18P

Suara

Hak hadanah tidak semestinya berat kepada ibu

Saya dan kami mempunyai seorang anak lelaki berumur tujuh tahun yang menghidap penyakit akibat tahap rendah atau kekurangan Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD). Sejak anak lahir dan selama tempoh perkahwinan bekas isteri saya tidak pernah menjaga anak kami, segala keperluan makan minum dan sakit pening anak saya semuanya di bawah jagaan saya dan anak itu amat rapat dengan saya. Selepas bercerai bekas isteri saya melarikan anak kami dan meletakkannya di bawah jagaan ibu bapanya yang tidak berapa tahu mengenai cara menjaga anak yang mengidap G6PD. Saya sangat bimbangkan mengenai kesihatannya. Adakah sebagai bapa saya mempunyai hak untuk menjaga anak itu?

Salleh, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Hadanah atau hak jagaan anak adalah bukan suatu perkara yang boleh dianggap remeh apabila berlaku perceraian. Ia juga tidak seharusnya dijadikan isu untuk membalas dendam. Sehebat mana perang yang berlaku antara suami dan isteri, seboleh-bolehnya elakkan dari pembabitan anak yang mungkin suatu masa nanti akan menjejaskan tumbesaran anak itu dari segi mental dan fizikal.
Di dalam Islam ibu diberikan kelayakan utama hadhanah lebih daripada bapa seperti mana di dalam hadis Rasulullah ;
“Seorang perempuan datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susuku minumannya dan ribaanku rumahnya, bapanya menceraikan aku dan hendak membawanya pergi dariku. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda: Engkaulah yang berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin. (Abu Daud )

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa ibu sebenarnya orang yang lebih layak untuk menjaga anak berbanding bapa. Selari dengan peruntukkan Seksyen 81 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUKIWP) yang memperuntukkan bahawa ibu adalah orang berhak untuk menjaga anak kecilnya dalam tempoh perkahwinan dan juga selepas perceraian berlaku.

Bagaimanapun harus diingat bahawa di dalam isu hak jagaan ini, kebajikan anak adalah perkara utama yang akan diberi perhatian mahkamah. Di samping kelayakan pihak yang bertikai, mahkamah akan mengambil kira faktor lain yang menjurus kepada kebajikan anak itu. Jika didapati bahawa kelayakan pihak itu menepati kehendak syarak dan peruntukan undang-undang, maka mahkamah akan mengambil kira faktor kebajikan anak-anak itu seiring dengan kemaslahatan semua pihak.

Dalam kes ini, saya percaya bahawa sebagai bapa, penanya perlu membuktikan bahawa beliau berhak dan layak untuk menjaga anak berkenaan berbanding bekas isteri. Penanya juga perlu membuktikan kebajikan anak itu terjamin jika anak itu tinggal bersama beliau. Pengalaman menguruskan anak itu yang mengidap penyakit G6PD boleh memberi kelebihan, bagaimana pun ia bergantung kepada penilaian Mahkamah.

Walaupun ibu diberi hak yang lebih utama untuk menjaga anak namun jika bapa boleh membuktikan kelayakan bapa dalam menjaga dan mendidik anak itu lebih kuat maka mahkamah boleh memerintahkan hak jagaan itu diberikan kepada bapa. Antara syarat kelayakan untuk seseorang memperoleh hak jagaan anak adalah Islam, sempurna akal, berumur layak untuk jagaan dan memberikan kasih sayang yang diperlukan oleh anak itu, mempunyai kelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan mempunyai tempat tinggal dan persekitaran yang sihat dari segi jasmani dan akhlak. Harus diingat segala fakta yang dikemukakan di hadapan mahkamah mestilah disokong oleh bukti dan keterangan yang jelas.

Apapun keputusan mahkamah kelak, diharap semua pihak akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tidak kiralah siapa yang menjaga anak itu. Hayatilah peranan sebagai bapa dan ibu, bukan sebagai pasangan yang bercerai. Ketepikan perasaan ego dan sikap pentingkan diri demi memastikan kebajikan dan kepentingan anak itu terjamin.

Saya menasihatkan penanya agar mendapatkan nasihat daripada Peguam Syar’ie yang berkelayakan dan arif di dalam undang-undang ini supaya permohonan dapat berjalan dengan lancar

09/10/2009 Posted by | Uncategorized | 2 Comments

KAVEAT PERSENDIRIAN DAPAT MENJAGA KEPENTINGAN ISTERI ATAS HARTANAH SELEPAS PERCERAIAN.

Suami saya telah ceraikan saya dan telah tinggalkan bersama-sama saya 4 orang anak sejak 6 bulan yang lalu tanpa sebarang nafkah untuk anak-anak saya. buat masa sekarang ini saya dan anak-anak saya terpaksa menyewa di rumah flat, sedangkan suami saya mempunyai dua buah rumah yang dibeli semasa tempoh perkahwinan kami .Demi menjaga hak saya dan anak-anak, saya telah memohon kepada Mahkamah Syariah Harta Sepencarian terhadap kedua-dua rumah tersebut. Saya telah mendapat maklumat jiran bahawa bekas suami saya akan menjual salah sebuah rumah tersebut dan akan berkahwin baru. Saya amat risau jika sekiranya rumah tersebut akan terjual dan jatuh ke tangan isteri baru bekas suami saya sebelum kes saya selesai.Apa Yang perlu saya lakukan?

Rokiah Dali-segambut

Jawapan

Pertamanya saya amat bersimpati dengan apa yang telah menimpa puan dan anak-anak puan.Saya juga bangga kerana puan tahu apa hak puan dan anak-anak selepas diceraikan.

Bagi melindungi hak dan kepentingan puan terhadap kedua-dua rumah tersebut,cara terbaik untuk puan menyekat bekas suami puan daripada menjual atau memindahkan rumah-rumah tersebut kepada orang lain adalah membuat permohonan Kaveat persendirian di mana-mana pejabat tanah yang berkaitan di bawah Seksyen 324(1) Kanun Tanah Negara (KTN).

Kaveat persendirian adalah hak untuk menghalang sebarang urusniaga dan juga bukan urusniaga terhadap sesuatu hartanah oleh mana-mana individu yang mempunyai kepentingan berdaftar terhadap hartanah tersebut Ini jelas diperuntukkan di bawah Seksyen 323 KTN.

Untuk tujuan permohonan kaveat ini puan perlu mengisi Borang 19B yang boleh diambil di mana-mana pejabat tanah berkaitan berdasarkan kepada Nombor Hakmilik yang tertera pada Geran tanah tersebut.

Selanjutnya Borang 19B tersebut hendaklah dilampirkan bersama-sama Akuan Bersumpah puan bersama-sama dengan alasan mengapa Kaveat persendirian didaftarkan. Akuan bersumpah tersebut hendaklah ditandatangani dan diikrarkan di hadapan Pesuruh Jaya Sumpah atau Pentadbir Tanah.

Seterusnya Puan boleh nyatakan bahawa Kaveat ini didaftarkan bagi tujuan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah sebagai alasan bagi permohonan Kaveat Persendirian tersebut.

Adalah diingatkan bahawa bayaran pendaftaran bagi permohonan Kaveat berbeza dari negeri dengan satu negeri yang lain.

Kaveat persendirian ini hanya boleh berkuatkuasa selama tempoh 6 tahun sahaja. Sekiranya tempoh tersebut telah tamat maka puan dikehendaki membuat permohonan baru di pejabat tanah berkenaan pada setiap 6 tahun sekali tanpa apa-apa had melainkan bekas suami puan mempunyai perintah mahkamah agar kaveat tersebut dikeluarkan atau dibatalkan.

Kesan daripada pendaftaran kaveat persendirian ini, bekas suami puan tidak dapat menjual rumah-rumah tersebut kerana urusniaganya telah dihalang oleh kaveat tersebut. kebiasaanya sebelum mana-mana perjanjian jual beli dibuat, satu carian hak milik akan dibuat di mana-mana pejabat tanah berkaitan bagi memastikan status tanah tersebut. Hasil daripada carian tersebut, pembeli akan memaklumkan kepada suami puan bahawa urusniaga jual beli telah terhalang dan tidak dapat dibuat disebabkan oleh kaveat tersebut . Oleh itu hak puan telah terpelihara sehingga mahkamah Syariah membuat keputusan sewajarnya .

Oleh yang demikian, saya menasihatkan puan agar melantik mana-mana peguam sivil yang berpengalaman dan bertauliah dalam membuat permohonan Kaveat tersebut, bagi melicinkan perjalanan kes puan. Ini adalah kerana urusan tersebut di bawah bidangkuasa undang-undang sivil. Saya harap jawapan saya ini memadai.

Jawapan ini disediakan oleh Cik Yusmawati Ab.llah Exco Penerbitan PGSM.

09/10/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment