18P

Suara

Kadar minimum mas kahwin wajar diselaraskan

Oleh Musa Awang

Isu maskahwin pernah dibincangkan suatu ketika dahulu. Pengumuman kerajaan Selangor mulai 1 Januari tahun hadapan, kadar maskahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 samada anak dara atau janda berbanding kadar semasa iaitu antara RM80 bagi anak dara dan RM40 bagi janda, membuka minda Penulis untuk membincangkannya diruangan. Beberapa perkara terlintas difikiran Penulis, pertamanya ialah tentang perbezaan jumlah mas kahwin setiap negeri di Malaysia. Keduanya tentang kadar minimum maskahwin. Ketiganya, adakah wajar jumlah maskahwin ditetapkan oleh pemerintah atau diserahkan kepada masyarakat untuk menentukan jumlah maskahwin.

Menurut undang-undang Keluarga Islam, maskahwin ialah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, samada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak dapat dinilai dengan wang. Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nisaa’ ayat 4 yang bermaksud : ” Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka.” Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadith riwayat Bukhari yang bermaksud : “Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi .”

Maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanafaat. Dalam hadith riwayat Ahmad Ibnu Majah, Tarmizi bahawa Rasulullah pernah menikahkan seorang perempuan dengan maskahwin sepasang sepatu wanita dengan persetujuan wanita itu. Dalam hadith yang lain riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda s.a.w juga pernah menikahkan seorang lelaki dengan seorang wanita dengan maskahwin lelaki itu mengajarkan kepada wanita itu beberapa hafazan surah dalam Al-Qur’an, kerana lelaki itu tidak mempunyai apa-apa harta yang boleh dijadikan maskahwin.

Maskahwin wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut semasa akad nikah. Jika maskahwin disebut dalam akad akan dibayar secara tunai oleh suami, isteri berhak menghalang suami dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu. Sekiranya isteri diceraikan sebelum berlaku persetubuhan, maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya, maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu”. Kadar maskahwin juga akan diambilkira untuk Hakim semasa menentukan kadar tebus talak sekiranya pihak-pihak itu ditakdirkan kemudiannya bercerai secara tebuk talak. Apabila maskahwin tidak dibayar dan tidak dihalalkan oleh isteri, isteri berhak mendapat maskahwin itu walaupun setelah bercerai.

Kadar maskahwin telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri. Kadar maskahwin di Johor RM 22.50, Melaka RM40.00, Perak RM101.00, Pulau Pinang RM24.00, Pahang RM22.50, Sarawak RM120.00, dan Labuan RM80.00 yang mana tidak dibezakan samada dara atau janda. Manakala di Selangor dan Kuala Lumpur RM 80.00 bagi dara manakala janda RM 40.00, Negeri Sembilan RM24.00 bagi anak dara dan RM12.00 bagi janda, Sabah RM 100.00 bagi dara dan RM 80.00 bagi janda, dan di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan jumlah maskahwin tidak ditetapkan oleh pemerintah. Adalah suatu perkara yang memalukan apabila sebuah negara Islam yang kecil seperti Malaysia mempunyai kadar maskahwin yang berbeza-beza antara negeri. Sudah sampai masanya nilai maskahwin itu diselaraskan dan diseragamkan di semua negeri di Malaysia. Perlu juga dikaji keperluan dibezakan maskahwin antara anak dara dan janda kerana tidak terdapat nas yang jelas yang membezakan maskahwin antara anak dara dan janda.

Hukum Syarak tidak menghadkan kadar minimum atau maksimum maskahwin. Islam mengiktiraf bahawa setiap orang berbeza kaya dan miskinnya, lapang dan sempit rezekinya. Islam juga mengiktiraf bahawa setiap masyarakat juga mempunyai adat dan tradisinya yang tersendiri. Kerana itu Islam menyerahkan masalah jumlah maskahwin itu berdasarkan kemampuan dan tradisi masing-masing. Jadi untuk menentukan banyak atau sedikit maskahwin terpulang kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut. Namun demi menjaga maslahah ammah umat Islam hari ini, supaya jumlah mas kahwin tidak diletakkan sewenang-wenangnya atau direndahkan ke tahap yang boleh merendahkan status wanita, adalah wajar bagi pemerintah menetapkan jumlah maskahwin.

Dalam perkembangan ekonomi hari ini, wajarkah kadar maskahwin serendah RM12.00 atau RM22.50? Dengan nilai sebanyak itu, berapa banyakkah barang yang anda boleh beli? Mungkin satu atau dua barang kecil sahaja. Maskahwin itu adalah hak isteri hatta bapa sebagai wali sekalipun tidak berhak menerima maskahwin kecuali isteri meredhainya. Sesetengah golongan melihat maskahwin sebagai lambang status dan taraf si isteri yang diambil oleh suami sebagai pasangan hidupnya. Adakah status atau taraf wanita hari ini serendah RM12.00 atau RM22.50? Maka sudah sampai masanya negeri-negeri yang lain mencontohi kerajaan Selangor untuk mengkaji semula kadar maskahwin kerana aturan tersebut telah dilaksanakan sejak 30 tahun yang lalu, dan menyelaraskan kadar maskahwin tersebut di antara negeri-negeri.

Penulis berpandangan, kadar maskahwin yang akan ditetapkan tersebut sewajarnya dijadikan kadar minimum maskahwin. Sekiranya kedua belah pihak bersetuju memberikan lebih dari kadar minimum yang ditetapkan tersebut, terpulanglah kepada mereka kerana Syarak tidak pernah menghalang untuk berbuat demikian, jika dipersetujui oleh pihak-pihak. Dalam Surah an-Nisa’ ayat 20 Allah s.w.t berfirman yang bermaksud “dan kamu telah memberikan kepada salah seorang mereka (isteri-isteri) mahar yang banyak.” Untuk menentukan jumlah maksimum mas kahwin ia dinilai secara Mahr Mithil atau Mahr Musamma. Mahr Mithil ialah maskahwin yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu, di kalangan keluarga yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya, di samping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya. Manakala Mahr Musamma ialah maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

Cuma perlu ditekankan bahawa Hukum Syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi sampai ke tahap yang boleh menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud: ” Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ” Dan sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadith riwayat Ahmad yang bermaksud “Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya.” Kadar minimum maskahwin wajar diseragamkan di semua negeri termasuk negeri-negeri yang sebelum ini tidak menetapkan kadar maskahwin seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Sekiranya urusan sekecil-kecil ini boleh diselaraskan, bukan sahaja masyarakat Islam, malah masyakat bukan Islam akan nampak kesatuan umat Islam di Negara ini. Pemerintah berperanan menetapkan jumlah minimum maskahwin, tetapi masyarakat diberi pilihan untuk menentukan kadar maksimum maskahwin atas persetujuan kedua belah pihak

26/12/2009 - Posted by | Uncategorized

2 Comments »

  1. Saya cadangkan di selaras satu malaysia agar mas kawin minima ialah 1 dinar emas. Duit kertas tak boleh simpan lama .. Luput nilainya. Dinar emas tak kan luput nilanya. Sesuai di simpan si isteri. InsyaAllah baru Berkat nikah …

    Comment by Izzuddin | 18/04/2011 | Reply

  2. Saya setuju dengan isu ini. Semoga ada perkembangan yang positif dari pihak pemerintah. Ia wajar dibincangkan di dalam majlis raja-raja juga.

    Comment by Siti Raudhah Amri | 16/10/2011 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: