18P

Suara

Isteri teraniaya boleh fail pembelaan enggan rujuk depan hakim

Soalan:
SAYA bercerai dua bulan lalu. Pada bulan lepas, bekas suami ke rumah memujuk saya menerimanya kembali. Saya enggan berjumpanya dan serik untuk bersama bekas suami yang kaki judi dan kaki perempuan. Sebaik saya keluar rumah, bekas suami berjaya menangkap saya dan melafazkan “aku rujuk dengan kau, kau isteri aku apa-apa yang terjadi aku tidak akan lepaskan kau.”
Untuk pengetahuan tuan, saya menderita sepanjang tempoh perkahwinan kami. Saya disepak terajang dan dimaki hamun setiap kali dia balik rumah sebab kalah judi.

Suami saya juga sudah lama tidak memberikan nafkah zahir dan batin kepada saya, malah segala perbelanjaan rumah dan anak saya tanggung.

Suami membuat permohonan pengesahan rujuk di mahkamah dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan. Apa yang perlu saya lakukan? Saya tidak ingin kembali kepadanya.
Minah,
Hulu Klang,
Selangor.

Jawapan:
Saya bersimpati dengan apa yang menimpa anda dan berharap anda bersabar. Sememangnya tidak disyaratkan rujuk memerlukan persetujuan isteri, namun fuqaha berpendapat haram dan berdosa bagi suami untuk rujuk dengan isteri ketika edah, semata-mata dengan tujuan niat untuk menganiaya si isteri.

Oleh itu, demi membela nasib anda daripada terus dianiaya dan dizalimi, saya berpendapat anda masih berpeluang membela nasib di depan mahkamah.

Anda perlu menjawab tuntutan suami dengan memfailkan pembelaan menyatakan anda tidak bersetuju rujuk kerana ia bertujuan untuk menganiaya anda dan keretakan rumah tangga disebabkan sikap suami yang kaki judi dan kaki perempuan.

Seksyen 51(9) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 memperuntukkan jika suami melafazkan rujuk dan tidak dipersetujui isteri atas sebab dibenarkan hukum syarak, mahkamah mempunyai kuasa tidak membenarkan suami hidup semula sebagai suami isteri dan mahkamah juga mempunyai kuasa melantik jawatankuasa pendamai mengikut Seksyen 47 akta yang sama bagi menyiasat dan memastikan sama ada perkahwinan sudah tidak lagi wajar diselamatkan dan mengalami pecah-belah atau sebaliknya.

Pada peringkat prosiding ini, anda tidak boleh diwakili oleh peguam di mahkamah tanpa kebenaran Jawatankuasa Pendamai, namun anda masih boleh melantik peguam untuk memberikan khidmat nasihat prosiding itu.

Jika jawatankuasa pendamai ini mendapati kedua-dua pihak tidak lagi mencapai perdamaian dan tidak dapat hidup semula sebagai suami isteri, maka mahkamah perlu menasihatkan suami untuk melafazkan satu talak di depan hakim.

Saya nasihatkan anda melantik seorang peguam syarie berkelayakan bagi melicinkan perjalanan kes dan mendapatkan pandangan sewajarnya bagi isu itu.

Jawapan disediakan Exco Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Yusmawati Ab.llah

Advertisements

21/11/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

OLE OLE DARI BANDUNG

Sebahagian ole ole dari Bandung sempena Simposium SKIM di UNPAD..antara kitab,buku yang sempat dibeli di Jl.Palasari
1.  Mafatih almaghfirah:Mukaffirah wa Dawa’ azzunub, Muhammad Ali Uthman Mujahid.

2.  Manhajun nabiyy fi dakwahmin khilalis sirah assahihah, Muhammad al Mahzun.

3.  Ad Da’u Wa dawa’, Ibn Qayyim Al Jauzi

4.  Fiqh tarbiyyah abna wa tha’ifah min nasa’ih alattibba, Abu Abdullah Musthafa Ibn al adawi.

5.  Pengantar sejarah Dakwah, Wahyu Ilahi.

6.  Management Dakwah, Wahyu Ilahi, M.Munir.

7.  Materi Dakwah Pilihan, H.Ahmad Yani.

8.  Khutbah Arba’in, Moch.Yazid Afandi etc.

9.   Al Hatstu ‘Alashlamtis sadri, Ali ad-Dihami.

10. Wa’idz bakat Lahu ‘uyun al-alamin, Muhamad Mahir al Buhairi.

11.  Nine natural Law for enriching your family life..,Linda & Richard.

12.  Personality Plus, Florence Littauer.

13.  How to Win Friends and Influence People, Dale Carnegie.

14.  Pengantar Statistika. spss 14, Riduwan MBA.

15.  Ancaman Negeri Jiran..dari ganyang Malaysia sampai Konflik Ambalat, Syafarudin Usman.

16.  Indonesia VS Malaysia, Taufiq Adi Susilo.

InsyaAllah sudah dibaca akan dihurai..

15/11/2009 Posted by | Uncategorized | 1 Comment

PEMBUKA REZEKI

setiap pagi sedekahkan al-fatihah kepada kedua ibu bapamu ( tak kira
masih hidup @ telah tiada )”………. nescaya pintu rezekimu akan terbuka
buat kamu…

Berdasarkan Hadith Nabi :
“Tidak akan terputus rezeki seseorang selagi dia tidak meninggalkan doa
kepada kedua orang tua nya dalam sehari”

Huraian hadith:
– jangan sesekali meninggalkan doa kepada kedua ibubapa (baik yang hidup
mahupun yang sudah tiada )
– Allah akan memurahkan rezeki kepada mereka yang tidak putus berdoa
kepada kedua ibu bapa (walaupun ada ibu bapa yang leka, doakan agar
mereka berubah)
– Ingatlah bahawa keredhaan ibu bapa adalah keredhaan Allah
– Semasa berdoa, berdoalah dengan bersungguh2. …tadah tangan dan
bayangkan wajah kedua orang tua kita , termasuk guru2 kita dan mereka
yang banyak menolong kita (berdoa perlu benar2 bersungguh2)
– Mereka yang lupa berdoa kepada kedua orang tua, akan disempitkan rezeki
oleh Allah

Kesimpulannya:
– Bagi yang berniaga, tak perlu ada ilmu pelaris….. . Cuma jangan lupa
doakan ibu bapa kita setiap hari
– Rezeki bukan sahaja berupa wang ringgit, tetapi segala nikmat yang kita
dapat dari Allah (e.g. makan, kesihatan, kasih sayang, ilmu dsb nya..)
InsyaAllah
Berusaha dan bertawakal.. …insyallah , rezeki itu bukan kerana ada sijil SPM,
(kata Azmil Mustapha)… ..Mari kita cuba….Allahhuakhbar. ..

Insya Allah
Allahu Akbar !

06/11/2009 Posted by | Uncategorized | 1 Comment

Kuasa Rujuk

Pada sebulan yang lalu saya telah bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri saya tidak rela dengan perpisahan yang berlaku dan menyuruh saya untuk merujuknya semula. Isteri saya juga telah melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi “saya rujuk semula dengan awak.” Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya tersebut atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa.

Mamat –Bandar Tasik Permaisuri

Jawapan.

Rujuk merupakan penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat oleh suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam Allah telah meletakkan hak RUJUK di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagimana si isteri masih dalam eddah. Allah Taala telah berfirman di dalam surah Al-baqarah Ayat 228 yang bermaksud:-

“Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri-isteri itu dalam masa edah mereka jika (suami-suami) bertujuan hendak berdamai”.

Saidina Umar R.A meriwayatkan :“Rasulullah s.a.w menceraikan Hafsah R.A., kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya”.

Menurut jumhur ulama, terdapat 3 rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).

Rukun pertama, suami hendaklah seorang yang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami yang belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal dalam Islam.

Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai idah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuknya tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh eddah.

Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya idah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti ‘engkau’ atau ‘nama isteri itu’ atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah itu pula tidak boleh digantungkan (ditaklikkan) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: “saya rujuk awak jika awak suka.” Atau: “saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja.” Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Walaubagaimanapun, Isteri yang telah diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri itu masih suka kepada suaminya.

Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya nya adalah sah walaupun rujuk yang dibuat itu dalam keadaan bergurau. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuklah nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah.

Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI)memperuntukkan bahawa si suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talaq Rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat idah. Oleh itu si suami tiadk boleh rujuk jika sekiranya tempoh eddah bagi talak-talak rajie tersebut tamat.,

Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti si suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya.Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.

Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud : “Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum itu sebagai ejek-ejekan dan permainan”.

Dari segi hukum rujuk juga, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah Makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.

Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri yang ingin dirujuknya itu.

Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan yang baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuaan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlakunya rujuk.

Jawapan ini disediakan oleh Cik Yusmawati Binti Ab.llah, Exco Penerbitan PGSM.

06/11/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Respons NGO-NGO Islam Terhadap Sidang Akhbar Dr. Asri Berhubung Memorandum Bantahan Perlantikan Beliau Sebagai Yang Di Pertua YADIM

Kami, mewakili NGO-NGO Islam yang telah dikaitkan oleh Dr.Asri dalam sidang akhbar yang diadakan olehnya semalam (31 Oktober 2009) ingin membuat penjelasan-penjelasan berikut :-

Kami melahirkan rasa KEKESALAN kami di atas tindakan Dr. Asri memperbesar-besarkan dan mencari publisiti terhadap suatu perkara yang merupakan hak serta budibicara mutlak YDPA dan Kerajaan, yang mana menurut undang-undang, perlantikan YDP YADIM adalah kuasa YDPA dan Kerajaan.

Kami TEGASKAN bahawa adalah suatu sikap yang MENGECEWAKAN untuk beliau memperbesar-besarkan isu ini dan mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan ini, sedangkan ia adalah isu dalaman pentadbiran agama negara kita, yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah. Oleh itu, kami tidak berniat dan tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini secara terbuka.

Kami turut merasa MUSYKIL dengan beberapa dakwaan beliau dalam sidang akhbar beliau termasuk dakwaannya yang ‘menolak’ tawaran perlantikan sebagai Yang Di Pertua YADIM sedangkan belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak yang berkuasa dalam hal tersebut.

Kami mengakui memang kami telah mengambil langkah tegas untuk menyampaikan bantahan kami terhadap ura-ura perlantikan beliau sebagai YDP YADIM atas sebab-sebab maslahah ummah (kepentingan seluruh umat Islam) di Malaysia.

Dalam pengetahuan kami, di kalangan pihak berkuasa agama, tokoh-tokoh agama, pertubuhan-pertubuhan arus perdana sudah sekian lama tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan pendekatan Dr. Asri yang banyak menimbulkan keraguan dan polemik yang merugikan seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh Pihak Berkuasa Agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan-amalan furu’ yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan lain-lain.

Merujuk kepada permintaan Dr. Asri agar kami mengemukan bukti tentang kenyataan kami, kami BERSEDIA pada bila-bila masa untuk bersemuka dan berbincang dengan beliau SECARA PERIBADI, kerana kami berpendirian bahawa isu ini adalah isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka. Tindakan beliau ini sekali lagi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang tidak berhemah, tidak berhikmah, sekaligus menggambarkan beliau tidak sesuai memegang jawatan sebagai YDP YADIM atau jawatan-jawatan yang seumpamanya.

Tindakan kami menghantar memorandum kepada YDPA Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana. Kami tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia.

Kami NGO-NGO Islam telah pun mengemukakan pandangan kami kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kami menyerahkan kepada Ke Bawah Duli untuk mempertimbangkan pandangan jujur dan ikhlas kami tersebut.

Ditandatangani oleh :

……………t.t..………………….

MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP

Presiden

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Kenyataan Media/Respon ini :-

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
Pertubuhan Muafakat Sejahtera (MUAFAKAT)
Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajat Islam Malaysia (PKPIM)
Yayasan Sofa Negeri Sembilan
Yayasan Jenderami
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
Jemaah Islah Malaysia (JIM)
Yayasan Paksi Kedah
Persatuan Ulamak Kedah
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan
Institut Pengajian Tradisional Islam
Khalifah Institut.

04/11/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Hibah

Saya adalah anak bongsu daripada 5 orang adik beradik. Semasa hayat arwah bapa saya, arwah dengan disaksikan adik-beradik saya yang lain dan 2 orang pakcik saya telah berkata “rumah ni aku bagi kat kau.”

Selepas daripada itu bapa saya telah meminta abang kedua saya menguruskan proses pindahmilik dimana saya dan arwah telah pun menadatangani surat kebenaran pindahmilik dan juga borang pindah milik di pejabat tanah. Setelah permohonan kebenaran pindah milik diluluskan arwah bapa saya telah meninggal dunia yang akhirnya proses pindah milik tersebut tidak dapat diteruskan dan tergantung.

Apa yang lebih malang lagi abang kedua saya tidak bersetuju dengan pemberian tersebut dan beliau mahukan rumah tersebut difaraidkan. Saya telah menduduki rumah tersebut semenjak arwah bapa saya masih hidup sehingga sekarang. Apa yang perlu saya lakukan? Sekiranya rumah tersebut dibahagikan saya akan kehilangan tempat berlindung. Adakah hibah tersebut sah?

Rafeah Satimin

Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku pada puan. Islam telah mensyariatkan faraid sebagai cara pembahagian harta pusaka selepas kematian si mati bagi memastikan waris-waris si mati mendapatkan hak masing-masing secara adil. Namun begitu, Hibah juga merupakan satu lagi cara pembahagian harta oleh pemiliknya ketika hidup bagi membela nasib insan yang memerlukan.

Di dalam Islam, Hibah boleh diertikan sebagai anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.

Islam telah mengharuskan Hibah apabila sepertimana di dalam firman ALLAH SWT (Surah al-Baqarah, ayat 177) yang bermaksud : “Dan memberi seseorang akan harta yang dikasihinya kepada keluarga terdekat, anak-anak yatim,orang miskin, orang musafir, orang yang berhajat dan hamba.”

Hadis riwayat Ahmad, Sabda Rasulullah saw:”Berilah hadiah (hibah), nescaya kamu dikasihi.”

Jesteru itu, Islam mengharuskan seseorang itu memberikan atau menghibahkan hartanya samada hartanya itu bersifat alih seperti saham syarikat, saham amanah atau Wang Simpanan dan juga harta bersifat tidak alih seperti tanah, rumah, kebun dan sebagainya kepada mana-mana orang samada waris atau bukan waris sepanjang tempoh hidupnya.

Untuk memastikan Hibah tersebut benar-benar sah dan terlaksana, Islam juga telah menggariskan beberapa ciri-ciri dan rukun hibah. Ciri-ciri hibah adalah ianya tidak boleh ditarik balik oleh pemberi Hibah, kecuali pemberian itu daripada seorang bapa kepada seorang anak dan daripada seorang datuk kepada cucunya.

Terdapat 4 rukun Hibah iaitu:

1. Pemberi Hibah

2. Penerima Hibah

3. Harta yang dihibahkan (harta tersebut hendaklah bebas daripada segala bebanan hutang atau cagaran )

4. Sighah Kontrak (Penawaran dan penerimaan-penerimaan boleh dilihat daripada perkataan seperti saya terima rumah ini atau dari segi perbuatan seperti tinggal mendiami rumah tersebut sebaik sahaja Hibah dibuat atau mendaftarkan pindahmilik di bawah Akta Kanun Tanah Negara).

Dalam hal puan, saya percaya puan mempunyai asas untuk menuntut rumah tersebut berdasarkan hibah atau pemberian yang telah dinyatakan. Bagaimanapun, untuk mendapatkan kepastian adalah lebih baik puan mendapatkan pengesahan dari Mahkamah Syariah supaya tidak timbul permasalahan di kemudian hari. Puan hendaklah menfailkan permohonan pengesahan hibah bagi rumah terseubt di mana-mana Mahkamah Tinggi Syariah. Di dalam permohonan tersebut Puan hendaklah menerangkan segala hak dan keadaan secara terpenci bagaimana hibah tersebut berlaku. Semasa perbicaraan di hadapan hakim Puan hendaklah mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan serta saksi-saksi puan bagi membuktikan segala dakwaan tersebut.

Pada masa yang sama Puan atau mana-mana waris yang berkenaan hendaklah menfailkan permohonan surat kuasa mentadbir samada di pejabat tanah berkaitan jika rumah tersebut nilainya di bawah RM600,00.00 atau Mahkamah Tinggi yang berkaitan jika nilainya RM600,00.00 ke bawah. Ini adalah untuk memudahkan proses pindahmilik semula jika sekiranya permohonan puan berjaya kelak.

Jika diputuskan bahawa rumah tersebut adalah merupakan hibah yang sah, maka rumah tersebut telah terkeluar daripada pembahagian harta secara Faraid. Puan juga dinasihatkan untuk mendapat khidmat nasihat peguam syarie yang bertauliah bagi memastikan permohonan puan tersebut berjalan lancar.

Saya juga menasihatkan kepada puan dan waris-waris puan agar berbincang dengan cara baik bagi menyelesaikan perkara ini kerana masalah perebutan harta pusaka boleh menjadi punca perbalahan dan keretakan di dalam keluarga dan yang paling menyedihkan lagi pertelingkahan ini telah menyebabkan tali silaturrahim di dalam keluarga terputus dan sukar untuk disambung semula. Sesungguhnya yang adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya bukan meletakkan sesuatu secara sama rata

Jawapan ini disediakan oleh Yusmawati Binti Ab.llah, Exco Penerbitan PGSM

02/11/2009 Posted by | Uncategorized | Leave a comment