18P

Suara

Antara Tanda-tanda Kecil Kiamat

Antara Tanda-tanda Kecil Kiamat

1) Penaklukan Baitulmuqaddis.
Daripada Auf b. Malik r.a., katanya, “Rasulullah s. a. w. telah bersabda:”Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat.”Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis.” – Sahih Bukhari

2) Zina bermaharajalela.
“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” – Sahih Muslim

3) Bermaharajalela alat muzik.
“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka.”Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab; “Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” – Ibnu Majah

4) Menghias masjid dan membanggakannya.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” – Riwayat Nasai.

5) Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga.” – Riwayat Ahmad dan Hakim

6) Ramai orang soleh meninggal dunia.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama dimuka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran – Riwayat Ahmad

7) Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” – Riwayat Thabrani

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
“Sesungguhnya diantara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.” – Riwayat Ahmad

9) Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang.”

10) Bulan sabit kelihatan besar.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.” – Riwayat Thabrani

11) Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.
“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu” – Sahih Muslim

12) Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
“Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar” – Riwayat Ahmad

13) Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai.” – Sahih Muslim

Hadis-hadis ini adalah merupakan pengkhabaran sebahagian daripada tanda-tanda kiamat yang sudah dan sedang berlaku dalam dunia masyarakat kita.Sama-samalah kita mengambil iktibar dan pedoman daripada hadis-hadis yang telah diriwayatkan daripada Junjungan Mulia Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam.Sesungguhnya Baginda tidaklah bertutur mengikut hawa tetapi semua ini adalah wahyu daripada Allah taala. -iLuvIslam

03/06/2009 Posted by | Uncategorized | 1 Comment

Isteri mahu bercerai selepas tiga bulan berkahwin

Hak Muslim 14 Mei 2009-Isteri mahu bercerai selepas tiga bulan berkahwin
May 14th, 2009 | By webmaster | Category: Soal Jawab Hak Muslim
SAYA dan suami baru saja melangsungkan perkahwinan selama tiga bulan. Bagaimanapun, saya berasa sudah tawar hati dengan suami. Perkahwinan kami juga dibuat atas pilihan keluarga. Suami saya seorang yang bertanggungjawab. Bagaimanapun saya memang tidak boleh menerima suami dan tidak ada hati terhadap beliau. Saya cuba untuk menyayangi beliau, namun gagal. Saya rasa berdosa jika terus hidup dengan beliau. Suami menyuruh saya bersabar kerana perkahwinan baru mencecah tiga bulan. Saya juga pernah memohon untuk bercerai dengannya, namun beliau tidak bersetuju. Malah, beliau malu kerana perkahwinan masih baru dan sudah banyak wang digunakan untuk majlis perkahwinan. Bagaimana cara untuk saya bercerai? Saya sanggup membayar segala ganti rugi. Adakah Mahkamah Syariah boleh memutuskan ganti rugi kepada beliau? Jika boleh bagaimana caranya? Jika tidak, adakah cara lain untuk saya bercerai dengannya? Saya sanggup menanggung segala kos. Saya buntu.

Aini,

Kuala Selangor

Puan, dalam hal ini perlu diingat bahawa kuasa talak terletak di tangan suami. Jika suami tidak bersetuju untuk bercerai, maka ia memberikan gambaran bahawa puan tidak akan diceraikan.

Mahkamah tidak mempunyai kuasa memaksa suami melafazkan cerai terhadap puan kerana ia kuasa mutlak suami. Jika melihat dari sudut perceraian secara fasakh atau taklik pula, saya percaya syarat asas perceraian secara fasakh atau taklik tidak dapat dipenuhi kerana perkahwinan puan masih baru, tambahan pula puan turut menyatakan suami seorang yang bertanggungjawab.

Secara dasarnya, Mahkamah Syariah tidak ada kuasa menganugerahkan bayaran ganti rugi ke atas pihak puan atas faktor dinyatakan walaupun puan sanggup membayar ganti rugi berdasarkan kos kahwin dikeluarkan suami.

Jika puan masih berhasrat meneruskan perceraian dengan suami, boleh cuba mendapatkan persetujuan suami untuk perceraian secara tebus talak. Tebus talak bermaksud perceraian dibuat dengan bayaran oleh pihak isteri kepada suami untuk menebus diri beliau.

Perceraian secara tebus talak dibenarkan syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia. Seksyen 49 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan: “Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tak boleh dirujukkan.”

Firman Allah dalam surah al-Baqarah bermaksud: “Maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”

Cerai tebus talak (khuluk) dibenarkan bagi isteri yang tidak mempunyai sebab mendapatkan perceraian secara fasakh atau taklik atau apa-apa alasan untuk membubarkan perkahwinan. Ia juga bertujuan membenarkan isteri menebus dirinya untuk tujuan perceraian.

Cerai tebus talak bagaimanapun berdasarkan persetujuan bersama, suami hendaklah bersetuju bercerai secara tebus talak dan barulah mahkamah boleh membenarkan perceraian secara tebus talak itu.

Dari segi kadar bayaran tebus talak pula, bayaran haruslah dipersetujui kedua-dua pihak. Jika tiada persetujuan diperoleh dari kedua-dua pihak, kadar bayaran akan ditentukan mahkamah berdasarkan beberapa faktor dan kriteria.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Roshdan Sujak Rafie

03/06/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Hukuman denda punca kesalahan khalwat dipandang remeh

Hak Muslim 21 Mei 2009 : Hukuman denda punca kesalahan khalwat dipandang remeh
May 21st, 2009 | By webmaster | Category: Soal Jawab Hak Muslim

Berita Harian 21 Mei 2009

SAYA mengikuti kes khalwat di negara ini sejak undang-undang diwujudkan. Saya melihat hakim hanya menjatuhkan hukuman denda dan kadangkala denda serta penjara. Tidak bolehkah undang-undang diseragamkan dengan semua pesalah khalwat dikenakan hukuman penjara. Ini menampakkan seolah-olah hukuman di Mahkamah Syariah bertaraf rendah.

Warga Prihatin,
Kuala Lumpur.

Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: “Lelaki yang didapati berada bersama seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau mahramnya di mana-mana tempat terselindung atau dalam rumah atau bilik dalam keadaan boleh menimbulkan syak mereka melakukan perbuatan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan”.

Apabila sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Peruntukan itu jelas menunjukkan kesalahan khalwat bukan saja membabitkan seorang lelaki dengan perempuan, malah juga antara seorang atau ramai lelaki dengan seorang atau ramai perempuan bukan muhrim.

Mereka berada sama ada dalam sebuah rumah, bilik atau tempat terselindung (dalam kereta atau di celah pokok) yang keadaan mereka ketika itu boleh mendatangkan syak sedang melakukan maksiat.

Hukuman yang boleh dijatuhkan ke atas tertuduh ialah salah satu daripada tiga hukuman diperuntukkan iaitu denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.

Ini peruntukan undang-undang dan kuasa menjatuhkan hukuman yang diberikan kepada hakim Mahkamah Syariah. Mereka tidak boleh melangkaui kuasa diberikan. Namun, berdasarkan peruntukan seksyen 29 mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman secara khusus (penjara atau denda saja), tidak perlu menurut turutan.

Peruntukan berkenaan menggunakan perkataan ‘boleh dihukum’ yang tidak mengikat mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut turutan seperti dalam peruntukan. Seksyen itu juga menggunakan perkataan ‘atau’ yang diertikan sebagai pilihan.

Apa yang berlaku, hakim mengambil pendirian mengenakan denda. Dalam menentukan hukuman, perlu dipertimbangkan adakah ia boleh menjadi iktibar, inzar, pengajaran, peringatan dan balasan bukan saja kepada tertuduh malah masyarakat Islam, supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Dalam kes hukuman takzir, kuasa mahkamah menentukan hukuman agak luas. Merujuk kitab Al Ahkam As Sultaniyyah karangan Al-Mawardi menyebut: “Takzir juga istilah yang jika disebut secara tunggal akan bermaksud hukuman atau keseksaan. Bagi maksud kesalahan ia perlu disebut kesalahan takzir. Sebagai hukuman fuqaha mendefinisikannya sebagai hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan sama ada untuk kepentingan individu atau masyarakat dalam semua kes selain kes hudud dan qisas.”

Kitab Al-Fiqh al-Islami waadillatuh pula menyebut: “Takzir adalah hukuman ke atas jenayah atau maksiat yang tidak ditentukan hukuman had atau kaffarah.”

Dr Aziz Aamir dalam kitab At-Ta’zir Fi Al-Syariah Al- Islamiah menyebut: “Fuqaha mentakrifkan (takzir) sebagai satu pembalasan yang ditetapkan kadarnya, diwajibkan sama ada sebagai hak Allah atau manusia, dalam setiap maksiat yang tiada pembalasan had atau kaffarah, mempunyai tujuan sama seperti pembalasan had (hudud) iaitu memberikan pengajaran (takdib), mengadakan pemulihan (islah) dan mewujudkan ingatan yang menakutkan (zajr).”

Dalam memutuskan hukuman pesalah khalwat, hakim masih tertakluk kepada peruntukan hukuman seksyen 29 itu. Apa yang penting, hakim perlu pastikan hukuman dijatuhkan terhadap seseorang pesalah adalah setimpal.

Hukuman boleh dijadikan panduan, mendidik tertuduh serta masyarakat supaya patuh kepada perintah Allah, Rasul dan pemimpin.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Taatilah Allah dan Rasul-Nya dan pemimpin kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu maka hendaklah kembalikan ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnah).” (Surah an-Nisa’, ayat 59). Pemimpin yang kita pilih inilah yang membuat undang-undang dilaksanakan ke atas kita.
Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sila layari http:www.peguamsyarie.org

03/06/2009 Posted by | Uncategorized | 1 Comment

Mediasi bantu selesai pertikaian tanpa bicara

Peguam Syarie Menulis: Mediasi bantu selesai pertikaian tanpa bicara
May 27th, 2009 | By webmaster | Category: Artikel, Peguam Menulis
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Kaedah guna orang tengah lebih jimat masa, kos tanpa memanjangkan kes ke mahkamahBARU-BARU ini kerajaan Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu bersama-sama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menganjurkan Kursus Pengurusan Mediasi kepada pegawai syariah dan pegawai tadbir Terengganu.

Selain itu, kursus berkenaan dihadiri beberapa pegawai syariah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Pahang, Kelantan, Perak dan Kedah. Kursus itu dikendalikan mediator berpengalaman Accord Group dari Australia. Peserta diwajibkan menjalani kursus mediasi 40 jam selama lima hari berturut-turut.

Antara objektif kursus adalah untuk memastikan kemahiran dan pengetahuan teknik pengendalian proses sulh yang berkesan. Kursus itu juga bertujuan memberi pendedahan secara profesional kaedah mengurus dan mengawal keadaan pelanggan yang pelbagai, selain mendapatkan pengiktirafan akademik mengenai tanggungjawab, kelayakan dan kredibiliti pegawai sulh secara teori sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa akan tercapai.Mediasi bermaksud proses untuk membina suatu persetujuan bersama secara sukarela antara kedua-dua pihak. Ketika proses itu, seorang akan bertindak sebagai pihak ketiga atau orang tengah atau perantara (mediator) yang tidak akan memihak kepada sesiapa dan beliau juga tidak bertindak sebagai hakim bagi menentukan pihak mana patut menyelesaikan pertelingkahan mereka.

Mediator juga bukanlah seorang yang memberikan nasihat atau mencadangkan kepada pihak itu bagaimana harus menyelesaikan pertelingkahan mereka. Mediator bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu kedua-dua pihak berkomunikasi antara suatu sama lain dengan lebih berkesan.

Dengan teknik khusus, pihak terbabit dengan bantuan mediator sebagai orang tengah mampu untuk menyelesaikan pertikaian tanpa memanjangkan kes mereka ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan.Hakikatnya, perjanjian yang diperoleh oleh mereka secara persetujuan bersama itu dengan dibantu mediator akan dapat menyelesaikan pertelingkahan. Kaedah itu lebih baik berbanding jika pihak itu merujuk kes mereka ke mahkamah, seterusnya memperoleh perintah mahkamah.

Ini kerana mahkamah hanya menumpukan kepada hak pihak yang bertikai berdasarkan undang-undang. Sedangkan melalui proses mediasi, penyelesaian dapat dicapai atas dasar keperluan sebenar mereka di atas situasi menang-menang, maksudnya tiada pihak yang kalah.

Mediasi adalah salah satu proses sangat dianjurkan bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah. Mediasi adalah salah satu cabang Alternative Disputes Resolution (ADR) iaitu kaedah penyelesaian tanpa merujuk pertikaian ke mahkamah.

Selain mediasi ada kaedah ADR lain iaitu perbincangan, perdamaian serta arbitrasi. Bagaimanapun, kaedah mediasi dikatakan berjaya menyelesaikan kes tanpa menjalani proses perbicaraan panjang. Ia dipraktikkan di negara seperti Singapura, Australia serta beberapa negara lain.Kesannya, lebih daripada 70 peratus kes yang didaftarkan dapat diselesaikan dengan kaedah ini manakala selebihnya diselesaikan di mahkamah. Proses itu mempunyai beberapa kebaikan berbanding proses perbicaraan di mahkamah.

Proses mediasi tidak menggunapakai undang-undang serta prosedur mahkamah yang ketat. Proses itu juga lebih menjimatkan masa serta kos pihak-pihak yang bertikai serta dapat mengurangkan bebanan seperti terpaksa menghadapi kelewatan kes di mahkamah kerana sudah pastinya kes akan tertangguh atas beberapa alasan antaranya tidak cukup bukti atau kurang persediaan peguam mahupun pihak-pihak.

Bagi mengurangkan masalah ini, sewajarnya kaedah itu harus ditekankan bagi memastikan hak pihak-pihak tidak terjejas. Kaedah mediasi sudah digunakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi melatih pegawai syariah terutama pegawai sulh bagi menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang.

Proses itu sudah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila kebanyakan kes difailkan ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan oleh pegawai sulh terlatih dengan mediasi. Beberapa negeri seperti Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan ketara dalam peningkatan kes yang diselesaikan di luar mahkamah selepas pegawai sulh negeri terbabit kursus mediasi.

Pegawai sulh sudah dilatih berhadapan pelbagai kerenah pelanggan di samping diserapkan ilmu sebagai mediator supaya dapat menyelesaikan kes Mahkamah Syariah dengan lebih profesional dan tersusun.

Apatah lagi mereka yang mengikuti kursus serta lulus ujian penilaian ditetapkan secara ketat, mereka ini bergelar mediator bertauliah dan diiktiraf negara Asia Pasifik.

Sedikit sebanyak dengan pengiktirafan itu dapat melahirkan pegawai Mahkamah Syariah yang profesional serta mempunyai kemahiran bagi menyelesaikan masalah pihak yang bertikai. Sekali gus proses itu dapat menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak yang mengatakan Mahkamah Syariah lewat. Hakikatnya, lebih daripada 60 peratus kes dirujuk ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan dengan kaedah ini.

Walaupun negara seperti Singapura, Australia, New Zealand dan Republik Arab Mesir sudah lama melaksanakan sistem mediasi di Mahkamah Keluarga berbanding Mahkamah Syariah di Malaysia tetapi dengan adanya pendedahan mediasi pembaharuan atau penambahbaikan dapat dibuat dari masa ke semasa.

Pelaksanaan mediasi dapat mempercepatkan lagi proses penyelesaian pertelingkahan antara pihak-pihak sekali gus dapat mempertingkatkan keupayaan sistem penyampaian dan keberkesanannya.

Dalam Islam, mediasi menyamai konsep sulh yang bermakna ‘putus pertengkaran’ yang membawa maksud kompromi. Sementara pengertian syarak membawa maksud satu perjanjian dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian antara pihak beragama Islam.

Sejarah juga mencatatkan Nabi Muhammad SAW sebelum menjadi rasul menjadi pengantara (mediator) dalam pertikaian yang hampir mencetuskan pertumpahan darah antara pembesar Quraisy.

Peristiwa itu berlaku ketika ingin menentukan siapakah yang akan meletakkan kembali hajar al-aswad ke tempat asalnya. Muhammad SAW akhirnya dipilih untuk menyelesaikan pertikaian itu dari kalangan pembesar Quraisy kemudian sepakat dan bersetuju cadangan Baginda.

Selepas dilantik menjadi rasul, Baginda tidak melakukan apa-apa perubahan terhadap amalan terakhir dilaksanakan berasaskan prinsip kerelaan kedua-dua pihak. Baginda SAW menampilkan dirinya untuk menyelesaikan pertikaian.

Dalam konteks sedemikian, meskipun berfungsi sebagai hakim tunggal, tetapi Baginda lebih cenderung menyelesaikannya dengan mencadangkan sulh kepada pihak bertikai daripada bertindak menjatuhkan hukuman.

Hakikatnya, sulh ada dinyatakan dalam al-Quran sebagai sebaik-baik jalan untuk perdamaian. Namun begitu, tidak dijelaskan secara terperinci bagaimana suatu sulh dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan pertikaian di antara pihak-pihak.

Langkah JKSM dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menghantar pegawai syariah mendalami ilmu mediasi adalah langkah tepat bagi memartabatkan Mahkamah Syariah serta mencari formula mengurangkan kes tertunggak dan menyelesaikan pertikaian tanpa perbicaraan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

03/06/2009 Posted by | Uncategorized | 9 Comments

Dilema ‘orang ketiga’

Dilema ‘orang ketiga’
May 31st, 2009 | By webmaster | Category: Berita, Utama

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK dan

SITI NOR AFZAN KASIMAN
ahad@kosmo.com.my

31 Mei 2009

KEHADIRAN orang ketiga sering dikaitkan sebagai punca keruntuhan rumah tangga selebriti. Kemunculan pelakon Memey Suhaiza menyebabkan Norman Hakim dan Abby Abadi bercerai.

Pelakon Fasha Sandha pula dicop pengacau rumah tangga Nora Danish dan Rizal hingga akhirnya mereka bercerai. Terbaru, penyanyi Waheeda pula dilibatkan dalam pergolakan rumah tangga Akhil Hayy dan Maizawati Zainal.

Bagaimanapun, menuding jari kepada seseorang memanglah mudah, namun menjadi orang yang dituduh menyebabkan rumah tangga orang lain runtuh adalah satu pengalaman yang menyakitkan.

“Sewaktu saya mengalami keadaan ini, macam-macam perasaan yang saya rasa.

“Orang luar pula sibuk memberi pandangan malah tohmahan. Saya pernah berada dalam keadaan itu dan saya faham perasaan mereka yang digelar orang ketiga,” luah Memey kepada Jurnal.

Menurut Memey, apa yang beliau lakukan ketika itu ialah berdiam diri kerana terlalu banyak memberi kenyataan akhbar akan merumitkan lagi keadaan.

“Masalah timbul apabila kita tidak berhadapan dengan pihak yang berkenaan tetapi hanya mendapat tahu melalui media.

“Orang ramai pula membuat pelbagai spekulasi dan mereka hanya nampak salah orang ketiga,” katanya yang mengaku sudah puas menangis akibat tekanan perasaan. Pada masa itu, kata Memey, beliau sekadar mendekatkan diri dengan keluarga sebab mereka yang paling penting dalam hidupnya.

Bagi Waheeda, beliau tetap menganggap dirinya bukan penyebab kekecohan rumah tangga Akhil dan Maizawati.

“Terpulang orang hendak kata apa pada saya. Saya tak kisah jika dikatakan perampas atau menjadi punca perceraian mereka. Lagipun saya sudah lali dengan tohmahan orang,” komen pelantun lagu Wassini ini.

Beliau menambah: “Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya reda.”

Walaupun tidak menuduh Waheeda, Maizawati mengakui kehadiran pihak ketiga menjadi salah satu faktor kepada keruntuhan sesebuah rumah tangga.

“Ya, sedikit sebanyak faktor orang ketiga menyebabkan keruntuhan rumah tangga seseorang.

“Saya tidak berani untuk memberi pandangan lanjut, tetapi saya percaya bahawa dia (orang ketiga) memainkan peranan dalam kemusnahan rumah tangga,” katanya.

——————————————————————————–

Teman sosial

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman mengakui kehadiran orang ketiga seringkali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang.

“Namun orang ketiga bukan punca utama perceraian. Mengikut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat yang dijalankan LPPKN pada tahun 2004, cuma 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan.

“Sebaliknya, tiada persefahaman antara pasangan, iaitu sebanyak 42 peratus, merupakan punca utama perceraian,” jelas Aminah

——————————————————————————–

Tambah beliau, isu main kayu tiga atau curang semakin mudah berlaku apabila pasangan mengambil kesempatan atas kemudahan teknologi telekomunikasi seperti sistem pesanan ringkas (SMS), mesej bergambar (MMS) dan laman jaringan sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster untuk menambah kenalan.

“Mereka mungkin teman profesional yang akhirnya menjadi teman sosial, rakan sekerja atau orang yang baru dikenali tetapi mempunyai keserasian semasa bersama.

“Apabila wujud keadaan seseorang tertarik atau ditarik seseorang, konflik mula timbul di antara pasangan suami isteri walaupun berpunca daripada perkara remeh.

“Pada tahap ini, suami atau isteri mula mencipta alasan untuk mereka mencari pasangan hidup yang lebih sempurna,” kata Aminah.

Penceramah agama yang juga bekas peguam, Abdul Hakim Othman berpendapat majoriti perceraian berlaku disebabkan oleh pihak suami atau isteri tidak memahami pasangan masing-masing.

“Kadang-kadang wanita memohon cerai disebabkan emosi dan tidak sanggup berkongsi kasih dengan madu. Namun pada pihak suami mungkin ada kaedah lain seperti berpoligami.

“Poligami sering dipandang negatif kerana pelakunya yang tidak bertanggungjawab, bukan disebabkan konsep poligami itu sendiri,” ujarnya yang menafikan pernah menjadi peguam kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini.

Dalang boleh dipenjara 6 bulan

TIMBALAN Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang mendedahkan terdapat peruntukan dalam undang-undang syariah bahawa dalang yang menyebabkan perceraian boleh disabit kesalahan di Mahkamah Syariah.

“Enakmen jenayah ini termaktub di setiap negeri. Malah keluarga sendiri mahupun mertua juga boleh didakwa kalau ada cukup bukti.

“Jika disabitkan kesalahan individu berkenaan boleh didenda RM1,000 atau penjara selama enam bulan ataupun kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Bagaimanapun, Musa memberitahu, enakmen jenayah itu hanya boleh diguna pakai selepas berlaku perceraian.

“Mungkin sebab itulah ramai yang tidak ambil kisah kerana perceraian telah pun berlaku. Jadi apa lagi nak dikecohkan.

“Bahkan saya yakin sepanjang enakmen ini dikuatkuasakan, belum ada kes seperti itu dibicarakan,” katanya yang mendedahkan 60 peratus kes perceraian dan permohonan cerai yang diterima beliau disebabkan penglibatan pihak ketiga.

“Namun harus diingat pihak ketiga ini bukan sahaja individu lain seperti kekasih suami mahupun isteri tetapi juga keluarga mertua sendiri.

“Ini berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes melibatkan permohonan cerai dan perceraian pasangan beragama Islam,” katanya yang berpengalaman selama lebih 10 mengendalikan kes-kes Mahkamah Syariah. – MEGAT LUTFI MEGAT RAMLI

03/06/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment