18P

Suara

HUKUM SYARAK JANGAN DI PINGGIRKAN

Keputusan Jemaah Menteri Meminggir Perlembagaan Persekutuan dan Hukum Syarak
Apr 29th, 2009 | By webmaster | Category: Artikel
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Setiausaha Agong, Peguam Pembela Islam

Masyarakat Islam arus perdana amat terkejut dengan kenyataan yang
dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz
bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju memutuskan kanak-kanak mesti kekal
menganut agama asal ketika ibubapanya berkahwin walaupun salah seorang
pasangan itu menukar agama. Keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri
dikatakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu
pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka
menukar agama.

Keputusan Jemaah Menteri ini sangatlah dikesali. Manifestasi kekesalan ini
dizahirkan apabila lebih seratus NGO Islam berkumpul menyatakan bantahan
mereka semalam (Jumaat). Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga
melalui Timbalan Presidennya Musa Awang telah mengeluarkan kenyataan
membantah keputusan tersebut. PGSM adalah NGO pertama yang menyuarakan
kekesalan mereka.

Bagi memahami implikasi keputusan jemaah menteri ini beberapa perkara perlu
diperincikan terlebih dahulu terutamanya kedudukan perlembagaan,
undang-undang dan hukum syarak. Sebenarnya terdapat tiga perkara utama yang
terkesan daripada keputusan ini iaitu berkaitan dengan pembubaran
perkahwinan, agama anak dan pemeliharaan anak.

*Pembubaran Perkahwinan*

Di dalam perkahwinan sivil yang didaftarkan melalui Akta Membaharui
Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pembubaran perkahwinan hanya
boleh berlaku jika perkahwinan itu telah pecahbelah dan tidak dapat
diselamatkan lagi. Perkara ini termaktub di dalam seksyen 52 Akta tersebut.
Seksyen 51 Akta yang sama pula menjelaskan jika salah seorang pasangan itu
memeluk Islam pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan
petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan
pasangannya memeluk Islam. Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan
pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan oleh pasangan yang tidak memeluk
agama Islam sahaja. Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut
perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap
dianggap sah di bawah akta tersebut.

Jelaslah di sini ketidakadilan yang amat sangat berlaku kepada pasangan yang
memeluk Islam itu memandangkan beliau langsung tidak mempunyai *locus standi
* untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen tersebut.

Namun mahkamah syariah menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran I
Perlembagaan Persekutuan, boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai
hukum dan doktrin syarak. Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan
Persekutuan ini dengan memberi kuasa kepada mahkamah syariah membuat
penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut.

Seksyen 46(2) tersebut memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu
perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak
boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan
dan sehingga disahkan oleh Mahkamah. (Mahkamah di sini bermaksud mahkamah
syariah).

Seolah-olah terdapat polemik di sini di mana kedua-dua mahkamah mempunyai
bidangkuasa. Oleh yang demikian terdapatlah cadangan seksyen di atas
ditiadakan bagi menyeleasikan kemelut ini. Tetapi sebenarnya bukan hanya
seksyen tersebut sahaja perlu dipinda malah seksyen yang sama di
negeri-negeri lain juga perlu dipinda dan mendapat pekenan Raja-Raja Melayu.
Ia mungkin jalan yang tidak mudah digapai.

Sebenarnya tatkala seseorang itu telah memeluk Islam sudah pasti
Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada mualaf itu mengamalkan
agamanya termasuklah undang-undang diri seperti munakahat. Mengheret mualaf
ini ke mahkamah sivil merupakan pelanggaran hak kebebasan beragama bagi
mualaf ini. Seorang yang sudah mendapat hidaya daripada Allah sudah tentu
tidak mahu balik ke zaman jahiliyahnya kembali. Inilah hak yang perlu
dipertahan oleh kerajaan dan bukan merobek hak ini atas alasan yang picisan
yang tidak selaras dengan Perlembagaan.

Membawa orang bukan Islam ke mahkamah syariah pula bukanlah suatu perkara
yang mudah kerana kebiasaannya orang bukan Islam enggan hadir ke mahkamah
syariah atas alasan tidak mahu tertakluk kepada undang-undang Islam. Namun
sebenarnya apa yang diputuskan oleh mahkamah syariah hanyalah membuat
perisytiharan di sisi hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut
sahaja. Amatlah tidak wajar mualaf ini dinafikan hak ini. Hakikatnya ialah
sebahagian orang bukan Islam tidak mengiktiraf langsung keujudan mahkamah
syariah ini. Mereka tidak mahu membantu mahkamah syariah memberi keputusan
yang adil. Mereka sanggup memberi keterangan di medan media tetapi tidak di
mahkamah syariah. Mahkamah Syariah adalah sebahagian dari system perundangan
negara yang sah. Tidak ada seorangpun boleh memperlekehkan mahkamah syariah.

*Agama Anak*

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorangpun boleh
dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam
apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya
sendiri. Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas,
agama bagi seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah
ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh penghakiman mahkamah tertinggi
negara iaitu Mahkamah Persekutuan di dalam kes *Subahsini mlwn Saravanan* di
mana mahkamah tersebut telah memutuskan bahawa salah seorang (bukan kedua)
ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak tersebut.

Peruntukan Perkara 12(4) dan juga tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah
Persekutuan tersebut sebenarnya selaras dengan Hukum Syarak. Sebenarnya
telah disepakati di kalangan ulama’ bahawa apabila salah seorang ibubapa
bukan Islam memeluk Islam, anak di bawah umur mereka itu disifatkan sebagai
Islam. Ini adalah kerana anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, dan fitrah
di sini bermaksud Islam.

Undang-Undang Syariah ditegakkan berasaskan kepada *al maqasid al syariah*.
Terdapat lima al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu menjaga agama (
*hifz al din*), nyawa (*hifz al nafs),* keturunan (*hifz an nasab*),
akal (*hifz
al aql*) dan harta (*hifz al mal*).

Bagi mencapai maqasid ini umat Islam dipertanggungjawabkan memelihara
kelima-lima perkara ini termasuklah menjaga agama dan keturunan. Oleh yang
demikian agama anak itu hendaklah mengikut mana-mana ibubapa yang Islam.
Umat Islam tidak dapat menerima sekiranya *al maqasid al syariah* ini tidak
dapat dicapai.

Alasan Nazri agar mengikut ‘*common sense’* adalah telalu dangkal. Dalam
undang-undang kita tidak boleh menggunakan *‘common sense’*. Ada asas dan
falsafah yang perlu ditafsirkan dan dihayati. Sebagai perbandingannya jika
kita menggunakan common sense tersebut, adalah kita boleh dianggap tidak
melakukan kesalahan trafik apabila melanggar lampu isyarat merah tatkala
tiada kenderaan yang melintasi di hadapan kita? Secara common sense nya
sudah tentu kita tak bersalah tetapi undang-undang mempunyai falsafahnya
tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Apatah lagi ‘*common
sense’*beliau itu melanggar hukum syarak pula.

Keputusan jemaah menteri tidak boleh mengatasi peruntukan Perkara 12(4) dan
tafsiran yang dibuat dalam kes *Subahsini.* Jemaah menteri juga sebagai
badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (samada sivil
ataupun syariah) apatah lagi menganggu keputusan mahkamah dengan
mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan mahkamah. Seharusnya
segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang diambil bagi menangani
permaslahan ini dan bukan melalui campurtangan eksekutif yang secara
langsung merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan tersebut.

*Pemeliharaan Anak*

Mengenai pemeliharaan anak pula. Sudah menjadi amalan di mahkamah syariah
dan mahkamah sivil bahawa kebajikan anak mengatasi hak ibu atau bapa. Di
dalam memutuskan hak jagaan anak sudah tentulah faktor mengenai kebajikan
anak ini di titikberatkan. Kebajikan anak ini termasuklah permasalahan
aqidah, tumbesaran dan pembelajaran anak tersebut. Perkara sebegini boleh
diputuskan oleh Mahkamah. Hak memelihara anak ini biasanya diputuskan
setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak.

Namun apa yang berlaku ialah masyarakat bukan Islam atas sebab-sebab
tertentu terlalu takutkan mahkamah syariah dan menganggap mahkamah syariah
hanya mempertahankan hak orang Islam sahaja. Sudah dibuktikan di dalam
beberapa kes di mahkamah syariah, keputusan yang dikeluarkan oleh Hakim
Syarie tidak memihak kepada orang Islam tetapi memihak kepada keadilan.

Berbalik kepada keputusan jemaah menteri di atas, amat jelas keputusan
tersebut gagal mempertahankan kelebihan agama Islam sebagai agama
Persekutuan. Keputusan tersebut menyamatarafkan Islam dengan agama-agama
lain dan perkara ini tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam arusperdana.

NGO-NGO Islam juga mempersoalkan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat itu
langsung tidak mengambilkira pandangan NGO-NGO Islam. Dalam masa yang sama
pula pihak kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri telah berjumpa dengan
NGO bukan Islam mengenai kes yang tersebut di atas. Tiada usaha untuk
mendapatkan pandangan NGO Islam dilakukan bagi mendapat pandangan mereka
sebelum keputusan dibuat.

Malah ada beberapa NGO Islam cuba untuk bertemu dengan pimpinan kerajaan
tetapi tidak dapat direalisasikan. Seharusnya pihak kerajaan lebih peka
dengan sensitiviti umat Islam khususnya masyarakat saudara baru. Suara
mereka harus didengar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan yang
membabitkan mereka dibuat. Hak mereka untuk didengar (*audi alteram
partem)*oleh pimpinan kerajaan sudah tiada lagi. Di manakah
*audi alteram partem* itu?

Pihak Kerajaan perlu lebih berhati-hati di masa akan datang dalam membuat
keputusan berkaitan Islam. Jangan mendahului para ilmuan Islam dan ulama.
Pandangan NGO Islam juga mestilah diambilkira. NGO-NGO Islam telah
menzahirkan kegusaran mereka berhubung dengan keputusan jemaah menteri
tersebut, sudah sewajarnyalah keputusan tersebut ditarik balik.

04/05/2009 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: