18P

Suara

Perkahwinan sah jika penuhi syarat ditetap hukum syarak

Soalan:
SAYA berkahwin di Thailand tetapi tidak didaftarkan di Malaysia. Selepas beberapa bulan berkahwin, saya bercerai dengan suami. Apakah status saya kalau mengikut prosedur undang-undang Syariah Malaysia? Adakah saya akan mengalami kesukaran jikalau saya hendak berkahwin lagi kelak? Untuk pengetahuan, segala dokumen (surat nikah) dimusnahkan demi menjaga keselamatan diri saya daripada diganggu suami. Harap dapat memberikan penjelasan.

Ingin Tahu,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Perkahwinan adalah satu sunnah Rasulullah SAW yang amat dituntut terhadap umat Islam. Apa yang penting sesuatu perkahwinan itu hendaklah mengikuti kehendak hukum syarak dan peraturan ditetapkan pihak pemerintah bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini. Matlamat perkahwinan itu sendiri adalah untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga dan mendapat rahmat serta keredaan Allah mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak.

Hikmah perkahwinan juga untuk memelihara diri daripada melakukan perkara haram, memelihara kesucian keturunan, menghubungkan silaturahim, membentuk keluarga dan menyusun masyarakat.
Nikah sindiket ialah sesuatu perkahwinan yang dilaksanakan tanpa mendapat kebenaran Pendaftar Perkahwinan atau pihak berkuasa sama ada dijalankan di dalam atau di luar negara atau sesuatu perkahwinan yang berlawanan dengan hukum Syarak. Adalah menjadi peraturan yang berkuatkuasa, apabila seseorang lelaki atau perempuan hendak berkahwin, dia perlu memohon kebenaran daripada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam di daerah tempat beliau bermastautin. Ini adalah ketetapan berdasarkan peruntukan Seksyen 16 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang berbunyi:

(1) “Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Negeri tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.”

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di kariah masjid yang berlainan daripada kariah masjid pihak perempuan atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonannya hendaklah mengandungi atau disertai dengan kenyataan Pendaftar bagi kariah masjidnya atau pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikan perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.
Dalam kes tertentu iaitu jika bakal pasangan itu di bawah umur atau jika perempuan itu adalah janda atau jika perempuan itu tidak mempunyai wali nasab, maka dia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie tempat dia bermastautin, untuk dia dinikahkan secara wali Hakim. Ini diperuntukkan dalam Seksyen 18 Enakmen yang sama. Manakala, bagi lelaki yang ingin berkahwin lebih dari seorang isteri pada satu masa (poligami), maka lelaki itu juga perlu memohon kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie tempat di bermastautin, iaitu berdasarkan peruntukan Seksyen 23 Enakmen yang sama.

Menurut Seksyen 20 Enakmen, sesuatu perkahwinan tidak boleh diakadnikahkan kecuali dalam kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin, kecuali dalam kes-kes tertentu selepas mendapat kebenaran dari Hakim Syarie untuk dia dinikahkan di tempat lain. Manakala, menurut Seksyen 24 pula, perkahwinan boleh diakadnikahkan oleh Pendaftar yang dilantik oleh Sultan di Kedutaan, Suruhanjaya tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana Negara tertentu yang tidak membantah pernikahan itu dijalankan.

Jika seseorang lelaki atau perempuan bernikah berlawanan dengan undang-undang yang dinyatakan di atas, maka ia adalah sebahagian daripada nikah sindiket, walau apa pun cara dan gayanya. Sesuatu perkahwinan itu hanya akan menjadi sah sekiranya memenuhi semua syarat dan rukun yang ditetapkan oleh hukum syarak.

Dalam masalah puan ini, tidak dapat dipastikan sama ada nikah itu sah atau tidak menurut hukum syarak. Pernikahan puan perlu dipanjangkan ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan sama ada nikah itu sah atau tidak menurut hukum syarak. Yang pasti dari sudut undang-undang nikah itu adalah tak sah kerana dijalankan berlawanan dengan peruntukan undang-undang dan peraturan yang dinyatakan di atas.

Menurut Seksyen 11 Enakmen yang sama, sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Enakmen tidak boleh didaftarkan, melainkan perkahwinan itu disahkan Hakim Syarie bahawa ia sah menurut hukum syarak dan diperintahkan oleh hakim itu untuk ia didaftarkan. Berdasarkan Seksyen ini, jelas bahawa hanya hakim syarie adalah pihak yang diberi kuasa dan berotoriti untuk mengesahkan nikah itu sama ada sah atau tidak dan hanya hakim syarie yang berkuasa mengarahkan nikah itu didaftarkan atau tidak.

Jika pernikahan puan membabitkan pernikahan poligami, maka ia tertakluk kepada Seksyen 23 (2) yang mana hanya Mahkamah Syariah yang berkuasa menentukan nikah itu sah atau tidak dan berkuasa memerintahkan pernikahan itu didaftarkan, tertakluk kepada penalti di bawah Seksyen 124 yang bakal dikenakan kepada suami yang berpoligami itu.

Status pernikahan puan di sisi undang-undang syariah adalah tidak berdaftar dan tidak mempunyai rekod bahawa anda pernah berkahwin, sehinggalah pernikahan itu disahkan dan didaftarkan. Status pernikahan puan menurut hukum syarak juga sukar untuk dipastikan, sama ada ia sah atau tidak. Status perceraian puan juga adalah tidak berdaftar dan tidak mempunyai rekod menurut undang-undang Malaysia. Begitu juga status perceraian itu menurut hukum syarak, kerana perlu dipastikan dulu sama ada nikah puan dan suami sah, barulah cerai itu boleh jadi sah.

Bagaimanakah puan katakan sudah bercerai jika nikah pun belum dipastikan sah atau tidak?

Saya nasihatkan puan dapatkan pandangan dan nasihat Peguam Syarie bertauliah secara langsung, supaya hidup puan tidak terus dalam dilema tidak berkesudahan.

Jawapan disediakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang. Sila layari http://www. peguamsyarie.org.

07/08/2009 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: