18P

Suara

PENUHI HAK IBU BAPA

Ingatlah betapa besarnya kasih sayang ibu bapa kepada kita. Mereka memberi perhatian amat serius mengenai tempat tinggal, makan minum, pendidikan serta penjagaan kita pada setiap masa. Mereka sering bimbang ketika kita sakit hingga pekerjaan lain ditinggalkan demi merawat kita.

Wang yang mereka cari dengan susah payah rela dikeluarkan tanpa berfikir panjang. Mereka bekerja keras siang malam demi memberi nafkah kepada kita. Dengan teringat jasa mereka, kita akan mengetahui kadar penderitaan pada waktu mereka membimbing diri kita hingga beranjak dewasa.

Allah s.w.t memerintahkan agar manusia berbakti kepada kedua ibu bapa. Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” (Surah Al Israa’: ayat 23 dan 24)

Allah juga berfirman bermaksud: ”Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan- Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan dirinya”.(Surah An Nisaa’ : Ayat 36)

Ayat di atas menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa menduduki peringkat kedua selepas mentauhidkan (mengesakan) Allah dalam beribadah. Sebab itu tidak mungkin terjadi bagi seorang yang mengaku bertauhid kepada Allah, tetapi ia derhaka kepada kedua-dua orang tuanya. Allah yang Mencipta dan Memberikan rezeki. Maka Allah sahajalah berhak diibadahi. Ibu bapa adalah sebab adanya anak. Maka kedua-duanya berhak diperlakukan dengan baik. Oleh itu menjadi kewajipan bagi seorang anak untuk beribadah kepada Allah kemudian diiringi dengan berbakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Andai kelak kita menjadi ibu bapa, tidaklah kita akan kecewa dan bersedih hati apabila anak kita berkata kasar kepada kita – ibu bapa yang membesarkannya. Lalu, apakah kita sampai hati melakukannya terhadap ibu bapa kita saat ini? Merekalah yang selalu berusaha meredakan tangis kita ketika kecil.

Ingatlah bahawa doa orang tua terutama ibu adalah doa mustajab. Maka janganlah sekali-kali menyakiti hati mereka meskipun kita dalam pihak yang benar. Sesungguhnya hak ibu bapa kita atas diri kita lebih besar dan berlipat ganda banyaknya sehingga apapun kita lakukan dan sebesar manapun penderitaan kita rasakan ketika kita membantu mereka, hal itu tidak akan dapat membalas jasanya.

Ketika Abdullah bin Umar melihat seseorang mengendong ibunya untuk tawaf di Kaabah dan kemana saja si ibu inginkan, orang itu bertanya: “Wahai Abdullah bin Umar, dengan perbuatanku ini apakah aku sudah membalas jasa ibuku?” Jawab Abdullah bin Umar: ”Belum, setitis pun engkau belum dapat membalas kebaikan kedua-dua orang tuamu.”

Tidakkah kita ingin diluaskan rezeki dan dipanjangkan umur oleh Allah? Sabda Rasullulah s.a.w: “Barang siapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali siratulrahim.” (Hadis Riwayat: Bukhari, Muslim, Abu Dawud) sesungguhnya ibu bapa keluarga terdekat kita. Mereka mempunyai hak yang lebih untuk kita dahulukan dalam masalah siltulrahim.

Mereka selalu berada di sisi kita baik ketika bahagia mahupun duka, berkorban dan selalu menolong kita lebih daripada teman kita. Lalu masih enggankah kita membalas segala pengorbanan mereka? Berbuat baik kepada ibu bapa adalah keharusan, bahkan harus didahulukan daripada fardu kifayah serta amalan sunnah lainnya-didahulukan daripada jihad dan hijrah di jalan Allah. Pun harus didahulukan daripada berbuat baik kepada isteri dan anak. Taatilah mereka dan janganlah kita menentang kedua-duanya sedikit pun kecuali apabila mereka memerintah kita supaya berbuat maksiat. Rasullulah bersabda bermaksud : “Tidak ada ketaatan bagi makhluk apabila pada saat yang sama bermaksiat kepada Sang Pencipta.”

Firman Alah bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (nerbuat baik) kepada orang tuanya; ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyusunya kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuannya mengenai itu, maka janganlah kamu mentaati keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku beritahukan kepadamu apa yang kamu kerjakan.”(Surah Luqman:14-15)

Ingatlah bahawa seburuk manapun ibu bapa kita, kita tetap tidak akan membalas semua jasa mereka. Yang perlu kita lakukan hanyalah tidak mentaati ibu bapa ketika mereka menyuruh kita untuk bermaksiat. Tidakkah kita ingin menikmati kebenaran dan keindahan Islam bersama mereka? Tidakkah kita inginkan kebaikan dan keselamatan bagi mereka sebagaimana mereka selalu ingin kebaikan dan keselamatan bagi kita? Tidakkah kita ingin agar Allah mempertemukan kita di jannah-Nya.

Justeru, bersabarlah dalam membimbing dan berdakwah pada mereka sebagaimana mereka selalu sabar dalam membimbing dan mengajar kita dahulu. Ingatlah bahawa satu doa mustajab adalah doa daripada seorang anak yang soleh untuk orang tuanya.

Sabda Rasullulah bermaksud: “ Apabila manusia mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan orang tuanya.” Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah pasti mengangkat darjat bagi hamba-Nya yang boleh ke syurga.” Maka ia bertanya: “Ya Allah, bagaimana itu boleh terjadi? Allah menjawab: “Berkat istigfar anakmu untukmu.”

Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab berkata: “Aku mendengar Rasulullah bersabda:”Kelak akan dating kepada kamu sekalian seorang bernama Uwais bin Amir, anak muda yang belum tumbuh janggutnya, keturunan Yaman dari kabilah Qarn. Pada tubuhnya terkena penyakit kusta, namun penyakit itu sembuh daripadanya kecuali tersisa seukuran wang dirham. Dia mempunyai ibu yang yang dia sangat berbakti kepadanya. Apabila dia berdoa kepada Allah nescaya dikabulkan, maka jika engkau bertemu dengannya dan memungkinkan minta padanya memohonkan ampun untukmu maka lakukanlah.”

Menyedari hakikat ini, janganlah kita enggan untuk berdoa demi kebaikan orang tua kita. Sekeras apapun usaha kita lakukan, apabila Allah tidak berkehendak, nescaya tidak akan terjadi. Hanya Allah lah yang mampu memneri petunjuk dan membukakan pintu hati kedua orang tua kita. Mintalah pada-Nya kerana tidak ada yang tidak mungkin bagi-Nya. Bermohonlah terus pada-Nya dan janganlah bosan meskipun kita tidak tahu bila doa kita akan dikabulkan.

Seandainya Allah tidak berkehendak untuk memberi mereka petunjuk hingga ajal menjemput mereka, ingatlah bahawa Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Janganlah berhenti berdoa kerana sesungguhnya doa anak soleh untuk ibu bapanya tidaklah terputus amalannya meskipun mereka sudah meninggal. Semoga Allah menyelamatkan kita dan keluarga kita daripada api neraka serta mengumpulkan kita dalam jannha-Nya.

04/08/2010 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

11 Jenis manusia didoa malaikat

Percaya kepada malaikat adalah antara Rukun Iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan. Di sini ingin disenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

Orang yang tidur dalam keadaan bersuci. Rasullulah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci (berwuduk), malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

Orang yang sedang duduk menuggu solat. Rasullulah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”.

Orang yang berada di saf depan solat berjemaah. Rasullulah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”
Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf). Rasullulah s.a.w bersabda, maksudnya: ”Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah. Rasullulah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertetapan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat. Rasullulah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, dimana ia melakukan solat.”

Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Rasullulah s.a.w bersabda maksudnya: ”Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “ Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab:” Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.”

Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Rasullulah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin’ dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.”

Orang yang membelanjakan harta (infak). Rasullulah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…”

Orang yang sedang makan sahur. Rasullulah s.a.w bersabda maksudnya: Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit. Rasullulah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.” Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama,

02/08/2010 Posted by | Uncategorized | Leave a comment