18P

Suara

MIGRAN FILIPINA DI SABAH

MIGRASI DAN DAKWAH : SATU TINJAUAN AWAL DI KALANGAN MIGRAN FILIPINA MUSLIM DI KOTA KINABALU SABAH
Badlihisham Mohd Nasir (Ph.D)
&
Rafihi Wasihim (M.A)

Pengenalan

Migrasi atau hijrah merupakan suatu fenomena yang telah lahir sejak awal perkembangan Islam di Semenanjung Arab. Migrasi yang berorentasikan hijrah bagi memartabatkan Islam dijadikan sebagai batu tanda dalam pengiraan tahun dalam kalender Islam. Justeru kewujudannya yang begitu signifikan, peristiwa hijrah yang telah dirakam oleh Saidina Omar dalam sejarah Islam itu disambut saban tahun bagi mengingati “turning point” yang memberi impak kepada kebangkitan dan perkembangan tamadun Islam di seluruh dunia. Namun dalam suasana sebahagian umat Islam terpaksa menjadi migran, impak positif yang turut diimpikan dari perulangan sejarah ini nampaknya tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya umat Islam terus dibayangi dengan pelbagai masalah dan cabaran justeru berstatus “migran”. Mereka bukan sahaja berhadapan dengan masalah yang terdapat di negara tempat berhijrah tetapi didakwa mempunyai jatidiri keagamaan yang semakin merosot. Prof. Ismail Faruqi pernah mengulas fenomena ini dengan menyandarkannya kepada kegagalan umat Islam memainkan peranan dalam dakwah Islamiah. Kehadiran mereka di Barat hanyalah sebagai melengkapkan hasrat Barat agar umat Islam terus mengikut jejak-langkah budaya mereka, berbanding kebangkitan tamadun baru yang seharusnya dicetuskan di Barat. Sebenarnya, wujud pelbagai masalah dalam konteks migrasi dan dakwah yang kurang diberikan perhatian oleh pengkaji. Kertas ini ingin membuat tinjauan awal terhadap hubungan migrasi dan dakwah di kalangan pendatang Filipina Islam di Sabah. Perbincangan ini dimulai dengan preamble yang dicetuskan oleh Prof. Dr. Faruqi mengenai hubungan di antara migrasi, hijrah dan dakwah dalam konteks cabaran dan harapan perkembangan Islam di Barat dan seterusnya meninjau relevensi gagasan tersebut di kalangan para pendatang Filipina Muslim di Kota Kinabalu Sabah.

Cabaran dan Harapan Perkembangan Islam di Barat Menurut Faruqi

Pengalaman yang diperolehi oleh al-Faruqi sepanjang bergaul dengan masyarakat Barat sejak beliau berhijrah ke sana pada usia mudanya telah memberikan banyak pengalaman hasil pemerhatian dan pengamatan beliau terhadap perkembangan Islam di kalangan masyarakat barat terutamanya di Amerika. Sarjana ini telah melihat sendiri kepesatan kemajuan yang berlangsung di barat sama ada dari segi teknologi mahu pun intelektual yang telah menjana kemajuan ekonomi negara tersebut. Walaubagaimanapun, beliau mengesan satu kelompangan yang amat besar di dasar kemajuan tersebut yang ternyata berkembang di atas paksi falsafah yang menolak faktor ketuhanan. Oleh itu, umat Islam di barat terpaksa berhadapan dengan cabaran yang besar dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah di sana dalam keadaan kekuatan spiritual umat Islam yang turut goyah. Sarjana yang amat peka ini telah mengamati dan menganalisa senario yang berlaku khususnya untuk dianalisis dari perspektif hubungan di atara migrasi, hijrah dan dakwah.

1. Umat Islam Sebagai Imigran Baru di Barat

Menurut Faruqi, sejarah menyaksikan perpindahan tamadun dan kemajuan keilmuan Islam ke barat setelah tragedi kejatuhan Baghdad yang berlaku pada pertengahan abad ke 13M. Abad-abad seterusnya memperlihatkan kebangkitan masyarakat barat dalam mencipta kemajuan dalam kehidupan sedangkan kemajuan tamadun Islam telah dicedok sedikit demi sedikit dan benteng kekuatan umat Islam turut roboh. Sehingga pada akhir abad ke 19M, orang-orang Islam dari Timur mula berhijrah ke negara-negara barat untuk melarikan diri dari kemiskinan hidup di negara sendiri dan mencuba untung nasib di barat.

Manakala, kemaraan kuasa imperialis Barat juga turut meragut bersama hasil kekayaan negara Islam yang dijajah. Maka, walaupun setelah para penjajah memerdekakan negara tersebut namun, pemerintah muslim tempatan masih tidak dapat mentadbir negara mereka dengan baik. Mereka gagal menyediakan peluang pekerjaan serta tidak dapat menangani masalah ekonomi dan politik negara. Senario ini telah mendorong penduduk tempatan berhijrah ke negara-negara yang menjajah mereka dahulu seperti Britain, Perancis dan Itali.

Walaubagaimanapun, kebanjiran umat Islam di negara-negara barat tidak pula mampu mencipta satu gelombang dakwah Islam yang besar di dalam masyarakat barat. Ini disebabkan pemikiran mereka sendiri telah dibentuk oleh para penjajah di negara mereka sebelumnya dengan pelbagai ideologi barat yang jelas mengenepikan langsung nilai-nilai pemikiran Islam. Malahan, kesan penghijrahan mereka di barat turut mendedahkan pemikiran dan kehidupan mereka dengan gaya barat secara lebih dekat.

2. Mentaliti Tidak Islamik Kaum Imigran

Oleh kerana kebanyakan umat Islam yang berhijrah ke barat berasal dari negara yang pernah dijajah oleh kuasa barat maka, secara umumnya corak pemikiran mereka telah terpengaruh dengan idea-idea barat. Malahan, menurut pemerhatian yang dilakukan oleh Faruqi mendapati mentaliti kaum imigran Islam di barat terhadap status mereka adalah sangat rendah dan merasa seolah-olah sebagai peminta sedekah daripada kemajuan barat. Mereka melihat dan mengagumi kehebatan kemajuan kehidupan barat lalu membenci keadaan di negara asal sendiri sehingga mereka mula melupakan ingatan dan budaya asal mereka seiring generasi yang silih berganti seterusnya.

Oleh kerana, matlamat utama penghijrahan mereka adalah untuk mencari kesenangan material maka mereka hanya pergi ke barat dengan poket, minda dan jiwa yang kosong. Mereka pergi tanpa membawa bekalan ilmu-ilmu Islam yang mencukupi serta tanpa membawa matlamat menyebarkan Islam di mana sahaja mereka berada. Maka, peranan mereka yang sepatutnya sebagai pendakwah yang mendokong aspirasi Islam telah lenyap dari jiwa apabila mentaliti penghijrahan mereka tidak dipaksikan kepada mencari keredhaan Allah s.w.t. Malahan, mereka seolah-olah turut hanyut dalam arus keruntuhan pemikiran spiritual masyarakat barat tersebut.

3. Mentaliti Rendah Imigran Islam di Barat

Realitinya kebanyakan imigran Islam di barat adalah berasal daripada negara yang mundur dari segenap segi sama ada ekonomi, sosial dan pendidikan. Justeru itu, umumnya mentaliti mereka adalah rendah dan senario ini telah disedari oleh barat lalu mengambil peluang untuk mengeksploitasi mereka. Tenaga mereka di perah habis-habisan dengan imbuhan yang tidak setimpal langsung berbanding pekerjaan yang dilakukan. Maka, mereka menghadapi masalah untuk meneruskan kehidupan dan bersaing dengan taraf hidup yang tinggi di barat. Kesannya, mereka terdedah kepada kehidupan secara setinggan di pinggir-pinggir kota industri barat.

Malahan, lebih teruk daripada itu imigran Islam di barat turut terdedah dengan konsep peradaban barat yang hanya mementingkan material dan mengenepikan langsung unsur spritual daripada kehidupan. Maka, mentaliti imigran Islam yang rendah tanpa pasakkan Islam yang kukuh ini langsung terpengaruh dan dicemari sewenang-wenangnya oleh kebobrokan pemikiran barat. Lalu, bagaimanakah mereka dapat menjadi pendakwah di tengah-tengah keruntuhan spiritual barat sedangkan mereka sendiri terpaksa berperang dengan krisis identiti hasil pengaruh ideologi barat. Bahkan, izzah Islam turut terkubur dan hilang serta tidak dapat lagi dijadikan aspek yang boleh dicontohi oleh masyarakat barat.

Walaupun menyedari betapa kroniknya kelemahan peranan dakwah di kalangan imigran Islam di Barat, Prof. Faruqi masih menaruh harapan terhadap perkembangan dakwah Islamiah di Barat. Beliau menggariskan beberapa ideanya yang diharap dapat membantu memulihkan usaha perkembangan Islam di Barat.

1. Memahami Konsep Sebenar Hijrah dalam Islam

Menurut Faruqi, Allah s.w.t telah menyarankan manusia agar berhijrah sekiranya keadaan di tempat asal mereka tidak selamat lagi untuk didiami dan tidak bebas lagi melaksanakan tuntutan Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Surah an-Nisa’ yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya dirinya sendiri maka malaikat berkata kepada mereka: Dalam keadaan bagaimanakah kamu ini?. Mereka menjawab: Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah). Para malaikat berkata: Bukankah bumi Allah itu luas sehingga kamu dpat berhijrah ke bumi itu?. Orang-orang itu tempatnya neraka jahannam dan Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (an-Nisa’ 4: 97)

Di dalam ayat ini Allah s.w.t telah menggesa agar umat Islam bertanggungjawab terhadap nasibnya dan mengubahnya secara radikal dengan cara berhijrah sekiranya nasib Islam masih tidak menyebelahi mereka di negara sendiri sebagaimana yang telah dirintis oleh Rasulullah s.a.w ke Madinah demi menyelamatkan iman dan mengembangkan dakwah Islam dengan lebih luas.

Walau bagaimanapun, umat Islam haruslah memahami konsep hijrah yang betul sebagaimana yang disarankan oleh Islam iaitu berhijrah demi mempertahankan Islam dan membuka pintu untuk mengembangkannya secara meluas. Sebagaimana yang telah Allah s.w.t nyatakan dalam ayat seterusnya dalam surah an-Nisa’ yang bermaksud :

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah s.w.t, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah s.w.t dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah.”
(Surah an-Nisa’ 4: 100)

Oleh itu, sekiranya umat Islam berhijrah adalah di atas motif material dan kebendaan semata-mata dengan mengenepikan kepentingan Islam maka, jelaslah mereka telah terkeluar daripada konsep hijrah yang sebenar. Sekiranya, tujuan dan matlamat hijrah adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah maka, rezeki yang melimpahinya adalah hasil daripada hijrahnya yang suci dan mendapat balasan daripada Allah s.w.t. Oleh itu, kesedaran amat perlu dijana di kalangan masyarakat imigran Islam terutamanya di barat agar menetap dan memperbaharui kembali niat serta matlamat hijrah mereka demi meraih keredhaan dan keberkatan dari Allah s.w.t.

2. Menyedarkan Peranan Imigran Sebagai Pendakwah

Seterusnya al-Faruqi menyatakan amat perlu untuk menyedarkan dan mengingatkan para imigran Islam tentang peranan dakwah yang dipikul di bahu mereka setelah berhijrah ke tempat baru. Mereka bertanggungjawab untuk menyeru kaum non-muslim kepada kebenaran Islam malahan, mereka juga perlu menyedari bahawa setiap perbuatan dan perkataan yang mereka lafazkan akan menjadi saksi di hadapan Allah s.w.t kelak.

Sekiranya para imigran Islam menyedari bahawa hijrahnya dari negara kelahiran masing-masing adalah daripada keizinan dan perancangan Tuhan dengan maksud menjadikan mereka sebagai pendakwah kepada agama Allah s.w.t, maka kebenaran Islam akan tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Selain itu, para imigran Islam juga perlu bermotivasi tinggi serta mempunyai semangat juang yang tinggi untuk membantu memulihkan keruntuhan moral dan spiritual masyarakat Barat kepada Islam.

Fokus juga diberikan oleh Faruqi terhadap pelajar Islam yang tinggal secara sementara di barat. Mereka seharusnya perlu berusaha dengan lebih tekun dalam menguasai bidang ilmu pengetahuan walaupun terpaksa belajar daripada guru non muslim. Seterusnya, diharap hasil daripada ketekunan mereka itu dapat melahirkan golongan intelektual Islam yang mampu menyedia dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada umat Islam tanpa terus berkiblatkan para sarjana barat. Dengan itu, dakwah dan ketuanan Islam akan dipandang tinggi oleh seluruh umat manusia.

Kedatangan Migran Filipina ke Sabah dan Relevensi Gagasan Migrasi Dakwah

Penghijrahan di kalangan penduduk kepulauan Sulu dan Selatan Filipina bukanlah perkara luar biasa kerana sudah terdapat aktiviti perdagangan antara penduduk Sitangkai dan Borneo sejak awal kurun ke Sembilan lagi, terutama dalam aktiviti perdagangan pertukaran barang antara kedua dua penduduk.

Penghijrahan di kalangan penduduk kepulauan Sulu dan Selatan Filipina dan Sabah telah berlaku sejak sebelum Sabah merdeka menerusi Malaysia lagi kerana aktiviti aktiviti ekonomi dan sosial antara kedua negeri. Penghijrahan bermula berlaku pada akhir abad ke limabelas bila Sepanyol memulakan kempen penjajahan ke selatan Filipina khasnya di Sulu dan Tawi Tawi. Kumpulan pertama berhijrah ialah masyarakat keturunan Cina dari Jolo yang melarikan diri ke Semporna di pantai timur Sabah yang kemudiannya menetap di sana. Kimpulan seterusnya ialah Penghirahan dari Sulu yang tiba di pantai timur Sabah iaitu di Sandakan, Tawau, dan Lahad Datu di mana mereka terlibat dalam sektor perdagangan, perikanan dan pertanian. Penghijrah ini seterusnya iaitu di kalangan migran Filipina bersama orang orang Cina dan Jawa menjadi buruh murah dalam pemerintahan British North Borneo Company.

Kedatangan migran Filipina ke Sabah boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan besar iaitu. Pertamanya mereka yang datang ke Sabah pada akhir abad ke limabelas kerana melarikan diri dari penjajahan Sepanyol. Keduanya mereka yang datang ke Sabah diantara tahun 1970 hingga 1977 iaitu era penentangan terhadap Mindanao, dan akhirnya yang ketiga ialah migran yang tiba ke Sabah selepas 1970 yang di sebut pelarian atau “transients.” Walaubagaimanapun pada umumnya kedatangan orang Filipina di Sabah boleh dibahagikan kepada empat kategori mengikut masa ketibaan dan tujuan kedatangan mereka, iaitu:

(i) transmigran sebelum dan semasa era pemerintahan British,
(ii) mereka yang datang sejak tertubuhnya Malaysia,
(iii) mereka yang melarikan diri ekoran daripada kekacauan di Selatan Filipina dari tahun 1971 sehingga tahun 1983, dan
(iv) mereka yang terus datang selepas tahun 1983.

Hari ini migran Filipina merupakan suatu fenomena biasa di negeri Sabah, khususnya di Kota Kinabalu yang merupakan lokasi penempatan dan pusat kegiatan utama mereka. Justeru, persoalan yang harus ditimbulkan dalam pemerhatian awal ini ialah mengenai apakah relevensinya gagasan yang diutarakan oleh Prof. Faruqi dalam konteks pendatang Filipina Muslim di Kota Kinabalu Sabah. Di antara persoalan tersebut ialah;

i). Apakah pendatang Filipina boleh dianggap sebagai imigran baru di Sabah? Umumnya masyarakat tempatan mungkin menganggap mereka sebagai orang Asing, tetapi apakah ia sebenarnya dirasai oleh pendatang berkenaan sedangkan dari sudut sejarah, Sabah adalah sebahagian daripada warisan Kesultanan Sulu. Bahkan perkongsian budaya dan agama yang sama dengan umat Islam di Sabah mungkin menyebabkan masalah migrasi Islam dalam konteks Barat seperti yang ditimbulkan oleh Prof. Faruqi tidak releven bagi mereka.

ii). Apakah mentaliti tidak Islamik di kalangan Imigran Filipina Muslim wujud secara serius dan menjadi halangan kepada perkembangan Islam di kalangan mereka. Ini harus dipersoalkan secara serius kerana dari sudut sejarah perkembangan Islam di Sabah banyak bergantung kepada usaha yang dilakukan dari Kesultanan Sulu. Secara lojiknya para pendatang seharusnya mempunyai mentaliti Islamik yang tinggi berbanding saudara seagamanya di Sabah. Namun, kesan penjajahan yang dialami sejak dari era Sepanyol, Amerika sehinggalah hari ini mungkin memberikan kesan variasi yang berbeza terhadap mentaliti mereka.

iii). Apakah tahap mentaliti Imigran Filipina Islam di Sabah rendah. Jika ia adalah benar, apakah ianya disebabkan oleh faktor hambatan ekonomi dan persekitaran yang menyekat pembangunan mentaliti cerdas masyarakat pendatang. Faktor tersebut sepatutnya tidak wujud memandangkan Sabah bukanlah negeri yang memberikan layanan buruk kepada pendatang Islam Filipina.

iv). Apakah pendatang Filipina memahami konsep Hijrah menurut perspektif Islam yang sebenarnya?. Sebagai Muslim, konsep hijrah mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi. Tetapi apakah konsep berkenaan sebati menjadi visi masyarakat pendatang yang bakal sekaligus menjadi pemangkin kepada perkembangan Islam yang positif di Sabah.

v). Apakah Imigran Filipinan sedar terhadap peranannya sebagai Pendakwah. Jika ia kurang dijiwai oleh mereka apakah kaedah untuk menyedarkannya?. Apakah sumbangan organisasi dakwah pribumi terhadap kesedaran dakwah yang mendalam di kalangan para pendatang yang mungkin asing dari segi status kenegaraannya tetapi tidak dalam konteks ikatan ukhuwwah Islamiah sejagat.

Kesimpulan

Berdasarkan tinjauan ringkas terhadap isu yang dibincangkan adalah jelas bahawa migrasi atau hijrah yang merupakan suatu fenomena pencetus kebangkitan Islam dan perlu terus diperkasakan dari masa ke semasa. Ironisnya, pengalaman Prof. Faruqi sebagai seorang migran yang sarat dengan misi dakwah di Barat lazimnya tidak menjadi misi umum para pendatang Islam di seluruh dunia. Kebanyakannya berhijrah atas dorongan faktor-faktor duniawi. Namun usaha memperkasakan Islam di Sabah adalah cerah sekiranya kefahaman gagasan migrasi dakwah dapat dihayati oleh umat Islam khususnya di kalangan pendatang Filipina di negeri ini. Justeru suatu kajian ilmiah yang mendalam dalam konteks migran Filipina di Kota Kinabalu mungkin menawarkan dapatan yang berbeza dari apa yang dilalui oleh Faruqi sepanjang ranjau dakwahnya di Barat. Pastinya tinjauan awal ini akan berakhir dengan suatu penemuan hasil kajian akademik yang bermakna.

30/04/2009 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: