18P

Suara

Antara ihsan dan membelai anjing

Antara ihsan dan membelai anjing

Minda Harian Metro

21/10/2014

Oleh Musa Awang

Benar, anjing juga makhluk ciptaan Allah SWT. Anjing bukanlah haiwan yang harus dicaci, dihina, dibelasah, dipukul, diseksa atau dibunuh. Anjing juga harus diberi makan dan minum jika ia kelaparan dan meminta ihsan kita sebagai manusia yang berakal.

Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud orang Islam boleh sewenang-wenangnya memegang atau memelihara anjing tanpa sebab-sebab yang diharuskan.

Sesetengah pihak cuba mengelirukan minda masyarakat dengan memetik riwayat yang mengisahkan seorang pelacur Yahudi Bani Israel memberi minum seekor anjing yang hampir mati kehausan, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu.

Wanita berkenaan dimasukkan ke syurga bukan sebab memegang anjing atau memelihara anjing tetapi kerana sifat ihsan dan belas kasihannya dan amalan baiknya yang menyelamatkan seekor anjing yang hampir mati.

Menukilkan hadis secara salah adalah satu daripada jenayah ilmu yang termasuk dalam kategori tahrif atau mengubah makna sebenar nas syarak. Inilah yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini.

Pada masa sama, ada pihak yang cuba menyamaratakan semua ajaran agama, tanpa menjaga sensitiviti umat Islam dan tanpa melihat kepada pegangan ‘uruf masyarakat Islam Malaysia yang umumnya berpegang kepada pendapat mazhab Shafie.

Orang awam Islam yang kurang ilmu fiqh boleh menjadi keliru, dengan sengaja memegang anjing dan seronok bergambar bersama anjing yang dipegang. Kebanyakan foto yang di’viral’kan adalah foto Muslim yang berhijab. Apakah petanda kepada semua ini?

Jika tidak dibanteras dan diberi penjelasan sewajarnya, ia akan menjadi fitnah yang besar kepada generasi muda atau generasi Y. Tidak mustahil suatu hari mereka sesuka hati menyentuh dan membelai anjing tanpa sebab, memasang niat atau secara sembunyi membela anjing sebagai haiwan kesayangan dalam rumah untuk bermanja, menggunakan alasan atau hujah boleh pegang anjing selepas itu boleh disamak. Apa susah? Islam itu kan mudah? Pandangan fuqaha mengenai agama dipermain-mainkan.

Menyentuh anjing

Menurut pendapat ulama’ mazhab Syafie, seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah. Manakala mazhab Hanbali, Maliki, Hanafi berpendapat hanya air liurnya sahaja najis. Anjing dikategorikan sebagai mugallazah (najis berat) kerana cara penyuciannya yang memerlukan proses samak atau sertu.

Ketetapan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud – “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” [HR Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Walaupun nas hadis itu menyebut tentang cara penyucian bekas jilatan anjing sahaja, namun sebahagian fuqaha mengqiyaskan untuk menyamakan hukum dan cara basuhan terbabit bagi seluruh tubuh anjing.

Seluruh tubuh anjing, termasuk bulunya dianggap najis berat menurut mazhab Syafie kerana sifat atau tabiat anjing membersihkan diri dengan menjilat seluruh tubuhnya. Berkemungkinan besar air liurnya akan berada di seluruh tubuhnya. Sengaja menyentuh tubuh anjing akan menyebabkan perpindahan najis ke tubuh kita.

Jadi, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita basah, lembap atau berair, maka hukumnya haram menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.

Apabila tersentuh bulu anjing yang basah, anggota yang tersentuh perlu disamak kerana najis ‘mengalir’ jika ia basah. Bagaimanapun, jika bulu anjing itu kering, tidak perlu seseorang itu menyamak tangannya apabila tersentuh, memadai dengan membasuh bahagian tersebut dengan air mutlak.

Persoalannya, adakah seseorang yang menyentuh anjing secara sengaja itu yakin sepenuh hati bahawa anjing tersebut tidak menjilat tubuh sebelum mereka menyentuhnya? Adakah mereka yakin benar anjing atau tangan mereka juga dalam keadaan kering?

Orang Islam yang bersih dan patuh kepada ajaran agama sepatutnya mengelakkan diri daripada menyentuh najis mughallazah (najis berat) dengan sengaja. Imam Muhammad Al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj menyatakan bahawa “meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah haram.” Perbuatan ini dinamakan sebagai ‘Al-Tadhammukh Bi Al-Najasah’, iaitu menyentuh najis tanpa sebarang sebab yang mendesak (seperti menyelamatkan anjing) dan ia adalah sesuatu yang dilarang atau haram.

Membela nasib anjing dengan tidak mencaci, menghina, membelasah, memukul, menyeksa atau membunuh, memberi makan dan memberi minum berbeza dengan menyentuh, memelihara dan menjaga kebersihan diri dari najis mughallazah. Usah dikelirukan dengan propaganda yang cuba menggambarkan bahawa jika orang Islam sayang kepada anjing mereka perlu menyentuh atau memelihara anjing.

Memelihara anjing

Dalam bab memelihara anjing, semua ulama muktabar sepakat bahawa seorang Islam tidak dibenarkan membela anjing sebagai haiwan peliharaan, kecuali atas sebab-sebab yang dibenarkan, iaitu untuk tujuan menjaga harta, menjaga tanaman, menjaga ternakan, untuk memburu dan menjaga keselamatan keluarga.

Terdapat banyak hadis Nabi SAW berhubung dengan larangan ini. Dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda : Sesiapa memelihara anjing selain anjing penjaga ternakan atau anjing perburuan, maka berkuranglah (pahala) amalannya setiap hari sebesar qirath (ukuran yang amat besar).”

Pengecualian ini bukanlah bermaksud anjing itu boleh disimpan dalam rumah, kerana dalam satu hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah r.a bahawa malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan gambar.

Memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan akan menakutkan jiran yang lalu lalang atau datang berkunjung, mengganggu jiran, berkurang pahala setiap hari, malaikat enggan memasuki rumah dan tabiat anjing yang suka menjilat boleh menyebarkan najis di sekeliling rumah. Wallahu’alam.

  • – Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com

28/10/2014 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: