18P

Suara

Orang Bukan Islam Boleh Mendapat Remedi di Mahkamah Syariah-Kenyataan Akhbar Presiden

PGSM membincangkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pertikaian perkahwinan melibatkan pasangan bukan Islam, yang berkahwin melalui Undang-undang Sivil, yang mana salah seorang daripada pasangan telah memeluk agama Islam. Di dalam ini PGSM mencadangkan pendekatan dalam menyelesaikan pertelingkahan sepatutnya diselesaikan menggunakan prinsip-prinsip Syariah menerusi sistem Mahkamah Syariah, berbanding sistem undang-undang Sivil serta mengesyorkan bahawa pendekatan ini adalah merupakan ruang lingkup niat secara literal dan juga spiritual Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip Islam yang khusus berhubung dengan perbalahan perkahwinan di antara pasangan orang bukan Islam, di mana salah seorang daripada pasangan memeluk agama Islam?

Cendiakawan Islam telah menyediakan panduan yang cukup berkenaan dengan pelbagai prinsip Islam (hukum syarak) dalam masalah ini, dan sebahagian prinsip-prinsip Islam yang tiada perselisihan seperti berikut:

Dalam situasi yang melibatkan perkahwinan bukan Islam, di mana salah seorang daripada pasangan telah masuk Islam, setelah tamat iddah perkahwinan mereka secara automatik dibubarkan, sekiranya pasangannya tidak masuk Islam [Al-Mumtahanah: 10.]

Dalam situasi di mana seorang isteri tidak mahu menganut agama Islam mengikut suaminya, apabila tamat iddah isteri akan hilang haknya untuk menuntut tanggungan daripada suami yang telah masuk Islam, kecuali jika dia mengandung tanggungan patut diberi oleh suami sehingga dia melahirkan anak. [Ath-Thalaaq: 6.]

Dalam situasi dimana salah seorang memeluk agama Islam, suami masih mempunyai tanggungjawab untuk menanggung perbelanjaan anak-anak sehingga mereka mencapai umur baligh. [Al-Baqarah: 233.]

Begitu juga perkara yang berhubung kait dengan pemelukan Islam salah seorang pasangan, agama anak-anak di bawah umur baligh mengikut Islam, automatik dikira sebagai Muslim apabila pemelukan salah seorang daripada pasangannya. Ini berpandukan kepada artikel Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman yang dilaporkan di Berita Harian 15th May 2009 berhubung dengan dalil yang penting mengenai isu ini , di mana Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman merujuk surah [Al-Thur: 21] untuk menjawab situasi ini seperti berikut:

“Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakan.”

Mazhab Syafie telah mengambil dalil di atas sebagai dalil yang kuat berkenaan dengan pemelukan Islam anak-anak yang di bawah umur majoriti adalah automatik apabila salah seorang pasangannya memeluk agama Islam.

Dengan demikian hak Muslim boleh mendesak kerajaan agar mereka ditadbir oleh prinsip-prinsip Islam tidak boleh dipersoalkan, yang mana sudah tentu masalah ini akan melibatkan orang bukan Islam. Hakikatnya, semua prinsip Islam yang dinyatakan di atas adalah jelas merangkumi situasi seseorang yang masuk Islam oleh orang yang asalnya bukan Islam dan berkahwin menerusi undang-undang perkahwinan Sivil. Senario yang akan dinyatakan adalah seorang Muslim boleh menuntut kepada Persekutuan untuk membenarkan dirinya ditadbir oleh prinsip-prinsip Islam meskipun pihak yang satu lagi bukan Islam.

Remedi yang boleh diperolehi oleh orang bukan Islam di bawah prinsip-prinsip Islam

Berpandukan panduan yang dibuat oleh cendiakawan Islam, sekali lagi tidak dapat dinafikan bahawa orang bukan Islam mempunyai pelbagai hak remedi walaupun diambil daripada prinsip Islam dalam menyelesaikan masalah ini. Terdapat dalil-dalil yang kukuh yang menyatakan bahawa salah seorang daripada pasangan yang bukan Islam sama ada suami atau isteri masih boleh menuntut hak penjagaan anak-anaknya walaupun anaknya menjadi Muslim apabila salah seorang ibu atau bapanya memeluk agama Islam.

Sudah tentu ibubapa yang bukan beragama Islam mahupun ibubapa yang beragama Islam perlu membuktikan kesnya bagi menyokong tuntutannya. Hakim seterusnya perlu memutuskan berdasarkan fakta dan bukti, dan hakim boleh memberikan hak penjagaan anak orang Islam kepada bukan Islam sekiranya mereka layak. Pandangan ini menolak pandangan ini yang mengatakan tiada remedi yang boleh didapatkan oleh orang bukan Islam di bawah undang-undang Islam (Hukum Syarak) adalah tidak boleh diterima.

Apakah punca tanggapan yang salah yang mengatakan tiada remedi yang boleh didapatkan oleh orang bukan Islam dalam Perundangan Islam hingga ke tahap yang besar disandarkan kepada masyarakat Islam? Seseorang perlu bertanya , sejauh mana pihak penguasa yang berkenaan, cendiakawan, kumpulan-kumpulan Islam mahupun individu muslim telah menyebarkan maklumat yang betul mengenai Islam dan prinsip-prinsip Islam kepada orang bukan Islam mahupun kepada saudara kita sesama Islam tentang kewujudan dan kebolehan untuk mendapatkan remedi oleh orang bukan Islam. Adakah kita telah cekap dalam menangani masalah ini setelah lebih daripada 50 tahun kemerdekaan, tidakkah ia boleh membantu mengurangkan ketakutan orang bukan Islam dalam dalam mencari penyelesaian ketidakpuasan hati mereka di bawah hukum syarak di Mahkamah Syariah?

Kandungan di dalam Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1 Perlembagaan Pesrekutuan

Terdapat beberapa bahagian yang tertentu di dalam perlembagaan kita yang didapati bertentangan dengan Perkara 3(1). Peruntukan tersebut adalah Jadual 9, Senarai 2, Perenggan 1. Satu rujukan terhadap peruntukkan terhadap jadual ini yang bercanggah dengan Artikel utama akan menunjukkkan bahawa kami telah menutup pintu kami sendiri kepada orang bukan Islam, secara langsung bertentangan dengan prinsip Islam.

Seperti yang telah dibincangkan awal tadi, adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah Syariah untuk menentukan masalah yang melibatkan pertembungan hak di antara orang Islam dan bukan Islam, terutamanya dalam pertikaian perkahwinan. Kita ada penyelesaiaan melalui “jurisprudence” Islam. Oleh itu, ia akan memperlihatkan kepatuhan kepada Jadual Kesembilan, Senarai 2, Perenggan1, telah mengehadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah keatas kedua-dua pihak adalah beragama Islam. Perkara ini jelas bertentangan dengan hukum syarak dan oleh kerana itu ultra vires kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Orang bukan Islam mengikut hukum syarak boleh dan di benarkan dan tanpa halangan untuk memberi keterangan di mahkamah syariah tetapi orang bukan Islam rasa terhalang kerana peruntukan diatas.

Masalah isi kandungan Jadual Kesembilan , Senarai 2, Perenggan 1, telah diterjemahkan sebagai syarat awal di dalam pelbagai enakmen-enakmen Negeri yang mengawal bidangkuasa mahkamah-mahkamah Syariah pelbagai negeri. Adakah adil bagi kami untuk menerangkan mengenai kebenaran orang Islam ditadbir oleh prinsip-prinsip Islam di dalam masalah ini dan seterusnya menutup pintu kepada orang bukan Islam untuk datang ke Mahkamah Syariah? Bukan setakat tidak adil, malah ia juga secara jelas tidak mengikut asas Article 3 Perlembagaan Perseketuan.

Perlembagaan mesti dipinda untuk membuang keterbatasan Jadual 9, Senarai 2, Perenggan1, khasnya dalam permasalahan berhubung pertembungan hak-hak di antara orang Islam dan bukan Islam. Terdapat peruntukan yang sedemikian penting di dalam Enakmen-enakmen Negeri berkenaan dengan keterbatasan hak orang bukan Islam untuk muncul di Mahkamah Syariah juga haruslah di pinda dan digugurkan.

Jadual-jadual Perlembagaan yang tidak konsisten atau secara jelas tidak harmoni dengan Perkara-perkara utama di dalam Perlembagaan adalah ultra vires. Autoriti kenyataan ini boleh dilihat di dalam penghakiman Yang Amat Arif Richard Malanjun CJ Borneo dalam Mahkamah Persekutuan di dalam kes Lina Joy,apabila Yang Amat Arif Richard Malanjun mengisytiharkan Senarai-senarai badan perundangan di jadual 9 Perlembagaan Persekutuan adalah ultra vires terhadap perlembagaan. (Perenggan 52 & 53).

“Seperti mana-mana badan perundangan atau mana-mana bahagian di sini akan di gugurkan sekiranya ia gagal mengesahkan mana-mana peruntukan yang selari dengan peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dengan tugas pentadbiran, Jabatan dan pertimbangan eksekutif, polisi-polisi dan keputusan-keputusan. Dalam erti kata yang lain, mereka juga tidak boleh melanggar mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan. (Lihat: PP v. Su Liang Yu [1978] 2 MLJ 79; Madhavan Nair v. PP [1975] 264). Tambahan pula, badan pentadbiran, jabatan dan pertimbangan eksekutif, polisi dan keputusan mesti dalam lingkungan badan perundangan yang dibolehkan jika sebaliknya ia akan digugurkan kerana ultra vires perundangan. (Lihat: Ghazali v. PP [1964] 30 MLJ 159). Sudah tentu tanpa ada ungkapan badan perundangan mesti selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan. (Lihat :PP v. Mohamed Ismail (supra)).

Bagi mengurus dan mengawasi perlaksanaan badan pentadbiran, jabatan atau pertimbangan eksekutif, mahkamah kita perlu mengikuti dengan pengubahsuaian yang mana prinsip perundangan yang penting yang diumumkan oleh mahkamah-mahkamah yang mempunyai bidangkuasa. Sebagai contoh, untuk menjadi pentadbiran yang sah, jabatan atau pertimbangan eksekutif haruslah tidak terjejas dari efek mana-mana perundangan yang lemah iaitu, penyalahan undang-undang, tindakan tidak rasional dan prosedur yang tidak betul. (Lihat: CCSU v. Minister for the Civil Service [1984] 3 All ER 935; Persatuan Aliran Kesederaran Negara v. Minister of Home Affairs [1988] 1 MLJ 442).”

Pertikaian perkahwinan berkenaan dengan pemelukan Islam salah seorang daripada pasangan diselesaikan melalui pindaan peruntukkan-peruntukkan Akta Undang-undang Pembaharuan (LRA) termasuk seksyen 51 dengan memaksa pasangan yang beragama Islam untuk menuntut haknya mengikut undang-undang Sivil di Mahkamah Sivil

Jawapan kepada soalan ini mudah; sekiranya kita terpaksa meminda LRA untuk memaksa orang-orang Islam untuk membawa masalah –masalah ini ke Mahkamah Sivil, Oleh itu cadangan untuk meminda LRA dengan jelas akan menjadi ultra vires Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan ini tidak termasuk Perkara 121 1 A mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Ia juga menjadi satu yang ganjil untuk melakukan sedemikian kerana kedudukan Islam semasa zaman penjajahan dan ketika permulaan Persekutuan telah diiktiraf dan penggunaan Undang-undang Islam kepada orang-orang Islam telah dikekalkan. Dato’ Hishamuddin Yunus di dalam artikelnya yang diterbitkan dalam Current Law Journal dengan sangat jelas menerusi pelbagai perjanjian-perjanjian dan perundangan-perundangan yang diluluskan oleh British pada zaman yang lampau mentadbir hubungan mereka di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu malah cadangan Malayan Union di mana British sentiasa mengekalkan kedudukan Islam sebagai undang-undang tempatan untuk digunakan kepada orang-orang Islam dan ditadbir secara bebas dan sistem undang-undang yang asing setanding dengan undang-undang yang mereka luluskan. Kes yang mashyur Laton binti Malim Sultan and Ramah binti Taat 1927[1], di mana Justice Thorne J mengumumkan bahawa Undang-undang Islam adalah undang-undang tempatan dan undang-undang negara ini, yang mana mahkamah biasa mesti mengambil notis penghakiman yang sama. Oleh itu, bagaimana seseorang boleh memperdebatkan bahawa 50 tahun selepas kemerdekaan kita, kita mesti tarik balik kedudukan Islam ke belakang, jauh ke belakang dari zaman penjajahan. Sudah pasti dengan melakukan sedemikian, tujuan keseluruhan dan niat untuk meminda Perkara 121(1A) [2]akan menemui kegagalan.

Adalah penting diambil perhatian bahawa penggunaan sebenar hukum syara’ boleh dilihat di pelbagai Enakmen-enakmen Islam yang lama, yang mana tidak kelihatan penting dalam enakmen Islam sekarang. Sebagai contoh, enakmen lama Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No.3 Tahun 1952[3] menyediakan untuk pengesahan bahawa kanak-kanak yang lahir hasil dari perkahwinan bukan Islam akan secara automatik disahkan Islam apabila salah seorang pasangan memeluk agama Islam. Ia adalah satu misteri bagaimana peruntukan-peruntukan ini yang mana selari dengan undang-undang Islam sebenar kita telah terhakis ditelan zaman sehingga Enakmen-enakmen yang terkini menetapkan kepada ibubapa yang masuk Islam untuk mengislamkan anak-anak mereka, dalam erti kata lain, kanak-kanak tidak secara automatik masuk Islam. Sekiranya trend ini tidak dihentikan, ditakuti kemudiannya kita akan mendapati kedudukan Islam di bawah Perkara 3(1) hanya menjadi ilusi.

SARANAN

i. Bagi Kerajaan untuk menasihat haruslah dengan pendekatan yang konsisten dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan orang Islam mengamalkan apa yang dituntut ke atas mereka di mana terdapat Hukum Syarak yang jelas disahkan oleh cendiakawan Islam;

ii. Untuk Kerajaan meminda peruntukan tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang bukan Islam untuk hadir ke Mahkamah Syariah dalam menentukan masalah yang melibatkan pertembungan hak di antara orang Islam dan bukan; dan

iii. Sekiranya pindaan seksyen 51 dibuat, ia haruslah dibenarkan hanya untuk setakat tujuan pentadbiran. Mahkamah Sivil mesti mengiktirafkan perintah yang di buat oleh Mahkamah Syariah, Mahakamah Sivil tiada bidangkuasa melampauhi , melangkau atau meminda Printah Mahkamah Syariah. Ini adalah satu-satunya cara membenarkan pasangan yang bukan Islam dilepaskan dan mendapat dekree yang mutlak (Perintah Pebubaran) supaya dapat membenarkan pasangan yang bukan Islam meneruskan kehidupan mereka. Semua relief sampingan hendaklah dimohon di Mahkamah Syariah bahawa orang bukan Islam mendapat remedi dan keadilan melalui “jurisprudence” Islam.

MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP

12/07/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Rujuk majlis isu tukar agama tindakan bijaksana

Keputusan selaras tugas penting mengurus, beri nasihat, perundangan berkaitan Islam

KELMARIN, Mesyuarat Majlis Raja-Raja selama dua setengah jam di Istana Negara memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam negeri diperoleh terlebih dulu berhubung cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Mesyuarat yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing ketika berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau mendapatkan hak penjagaan anak. Jemaah Menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak tidak bersalah terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.

Majlis Raja-Raja mempunyai peranan besar dalam Sistem Raja Berperlembagaan di negara kita. Majlis Raja-Raja adalah suatu majlis unik kerana ia satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini.

Menyorot sejarah penubuhan Majlis Raja-Raja pada 1948, ia sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang sebelum itu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar).

Mesyuarat Durbar kali pertama diadakan di Kuala Kangsar pada 1897. Majlis itu dianggotai empat raja dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, yang dipengerusikan Pesuruhjaya Tinggi British.

Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud Istana Raja, dan juga bermaksud perjumpaan umum yang diadakan oleh Raja-Raja atau gabenor atau wizurai British di India pada masa dulu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali pertama diadakan pada 31 Ogos dan 1 September 1948, yang dihadiri semua sembilan Raja Melayu. Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja dikanunkan mengikut Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi dan tugas Majlis Raja-Raja adalah seperti dalam Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan:

Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan jadual ketiga Perlembagaan Persekutuan;
Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;
Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
Melantik anggota Mahkamah Khas mengikut Fasal (1) Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan;
Memberi ampun, penangguhan hukuman (reprief dan respit), atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.Majlis Raja-Raja juga boleh menimbangkan soal mengenai dasar negara dan apa juga perkara lain yang difikirkannya patut. Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara mengenai dasar negara, ia hendaklah disertai Perdana Menteri, Raja, Yang Dipertua Negeri disertai Menteri Besar atau Ketua Menteri.Tiada undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja juga hendaklah diminta buah fikirannya sebelum dibuat sebarang perubahan dasar mengenai tindakan pentadbiran mengikut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, Bumiputera serta hak kaum lain.
Majlis Raja-Raja juga mempunyai kuasa menurut budi bicara mereka dalam urusan berhubung:

Memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;
Memberi nasihat mengenai pelantikan ditetapkan Perlembagaan;
Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja;
Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;
Pelantikan anggota Mahkamah Khas mengikut Fasal (1) Perkara 182; atau
Pemberian ampun, penangguhan hukuman (reprief dan respite), atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melihat tindakan Majlis Raja-Raja untuk merujuk dan mendapatkan pandangan Majlis Agama Islam berhubung keputusan Kabinet membuat peraturan pertukaran agama adalah tindakan bijaksana.Ia kerana keputusan yang bakal dibuat itu pasti akan membabitkan banyak aspek iaitu sensitiviti agama, perkauman, termasuk institusi kekeluargaan seperti pembubaran perkahwinan, agama anak, hak penjagaan dan nafkah anak serta nafkah isteri.
Keputusan Majlis Raja-Raja juga bertepatan dengan seruan Allah yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, ayat 43)

Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan mengikut peruntukan Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri berfungsi dan bertanggungjawab menolong serta menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri, dalam perkara berkaitan agama Islam.

Majlis Agama Islam juga bertanggungjawab memastikan pengurusan dan perjalanan hal ehwal Islam di negeri pada landasan yang betul, mempertingkatkan dan meneguhkan sosio-ekonomi umat Islam, memastikan harta Islam terpelihara, berkembang dan membangun sesuai menurut tuntutan syarak serta memastikan semua orang Islam mengeluarkan zakat.

Di samping Majlis Agama Islam Negeri, Majlis Raja-Raja juga boleh mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jakim yang ditubuhkan pada 1 Januari 1997, mengambil peranan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri (Baheis) atau Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia, yang idea penubuhan asalnya adalah cetusan dari Majlis Raja-Raja pada 1968.

Dua tugas penting Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ialah membincang, menimbang dan menguruskan sebarang perkara dirujukkan kepada majlis oleh Majlis Raja-Raja, mana-mana kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atau seseorang ahli Majlis, dengan tujuan hendak memberi nasihat atau pengesyoran.

Kedua, memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri berkaitan perundangan atau pentadbiran agama Islam atau pelajaran agama Islam dengan tujuan membaiki, menyamakan atau menggalakkan persamaan undang-undang atau pentadbiran.

Fungsi asal Jakim untuk memelihara kesucian akidah dan ajaran Islam, kemudian berkembang sebagai badan bagi menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan taraf negara sebagai negara Islam yang makin kukuh serta mendapat perhatian dunia antarabangsa.

Nasihat dan pendapat pakar undang-undang terutama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peguam terbabit secara langsung dalam permasalahan itu tidak harus dipandang sepi. Barangkali segala kelemahan pada peringkat akar umbi mampu diketengahkan di samping mengutarakan syor baru lebih bernas demi kepentingan semua pihak.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://peguamsyarie.org.

12/07/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment