18P

Suara

Rogol: Pelatih PLKN desak rayuan

Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mendakwa dirogol jurulatihnya pada 2004 mendesak agar pihak pendakwaan
memfailkan segera rayuan kesnya ke Mahkamah Rayuan.

Mangsa menerusi peguamnya Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu yang melepas dan membebaskan bekas jurulatih PLKN Zuki Mohd dari tuduhan merogol.

“Kami mendapat arahan dari anak guam kami (mangsa) untuk memohon dan mendesak pendakwaraya negeri Terengganu memfailkan rayuan segera ke Mahkamah Rayuan memandangkan terdapat isu-isu penting dan asas yang perlu diselesaikan oleh mahkamah yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di Kuantan hari ini.

Beliau berkata selaku peguam pemerhati dalam perbicaraan kes itu, pihaknya juga sudah menulis kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya Terengganu bagi tujuan tersebut.

Mohd Fadzli berkata anak guamnya yang mengalami trauma teruk sehingga kini dan hanya bergantung kepada ibu bapanya berharap agar mahkamah dapat memberikan sepenuh keadilan kepadanya.

Pada 27 Okt lepas, hakim VT Singham mengetepikan hukuman penjara 12 tahun dan tiga kali sebatan yang dijatuhkan hakim Mahkamah Sesyen pada 19 Dis 2005, sekali gus membebaskan Zuki yang telah menjalani hukuman penjara sejak 19 Dis 2005.

Ketika memutuskan rayuan Zuki untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang notisnya dikemukakan Zuki pada 21 Dis 2005, hakim Singham berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir perbicaraan dan tertuduh sepatutnya tidak perlu dipanggil untuk membela diri.

Zuki didakwa merogol pelatih program berkenaan antara 7.28 malam hingga 9.10 malam dalam sebuah kereta Perodua Kancil di kawasan pertanian Rhu Tapai, Setiu, 28 Feb 2004. BERNAMA

30/10/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment