarga.

Keluarga adalah asas kepada masyarakat dan negara. Institusi kekeluargaan harus ditadbir dengan baik kerana keluarga yang mantap dan stabil dapat menyumbang kepada keharmonian negara. Oleh itu, sebarang tindakan boleh mengundang konflik wajar dielakkan supaya tidak menyumbang kepada kadar perceraian di negara kita.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

About these ads

18/06/2009 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: