18P

Suara

IJTIHAD

PENGENALAN

Setiap manusia perlukan sesuatu untuk menentukan ketetapan masing-masing. Ada ssetengahnya berijtihad untuk menentukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan. Disamping itu ia dilakukan dengan segala akal pemkiran dan kesungguhan untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah dengan jalan istinbat daripada Al-Quran dan Hadis. Lapangan ijtihad pula mestilah kejadian yang tiada nas syarak yang jelas tentang hukumnya. Manakala mujtahid pula ialah ahli fekah yang mencurahkan kesungguhan dan ketekunan untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil terperinci atau tafsili daripada dalil-dalil syariat. Kesan perkembangan dan kelahiran tokoh baru telah memberi ruang yang baik kepada umat Islam, dimana walaupun sesebuah negara telah menetapkan sesuatu aliran mazhab di negara mereka. Ijtihad merupakan perkara yang penting di dalam pembinaan hukum. Ijtihad sentiasa berkembang mengikut kesesuaian masa, keadaan dan tempat. Oleh itu ijtihad merupakan suatu kehujahan dalam pembinaan hukum kerana ijmak juga berdasarkan ijtihad dan ijtihad itu sendiri diharuskan oleh syarak.
PENGERTIAN IJTIHAD
Ijtihad mempunyai dua pengertian iaitu dari segi bahasa dan istilah. Pada bahasa: Menurut bahasa ia mempunyai beberapa maksud (Abd Latif Muda et.al 1997: 256): a. Ijtihad berasal daripada kata ijtihada (اجتهد), yang bermaksud menggunakan tenaga sepenuhnya. b. Bersungguh-sungguh dalam sesuatu perbuatan atau pekerjaan. c. Menggunakan segala kemampuan.
Di dalam kitab Al-Wajiz fil Usul Fiqh, ijtihad dari segi bahasa ialah kekuatan dan keupayaan di mana dengan berusaha besungguh-sungguh dan mengerah seluruh tenaga untuk mencapai sesuatu. (Abd Karim Zaidan 2006: 317)
Pengertian Istilah
Ijtihad menurut istilah pula, ialah (Abd Wahhab Khallaf 1995: 256):
a. Mencurahkan tenaga sepenuhnya dan sebanyak mana untuk mendapatkan hukum syarak yang berbentuk amali dengan cara istinbat daripada dalil-dalil dan sumber syarak. b. Mencurahkan segala tenaga untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil yang terperinci atau tafsili dari dalil-dalil syariat. c. Usaha seseorang mujtahid dengan mengerah segala kemampuan yang ada untuk memperolehi hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf melalui cara yang ditetapkan oleh syarak.
Di dalam kitab Al-Wajiz fil Usul Fiqh, ijtihad bermaksud mengerahkan sepenuh usaha dan tenaga untuk mendapatkan hukum syarak.
RUKUN IJTIHAD
Terdapat tiga rukun ijtihad iaitu (Abd Karim Zaidan 2006: 317):
1. Al-Mujtahid, iaitu orang yang berijthad 2. Al-Mujtahad fih, iaitu usaha 3. Ijtihad
HUKUM BERIJTIHAD
Ulama bersepakat mengatakan harus berijtihad dalam mengeluarkan hukum apabila cukup syarat tertentu. Hukum harus bermula dengan sejarah ijtihad para ulama berdasarkan hadis Muaz bin Jabal ketika beliau diutuskan menjadi wakil di Yaman. Sebagaimana hadis yang diriwayat oleh Ahmad dan Abu Daud:
ما روى أن النبي (ص) قال لمعاذ : لما تحكم؟ قال بكتاب ألله تعالى , قال : فان لم تجد؟ قال :        بسنة رسول ألله (ص) , قال : لم تجد؟ قال :اجتهد رأيى ولا آلو. فقال النبي عليه السلا                                     الحمدلله الذي وفق رسول ألله (ص) لما يحبه ويرضاه فان رسول ألله . (رواه أحمد و ابو دأود)
Maksudnya:
“Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab:’ Saya akan memutuskan hokum berdasarkan Kitab Allah S.W.T.’ Nabi bertanya lagi,’ Sekiranya kamu tidak mendapati didalam Kitab Allah?’ Jawab Muaz.’ Saya akan memutuskan berdasarkan Sunnah.’ Tanya Nabi lagi,’ Sekiranya engkau tidak menemui didalam Sunnah?’ Muaz menjawab,’ Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda,’ Segala puji bagi Allah yang telah member taufiq kepada utusan Rasulullah S.A.W. ke arah sesuatu yang diredhainya.”  (Abd Latif Muda et.al 1997: 256)
        (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
DALIL HARUS BERIJTIHAD
Melalui ijtihad, hukum Islam terus berkembang sesuai dengan tempat, masa dan keadaan. Selain itu, dengan ijtihad juga terbentuknya qiyas dan ijmak ulama. Justeru, ijtihad adalah diharuskan dan suatu amalan terpuji. (Abd Latif Muda et.al 1997: 258) Terdapat beberapa dalil sabit harus berijtihad, antaranya ialah: 1. Sebagaimana Firman Allah S.W.T :
   
Maksudnya: “ Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.” (Surah Al-Hasyr ayat 2)
2. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
اذا اجتهد الحاكم واصاب فله اجران واذا اجتهد فأخطأ فله اجرا واحد                                                                 (رواه البخارى ومسلم)
“Apabila seseorang hakim menjatuhkan hukuman lalu ia berijtihad dan didapati apa yang ia ijtihadkan itu benar, maka ia mendapatkan 2 pahala, sekiranya pula ia menjatuhkan hukuman dan berijtihad serta salah maka ia mendapat satu pahala sahaja.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
SYARAT-SYARAT MUJTAHID
Seseorang ahli ijtihad dan mujtahid itu mestilah mempunyai serta memenuhi syarat seperti berikut(Abd Wahhab Khallaf 1995: 259):
1. Islam dan bersifat adil. 2. Baligh. 3. Mengetahui nas dan dalil yang berkaitan dengan hukum hakam walaupun tidak menghafalnya. 4. Mengetahui tentang dalil akal dan kehujahannya. 5. Mengetahui tentang al-Quran dan hadis beserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan syariat. 6. Mengetahui tentang qiyas iaitu merangkumi illah, hikmat, kemaslahatan masyarakat serta ’urf. 7. Mampu mengetahui mengenai masalah-masalah ijmak serta tempat-tempat berlaku ijmak. Ini kerana agar mereka tidak mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengannya. 8. Mengetahui serta memahami bahasa Arab dengan baik dan sempurna agar dapat mentafsirkan al-Quran dan Hadis dengan baik serta dalam mengistinbatkan hukum. 9. Mengetahui tentang nasikh mansukh daripada al-Quran dan Hadis. 10. Mengetahui ilmu Usul Fiqh kerana ia merupakan asas dalam berijtihad dan istinbat hukum. 11. Mempunyai kefahaman yang baik supaya dapat membezakan antara pendapat yang benar dan yang salah. 12. Mengetahui tentang sebab nuzul ayat dan sebab datangnya hadis atau asbab wurud hadis serta syarat hadis mutawatir dan Ahad.
PERINGKAT HUKUM BERIJTIHAD
Para ulama telah membahagikan pula tuntutan ijtihad kepada beberapa bahagian, iaitu(Abd Latif Muda et.al 1997:258):
1. Ijtihad fardu ain 2. Ijtihad fardu kifayah 3. Ijtihad sunat 4. Ijtihad haram
Ijtihad Fardu Ain
Ijtihad ini adalah ijtihad yang wajib dilakukan oleh seseorang atau individu tertentu yang mempunyai kemampuan dan kelayakan serta tiada orang lain lagi selain dirinya untuk menyelesaikan masalah dan perkara yang berkaitan dengan masalah hukum sama ada masalah dirinya mahupun masyarakat. Ijtihad fardu ain terbahagi pula kepada dua jenis (Abd Latif Muda et.al 1997: 258):
i. Ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid terhadap sesuatu hukum dan permasalahan yang ditanya oleh masyarakat atau individu tertentu dan tiada orang lain lagi yang layak berijtihad kecuali dirinya sahaja.
ii. Ijtihad dilakukan oleh seseorang mujtahid dalam sesuatu masalah hukum untuk dirinya sendiri atau tanpa pertanyaan oleh masyarakat dan individu lain.
Ijtihad Fardu Kifayah
Ijtihad fardu kifayah adalah ijtihad yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kelayakan berijtihad. Tetapi, selain dirinya terdapat orang lain yang berkelayakan untuk berijtihad bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan hukum. Oleh itu, berijitihad baginya menjadi fardu kifayah apabila dia yakin ada orang lain yang masih mampu menyelesaikan masalah hukum. Terdapat dua jenis ijtihad ini, iaitu(Abd Latif Muda et.al 1997: 261) : i. Seseorang mujtahid yang diajukan kepadanya tentang permasalahan dan masih ada orang lain atau mujtahid lain yang mampu berijtihad. Walaupun begitu, jika dia meninggalkan atau tidak menyelesaikan masalah itu, maka tidak ada orang yang akan berijtihad.
ii. Seseorang mujtahid yang ragu-ragu denagn ijtihad mujtahid lain dan ia cukup syarat sebagai mujtahid, maka ketika itu menjadi fardu kifayah bagi dirinya untuk berijtihad terhadap hukum dan permasalahan yang diajukan itu.
Ijtihad Sunat
Ijtihad yang merupakan ijtihad untuk menyelesaikan masalah hukum-hakam yang mana ijtihad itu dilakukan oleh seseorang yang memenuhi syarat berijtihad untuk menyelesaikan perkara dan masalah yang akan berlaku. Ijtihad sunat ini ada beberapa jenis, seperti(Abd Latif Muda et.al 1997: 260) : i. Seseorang mujtahid yang berijtihad dalam sesuatu masalah yang ditanya oleh individu atau masyarakat mengenaia hokum. Namun begitu, perkara atau permasalahan yang ditanya itu belum berlaku dan belum wujud ketika itu. ii. Seseorang mujtahid yang berijtihad tentang sesuatu masalah dan hokum yang belum berlaku atau tidak berlaku yang mana ia berijtihad tanpa apa-apa faktor atau sebab.
Ijtihad Haram
Ijtihad haram adalah ijtihad yang dilakukan seseorang yang mana caranya bercanggah atau tidak memenuhi syarat mujtahid serta bercanggah dengan nas. (Abd Latif Muda et.al 1997: 261)
MARTABAT IJTIHAD
Berdasarkan ijtihad para ulama dan mujtahid, terdapat empat peringkat bahagian martabat, iaitu: (Abd Latif Muda et.al 1997:262)
1. Ijtihad Mutlak
Ijtihad ini merupakan ijtihad peringkat pertama dan paling tinggi. Ijtihad ini bermaksud ijtihad yang dilakukan seseorang mujtahid dengan berasaskan sumber dan dalil hukum secara langsung iaitu al-Quran dan Hadis. Kemudian, mereka membawa dalil hukum furuk melalui Istihsan, Masalih al-Mursalah serta Sadd al-Zarai’. Ijtihad peringkat ini menggunakan segala pendalilan dan istinbat hukum secara bebas tanpa berpegang kepada mana-mana Imam. Sebagai contoh para sahabat, Abu Bakar dan Umar, tabi’i seperti Sa’id dan para fuqaha mazhab seperti Imam Malik Bin Anas. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)
2. Ijtihad Muntasib
Ijtihad ini adalah ijtihad darjat yang kedua. Ia bermaksud ijtihad yang dilakukan oleh seseorang dengan berasaskan kepada pendapat Imam mazhab tertentu. Mujtahid peringkat ini hanya mengikuti Imam mazhab mereka dalam perkara usul sahaja. Manakala dalam perkara furuk, mereka berselisihan pendapat dengan Imam yang mereka ikuti. Contohnya ijtihad Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hasan daripada pengikut Imam Hanafi. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)
3. Ijtihad Dalam Mazhab
Ini merupakan ijtihad dan mujtahid peringkat ketiga. Ia adalah ijtihad yang dilakukan dengan berasaskan pendapat Imam Mazhab yang mana mereka ikuti dalam perkara usul dan furu’. Dalam keadaan lain, ijtihad dalam mazhab ini, mujtahid mengetahui dan menemui dalil yang menjadi pegangan Imam Mazhab dan mereka yang berkemampuan untuk memilih dan mentakhrijkan atau mengeluarkan pendapat-pendapat Imam mereka yang pelbagai jenis. Dalam masalah yang baru lahir, mereka akan berijtihad berasaskan metode imam mereka. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)
4. Ijtihad Dalam Fatwa
Ijtihad ini adalah ijtihad yang diambil daripada pendapat-pendapat imam mazhab mana-mana pendapat yang kuat atau rajih dan diambil untuk dijadikan fatwa. Mereka juga menilai dan mencari mana-mana pendapat Ashab Imam Mazhab yang berbagai-bagai dan dipilih yang paling sahih riwayatnya, yang paling kuat atau yang paling hampir kepada sahih untuk dijadikan fatwa. Mujtahid dan ijtihad mempunyai dia peranan utama, iaitu takhrij atau mengeluarkan dalil yang digunakan oleh Ashab Imam Mazhab serta tarjih atau tentukan kedudukan dalil yang digunakan. Mereka dikira bertindak sebagai murajjih terhadap pendapat Imamnya yang berbagai-bagai dan berbeza sebelum mengeluarkan fatwa. (Abd Latif Muda et.al 1997: 262)

SYARAT DAN CARA BERIJTIHAD
Seseorang mujtahid itu mestilah mengikuti cara tertentu untuk berijtihad, seperti berikut(Abd Latif Muda et.al 1997: 263)
1. Mestilah terlebih dahulu meneliti nas yang terkandung dalam al-Quran, kemudian meneliti pula hadis mutawatir dan hadis Ahad dalam penetapan hukum serta menyelesaikan masalah yang dihadapinya. 2. Sekiranya mujtahid tidak menemui nas yang menjelaskan hukum dalam al-Quran dan hadis, maka mujtahid mestilah berpegang dan mengambil zahir nas al-Quran dan Hadis serta apa yang dapat diambil daripada keduanya itu tentang apa-apa sahaja yang dapat dijadikan pegangan yang berbentuk mantuk dan mafhumnya. 3. Sekiranya mujtahid tidak menemui hukum melalui jalan kedua, ia mestilah meneliti dan menilai segala perbuatan Nabi dan selepas itu taqrir baginda. Selepas itu pula, ia hendaklah berijtihad melalui jalan penetapan hukum cara qiyas dengan berdasarkan illah atau sebabnya. 4. Sekiranya jalan dan cara ketiga juga tidak berhasil sehingga tidak menemui hukum tersebut, mujtahid mesti berpegang pula dengan bara’ah asliyyah. Selain itu, apabila mujtahid itu menemui dua dalil atau nas yang bertentangan, maka ia hendaklah terlebih dahulu mencari dan menilai serta melihat dalil itu dari sudut ia dapat diterima kedua-duanya sebagai dalil hukum. Ini kerana, dengan berpegang kepada kedua dalil itu adalah lebih baik daripada meninggalkan salah satu daripadanya.

MAKSUD IJTIHAD BI AL-RA’Y
Menurut istilah Ulama usul fiqh, ijtihad ialah mencurahkan seluruh kemampuan untuk mencapai sesuatu kesimpulan hukum syariat secara operasional dari dalil-dalilnya secara terperinci. Dan yang dimaksud dengan bi al-ra’y, menurut mereka adalah dengan menggunakan akal fikiran yang ditunjang dengan peraturan-peraturan yang telah ditunjukkan syariat, sehingga mencapai kesimpulan suatu hukum yang tidak ada nas.
Dengan demikian, ijtihad bi al-ra’y ini dapat disimpulkan, “mencurahkan kemampuan daya fikir di dalam upayanya mencapai suatu kesimpulan suatu hukum yang tidak ada nas nya dengan menggunakan peraturan-peraturan yang ditentukan syariat mengenai masalah tersebut(Abd Latif Muda et.al 1997: 26).
Melakukan ijtihad di dalam suatu khusus yang ada nasnya sekalipun, nas tersebut bersifat zanni diguna untuk menentukan makna yang dikehendaki nas tersebut. Tetapi hal seperti ini menurut ulama usul belum lagi dikatakan sebagai ijtihad bi al-ra’y. Kemudian, melakukan ijtihad terhadap berbagai permasalahan yang tidak ada nas nya tetapi tidak ditunjang dengan peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh syariat, menurut ulama usul juga tidak lagi dikatakan sebagai ijtihad bi al-ra’y.
Akal merupakan medium terpenting ijtihad terhadap permasalahan yang tidak ada nasnya, yang memerlukan bimbingan dengan berbagai peraturan yang telah ditentukan oleh syariat. Hal ini kerana cara tersebut lebih dapat memberikan jaminan terhadap kebenaran kesimpulan dan jauh dari kemungkinan tergelincir, di samping lebih memungkinkan sampai kepada tujuan utama, yakni tercapainya kemaslahatan umat. Pendapat ini merupakan pendapat yang terpuji dan benar, serta sesuai dengan pengertian yang di ungkapkan Muaz bin Jabal ketika ia ditanya oleh Rasulullah saw:
كيف تقضى اٍذا عرض لك قضاء؟ قال معاذ: أقضى بكتاب الله فاٍن لم أجد فبسنة رسول الله فاٍن لم أجد أجتهد رأيى.                                                                                           
Maksudnya:
“Bagaimana engkau akan memutuskan hukum jika ditanyakan perkara kepadamu?” Mu’adz menjawab, “Saya akan memutuskan perkara itu sesuai dengan hukum Allah (Kitabullah). Apabila aku tidak menjumpai di dalam Kitabullah, aku akan memutuskan dengan Sunnah  Rasulullah, saya akan melakukan ijtihad dengan kemampuanku”.
Pengertian seperti itu sesuai dengan penyataan Abu Bakar r.a ketika ia menjawab pertanyaan mengenai makna kalalah yang disebut di dalam ayat yang berbunyi, Wa in kana rujulun yuratsu kalalah, kemudian Abu Bakar memberikan jawapan:
أقول فيها برأيى فاٍن كان صوابا فمن الله واٍن كان خطأ فمنى.                                        
Maksudnya :
“Saya akan memutuskan masalah ini dengan pendapatku. Jika ternyata benar, maka bererti kebenaran itu dari Allah. Dan jika keliru, maka kekeliruan itu datang dariku sendiri. Pengertian kalalah ialah ahli waris selain anak dan orang tua, yakni ahli waris yang hanya terdiri dari saudara”.
Kemudian, pendapat akal yang tidak ditunjang dengan peraturan yang ditentukan oleh syariat, maka keputusannya itu banyak dikuasai oleh hawa nafsu dan lebih dekat dengan kekeliruan. Kenyataan ini merupakan gejala yang sangat tercela, sesuai dengan perkataan Umar bin Khaththab:
اٍياكم وأصحاب الرأي.                                                                                       
Maksudnya :
“Hati-hati kalian terhadap ashhabu r’-ra’yi”.
Selain itu, para sahabat juga pernah memberikan peringatan:
من قال فى الشرع برأيه فقد ضل وأضل.                                                                
Maksudnya :
“Barang siapa yang menentukan hukum syariat berdasarkan pendapatnya sendiri, maka orang itu tersesat dan menyesatkan”.
Berdasarkan huraian tersebut, jelas bahawa ijtihad bi al-ra’y adalah merupakan salah satu ijtihad secara umum. Sebab, pengertian ijtihad secara umum itu meliputi:
a) Mencurahkan seluruh daya untuk mencapai hukum yang dikehendaki nas yang zanni dalalahnya.
b) Mencurahkan daya fikir untuk sampai pada suatu kesimpulan hukum dengan cara menerapkan kaedah-kaedah syariat yang bersifat kulli.
c) Mencurahkan daya fikir untuk sampai pada suatu kesimpulan hukum yang tidak ada nas dengan cara qiyas atau istihsan atau istishlah atau cara lain yang merupakan peraturan yang telah ditentukan oleh syariat di dalam tangka memutuskan permasalahan yang tidak ada nasnya. (Baharum Abu Bakar et.al 1984:3)
IJTIHAD YANG DIBOLEHKAN TERHADAP PELBAGAI KEJADIAN
Suatu hal yang tidak diperselisihkan lagi oleh para ahli fiqh bahawa Allah swt tidak menciptakan manusia ini dengan sia-sia. Selama ia adalah seorang Muslim, maka ia dibolehkan mengambil peranan aktif di dalam menentukan hukum terhadap kejadian-kejadian yang dihadapi di dalam berbagai kehidupan. Sebab terdapat adanya hikmah bijaksana yang sengaja Allah tidak menentukan seluruh hukum-hukumnya dalam bentuk undang-undang terhadap seluruh kejadian. Tetapi Allah telah menentukan nas hukum di dalam ayat-ayat al-Quran terhadap berbagai kejadian.
Adapun mengenai suatu kejadian atau permasalahan yang hukum dan dalalah nya tegas dan jelas, maka dalam hal ini potensi akal akan tertutup untuk melakukan ijtihad. Dalam hal ini akal dituntut mengikuti selaras dengan hukum yang disebut secara jelas pada nas tersebut.
Di samping itu, hasil ijtihad yang telah lalu tidak akan mempengaruhi hasil ijtihad yang dilakukan saat ini. Dalam hal ini, para ahli fatwa yang terdiri dari sahabat, tabiin, tabi’un dan para mujtahid, sebahagian mereka memberikan fatwa yanng berlainan dengan fatwa sebahagian yang lainnya. Tetapi tidak ada seorang mujtahid pun yang menentang pendapat mujtahid lainnya, lantaran bertentangan dengan fatwa sendiri.
Qiyas adalah saranan utama yang dapat mengantarkan pada suatu keputusan pengambilan hukum. Dan qiyas ini dasarnya diambil dari mengetahui terlebih dahulu illah dinyatakannya suatu hukum pada sebuah nas. Sedang mencari illah suatu  hukum dikaitkan dengan kemaslahatan ditetapkannya hukum tersebut yang juga berhubungan dengan objek yang menjadi saranan hukum tersebut. Dengan demikian menetapkan suatu hukum dengan jalan qiyas hasilnya akan berlainan dengan ijtihad yang lainnya sesuai dengan daya mampu akal dan lingkungan yang ada pada mereka masing-masing.
Berlainan pula dengan hasil ijtihad Imam Asy-Syafi’i yang berpendapat bahawa maslahat yang terkandung dalam masalah untuk mencegah agar ia jangan sampai tidak mengetahui masalah pernikahan. Yang menjadi illah di dalam masalah tersebut ialah kerana ia masih perawan. Kerananya Asy-Syafi’i memutuskan masalah perawan tua sama ketetapannya dengan masalah perawan muda. (Baharum Abu Bakar et.al 1984: 3)
ORANG YANG BOLEH MELAKUKAN IJTIHAD
Orang-orang yang dibolehkan melakukan ijtihad bi al-ra’y ialah orang-orang yang dirinya memenuhi syarat dan ahli di bidang ijtihad, di samping mendapat pengakuan dari seluruh ulama Muslim. Seseorang tidak dibolehkan melakukan ijtihad secara sendirian, sekalipun mempunyai keahlian dan bakat dalam suatu bidang. Sejarah telah mencatatkan suatu bukti bahawa terjadinya kekacauan di dalam fiqh Islam selalu bersumber dari adanya ijtihad secra individu. Namun demikian, ijtihad bi al-ra’y juga tidak boleh dilakukan secara kolektif, kecuali jika setiap individu  yang terlibat di dalamnya telah memenuhi syarat-syarat sebagai mujtahid. Hal ini juga belum boleh dianggap cukup jika tidak melalui jalan-jalan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam di dalam upaya ijtihad bi al-ra’y dan pengambilan istinbat hukum yang tidak ada nasnya.
Jika ijtihad dilakukan oleh jemaah yang memenuhi syarat-syarat ijtihad maka tidak akan terjadi kekacauan dan persengketaan yang tajam. Dan dengan menggunakan alat dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam di dalam melaksanakan ijtihad bi al-ra’y sudah tentu akan menghasilkan ketetapan yang terjamin kebenarannya, selaras dengan kehendak Allah swt. (Baharum Abu Bakar 1984: 11)

RUJUKAN
Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zain. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd
Abd Wahhab Kallaf. 1995. Ilmu Usul Fiqh Wa Khalasah At-Tasyri’ Al-Islami. Darul Fikir Al-Arabi.
Abd Karim Zaidan. 2006. Al-Wajiz fil Usul Fiqh. Lebanon : Resalah Publishers.
Baharum Abu Bakar. Sumber-sumber Hukum Islam. 1984. Risalah Bandung.

12/08/2012 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: