18P

Suara

KENYATAAN MEDIA – ISU HUKUMAN ROTAN TERHADAP WANITA DI MAHKAMAH SYARIAH

Mengulas kenyataan dan komen Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’lo’ Datuk Mohd Ghazali, tentang hukuman yang dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno atas kesalahan meminum arak yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu 22 Julai 2009,

PGSM dengan ini menyatakan pendirian dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-

1. PGSM kesal dengan kenyataan-kenyataan 2 tokoh tersebut yang cuba mempertikaikan dan menghina keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah. Secara tidak langsung kenyataan tersebut seolah-olah mencabar dan mempertikaikan keputusan Mahkamah. Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan Mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

2. PGSM menegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Hakim bicara, Datuk Abdul Rahman Yunus adalah atas dasar menjalankan tugasnya berdasarkan peruntukan dan kuasa yang diberi oleh undang-undang. Menurut peruntukan Seksyen Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, Mahkamah berbidangkuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi 5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan.

3. Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat.

4. Kami tidak menafikan bahawa di Mahkamah Sivil tidak terdapat hukuman sebat untuk pesalah wanita, lelaki berumut 50 tahun (kecuali atas kesalahan rogol), atau pesakit mental, tetapi perlu ditegaskan bahawa dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan. Walaupun niat baik kedua-dua tokoh ini adalah untuk memperjuangkan nasib wanita, tetapi mereka perlulah faham akan kaedah dan cara pelaksanaan hukuman sebat menurut Islam.

5. PGSM menegaskan bahawa pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Sivil. Prosedur untuk menjalankan hukuman sebat di Negeri Pahang ada diperincikan secara jelas dalam Seksyen 125 dan Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 negeri itu.

Antara lain seksyen ini menyebut :-

i. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

ii. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

iii. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan.

iv. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

v. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

vi. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk

vii. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

viii. Pegawai Perubatan Kerajaan akan memperakukan samada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

6. PGSM mengucapkan syabas kepada Hakim bicara yang dapat melaksanakan peruntukan undang-undang sedia ada dengan baik. Semoga perlaksanaan undang-undang ini akan menjadi pengajaran kepada semua masyakarat terutama orang Islam. Pahang adalah antara Negeri yang amat serius dalam melaksanakan hukuman mengikut Syariah seperti yang sedia termaktub dalam perundangan Islam.

Sekian untuk siaran. Semoga segala kenyataan PGSM ini dapat disiarkan sepenuhnya, terutama di perenggan Lima (5) tersebut di atas, iaitu berkaitan penerangan tentang kaedah pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

Musa___

………………………….

(MUSA AWANG, P.P.N)

Timbalan Presiden

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

27/07/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Ampun bang

KUALA LUMPUR: Tidak ada wanita mahu perkahwinan dengan suami tersayang terhenti di tengah jalan, apatah lagi bahtera yang dibina baru berusia beberapa minggu atau bulan.

Namun, isteri mana dapat bertahan jika keupayaan seksual suami sangat luar biasa, dipercayai akibat berdamping dengan makhluk halus, dan akhirnya meminta cerai.

Mungkin ada yang menganggap perkara terbabit kisah karut dalam zaman serba maju sekarang, tetapi hakikatnya ada dua kes perceraian kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpunca daripada kekuatan seksual dimiliki suami.

Dalam kes pertama, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata kes dikendalinya membabitkan pasangan suami isteri berumur dalam lingkungan 30-an.

“Mereka berkahwin tak sampai setahun. Dalam aduannya, si isteri memohon cerai kerana mendakwa kehendak seksual suaminya sangat kuat, menyebabkan dia tidak mampu melayan nafsu serakahnya.

“Kemusykilan berkaitan kekuatan luar biasa itu akhirnya terjawab apabila ahli keluarga wanita terbabit mendapati suaminya masih ada di rumah walaupun sebelum itu dia dilihat keluar ke tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, beberapa saudara kandung wanita itu terdengar suara lelaki di dalam bilik tidur, sedangkan mereka melihat dia keluar pada awal pagi.

“Mereka bertanya mengenai kehadiran ipar mereka di dalam bilik itu kepada ibu yang kemudian menyatakan menantunya sudah keluar.

“Bagaimanapun, apabila diselidik, didapati individu di dalam bilik itu memang kelihatan seperti si suami,” katanya.

Berikutan itu, kata Musa, si isteri membuat aduan di pejabat agama dan memfail permohonan fasakh kerana tidak tahan lagi melayan kehendak seks suaminya.

“Ketika hadir di mahkamah, lelaki itu setuju menceraikan isterinya. Oleh itu permohonan fasakh berkenaan dibatalkan.

“Anggota keluarga kedua-dua pihak mungkin tahu berkaitan kekuatan luar biasa lelaki terbabit, tetapi ia menjadi rahsia selepas bersetuju menceraikan isterinya. Jika dibicarakan, mungkin mahkamah boleh tahu perkara sebenar,” katanya.

Dalam satu kes lagi, pakar Perubatan Islam Mustajab, Nazri Md Isa, mendedahkan seorang isteri yang baru berusia 18 tahun memohon cerai fasakh kerana tidak tahan melakukan hubungan seks dengan suami hingga berbelas kali setiap hari.

Bagaimanapun, menurutnya, dalam kes terbabit, lelaki itu mempunyai ritual tersendiri sebelum meniduri isterinya, iaitu dengan masuk ke bilik air seketika.

“Semuanya bermula apabila isteri muda itu menikahi lelaki berkenaan pada pertengahan 2008. Suaminya menunjukkan kehebatan seorang lelaki pada malam pertama perkahwinan dengan memberi nafkah batin hingga 17 kali,” katanya.

Mulanya, si isteri tidak menyangka apa-apa kerana beranggapan lelaki terbabit hanya menjalankan tanggungjawab sebagai suami.

Selepas keadaan itu berlarutan setiap hari, wanita itu mula terasa letih, selain hairan dengan kehebatan ditunjukkan suami.

“Wanita terbabit akhirnya membuka mulut dengan menceritakan kepada ibu mentuanya, namun terkejut apabila ibu mentuanya berkata itu perkara biasa,” katanya.

Selepas gagal mendapatkan kepastian daripada keluarga mentua, wanita itu memaklumkan ibu kandungnya yang membawanya membuat aduan di jabatan agama bagi mendapatkan nasihat kerana beranggapan ada kaitan kes deraan seks.

Nazri berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit bertabiat pelik apabila keluar masuk bilik air sebelum meniduri isterinya.

“Apabila diselidiki, dua ‘pihak’ dengan wajah saling tidak tumpah keluar masuk bilik air itu. Si suami kemudian diminta hadir ke pejabat agama sebelum merungkai misteri kekuatan luar biasa dimilikinya,” katanya.

Permohonan fasakh wanita itu dipenuhi mahkamah dan kini pasangan terbabit sudah bercerai.

27/07/2009 Posted by | Uncategorized | 2 Comments