18P

Suara

Hak hadanah tidak semestinya berat kepada ibu

Saya dan kami mempunyai seorang anak lelaki berumur tujuh tahun yang menghidap penyakit akibat tahap rendah atau kekurangan Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD). Sejak anak lahir dan selama tempoh perkahwinan bekas isteri saya tidak pernah menjaga anak kami, segala keperluan makan minum dan sakit pening anak saya semuanya di bawah jagaan saya dan anak itu amat rapat dengan saya. Selepas bercerai bekas isteri saya melarikan anak kami dan meletakkannya di bawah jagaan ibu bapanya yang tidak berapa tahu mengenai cara menjaga anak yang mengidap G6PD. Saya sangat bimbangkan mengenai kesihatannya. Adakah sebagai bapa saya mempunyai hak untuk menjaga anak itu?

Salleh, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Hadanah atau hak jagaan anak adalah bukan suatu perkara yang boleh dianggap remeh apabila berlaku perceraian. Ia juga tidak seharusnya dijadikan isu untuk membalas dendam. Sehebat mana perang yang berlaku antara suami dan isteri, seboleh-bolehnya elakkan dari pembabitan anak yang mungkin suatu masa nanti akan menjejaskan tumbesaran anak itu dari segi mental dan fizikal.
Di dalam Islam ibu diberikan kelayakan utama hadhanah lebih daripada bapa seperti mana di dalam hadis Rasulullah ;
“Seorang perempuan datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susuku minumannya dan ribaanku rumahnya, bapanya menceraikan aku dan hendak membawanya pergi dariku. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda: Engkaulah yang berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin. (Abu Daud )

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa ibu sebenarnya orang yang lebih layak untuk menjaga anak berbanding bapa. Selari dengan peruntukkan Seksyen 81 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUKIWP) yang memperuntukkan bahawa ibu adalah orang berhak untuk menjaga anak kecilnya dalam tempoh perkahwinan dan juga selepas perceraian berlaku.

Bagaimanapun harus diingat bahawa di dalam isu hak jagaan ini, kebajikan anak adalah perkara utama yang akan diberi perhatian mahkamah. Di samping kelayakan pihak yang bertikai, mahkamah akan mengambil kira faktor lain yang menjurus kepada kebajikan anak itu. Jika didapati bahawa kelayakan pihak itu menepati kehendak syarak dan peruntukan undang-undang, maka mahkamah akan mengambil kira faktor kebajikan anak-anak itu seiring dengan kemaslahatan semua pihak.

Dalam kes ini, saya percaya bahawa sebagai bapa, penanya perlu membuktikan bahawa beliau berhak dan layak untuk menjaga anak berkenaan berbanding bekas isteri. Penanya juga perlu membuktikan kebajikan anak itu terjamin jika anak itu tinggal bersama beliau. Pengalaman menguruskan anak itu yang mengidap penyakit G6PD boleh memberi kelebihan, bagaimana pun ia bergantung kepada penilaian Mahkamah.

Walaupun ibu diberi hak yang lebih utama untuk menjaga anak namun jika bapa boleh membuktikan kelayakan bapa dalam menjaga dan mendidik anak itu lebih kuat maka mahkamah boleh memerintahkan hak jagaan itu diberikan kepada bapa. Antara syarat kelayakan untuk seseorang memperoleh hak jagaan anak adalah Islam, sempurna akal, berumur layak untuk jagaan dan memberikan kasih sayang yang diperlukan oleh anak itu, mempunyai kelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan mempunyai tempat tinggal dan persekitaran yang sihat dari segi jasmani dan akhlak. Harus diingat segala fakta yang dikemukakan di hadapan mahkamah mestilah disokong oleh bukti dan keterangan yang jelas.

Apapun keputusan mahkamah kelak, diharap semua pihak akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tidak kiralah siapa yang menjaga anak itu. Hayatilah peranan sebagai bapa dan ibu, bukan sebagai pasangan yang bercerai. Ketepikan perasaan ego dan sikap pentingkan diri demi memastikan kebajikan dan kepentingan anak itu terjamin.

Saya menasihatkan penanya agar mendapatkan nasihat daripada Peguam Syar’ie yang berkelayakan dan arif di dalam undang-undang ini supaya permohonan dapat berjalan dengan lancar

09/10/2009 - Posted by | Uncategorized

2 Comments »

  1. Salam aburabiah,

    Tahniah atas artikel yang baik ini. Semoga maklumat sebegini dapat membantu mencelikkan masyarakat akan undang-undang keluarga Islam di negara ini.

    Teruskan menulis.

    Comment by ERAKITA | 14/10/2009 | Reply

  2. Mohd,

    Ya betol tu. Bertujuan menambah pengetahuan dan mendidik. Wallahhualam..

    Comment by Mohd | 19/06/2011 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: