18P

Suara

Isteri teraniaya boleh fail pembelaan enggan rujuk depan hakim

Soalan:
SAYA bercerai dua bulan lalu. Pada bulan lepas, bekas suami ke rumah memujuk saya menerimanya kembali. Saya enggan berjumpanya dan serik untuk bersama bekas suami yang kaki judi dan kaki perempuan. Sebaik saya keluar rumah, bekas suami berjaya menangkap saya dan melafazkan “aku rujuk dengan kau, kau isteri aku apa-apa yang terjadi aku tidak akan lepaskan kau.”
Untuk pengetahuan tuan, saya menderita sepanjang tempoh perkahwinan kami. Saya disepak terajang dan dimaki hamun setiap kali dia balik rumah sebab kalah judi.

Suami saya juga sudah lama tidak memberikan nafkah zahir dan batin kepada saya, malah segala perbelanjaan rumah dan anak saya tanggung.

Suami membuat permohonan pengesahan rujuk di mahkamah dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan. Apa yang perlu saya lakukan? Saya tidak ingin kembali kepadanya.
Minah,
Hulu Klang,
Selangor.

Jawapan:
Saya bersimpati dengan apa yang menimpa anda dan berharap anda bersabar. Sememangnya tidak disyaratkan rujuk memerlukan persetujuan isteri, namun fuqaha berpendapat haram dan berdosa bagi suami untuk rujuk dengan isteri ketika edah, semata-mata dengan tujuan niat untuk menganiaya si isteri.

Oleh itu, demi membela nasib anda daripada terus dianiaya dan dizalimi, saya berpendapat anda masih berpeluang membela nasib di depan mahkamah.

Anda perlu menjawab tuntutan suami dengan memfailkan pembelaan menyatakan anda tidak bersetuju rujuk kerana ia bertujuan untuk menganiaya anda dan keretakan rumah tangga disebabkan sikap suami yang kaki judi dan kaki perempuan.

Seksyen 51(9) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 memperuntukkan jika suami melafazkan rujuk dan tidak dipersetujui isteri atas sebab dibenarkan hukum syarak, mahkamah mempunyai kuasa tidak membenarkan suami hidup semula sebagai suami isteri dan mahkamah juga mempunyai kuasa melantik jawatankuasa pendamai mengikut Seksyen 47 akta yang sama bagi menyiasat dan memastikan sama ada perkahwinan sudah tidak lagi wajar diselamatkan dan mengalami pecah-belah atau sebaliknya.

Pada peringkat prosiding ini, anda tidak boleh diwakili oleh peguam di mahkamah tanpa kebenaran Jawatankuasa Pendamai, namun anda masih boleh melantik peguam untuk memberikan khidmat nasihat prosiding itu.

Jika jawatankuasa pendamai ini mendapati kedua-dua pihak tidak lagi mencapai perdamaian dan tidak dapat hidup semula sebagai suami isteri, maka mahkamah perlu menasihatkan suami untuk melafazkan satu talak di depan hakim.

Saya nasihatkan anda melantik seorang peguam syarie berkelayakan bagi melicinkan perjalanan kes dan mendapatkan pandangan sewajarnya bagi isu itu.

Jawapan disediakan Exco Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Yusmawati Ab.llah

21/11/2009 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: