18P

Suara

Kisah Mariam

Kisah Mariam Johari, 88 adalah kisah tentang seorang wanita yang terkandas di Korea Selatan selepas dibawa tentera Jepun ke negara itu ketika Perang Dunia Kedua, yang kemudiannya meninggal dunia di rumah kebajikan di Seoul 5 September lalu. Jenazah Mariam ditempatkan di rumah kebajikan Gereja Roman Katholik Beon Bong dan mayatnya hampir dibakar di pusat pembakaran mayat tersebut selepas kematian beliau. Namun begitu ianya ditangguhkan atas permintaan kedutaan Malaysia yang sedang berusaha untuk membawa jenazah Mariam di bawa pulang ke Malaysia atas permintaan anak-anak Mariam.

Difahamkan atas usaha pelbagai pihak termasuk Kedutaan Malaysia jenazah Mariam akhirnya dibenarkan dibawa balik ke Malaysia dan secara tidak langsung dikebumikan di Malaysia. Walaupun sebelum daripada ini timbul beberapa isu bahawa Mariam adalah bukan warganegara Malaysia kerana beliau dikatakan telah membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melucutkan kewarganegaraan sebagai rakyat Malaysia pada akhir 2007 dan permohonan tersebut telah diluluskan tahun lalu.

Sebelum isu berkaitan dengan samada jenazah Mariam boleh di bawa balik ataupun tidak ke Malaysia dapat diselesaikan, tiga orang anak Mariam menaruh harapan tinggi agar jenazah ibu mereka yang lebih separuh abad tinggal di Korea Selatan di bawa balik ke tempat kelahirannya di Kota Tinggi Johor dan dikebumikan mengikut ajaran Islam.

Apa yang menjadi isu di dalam kes Mariam ini adalah pertamanya wujudnya dakwaan anak-anak tiri Mariam bahawa beliau telah berwasiat sebelum kematiannya bahawa beliau mahu mayatnya dikebumikan di Korea Selatan mengikut adat masyarakat Korea. Keduanya, wujudnya dakwaan anak-anak Mariam bahawa Mariam yang kembali ke Malaysia pada September 2007 telah mengucapkan syahadah.

Sewajarnya status agama Mariam perlu diberi perhatian sebelum sebarang urusan pengkebumian dibuat. Ini bagi memastikan mayatnya diuruskan secara syariah jika benar beliau Islam ketika meninggal atau sebaliknya kerana wujudnya laporan bahawa beliau meninggalkan wasiat supaya diuruskan mengikut adat masyarakat Korea. Surat wasiat tersebut harus juga diteliti akan kesahihannya. Di sini pandangan ulamak diperlukan untuk menentukan status wasiat tersebut samada benar dakwaan bahawa beliau adalah Islam atau tidak.

Sebagai memetik kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya sebelum ini, beliau menyatakan bahawa tanpa bukti kukuh, orang Islam yang diragukan status keislaman kerana peristiwa atau kehidupan dilaluinya sebelum itu kekal dengan agama barunya. Hanya bukti kukuh daripada pihak yang rapat atau mengenali seseorang dapat menentukan agama akhirnya dan bagi tujuan itu Mahkamah Syariah boleh memutuskannya atas permohonan waris atau Majlis Agama Islam. Sekiranya ada bukti kukuh simati mengamalkan ajaran Islam atau kembali kepada Islam maka jenazahnya boleh diuruskan secara Islam. Jika tidak ada sebarang bukti simati adalah Islam maka ia kekal di dalam agama barunya dan terserahlah kepada pihak berkaitan menguruskan berkaitan dengan perkara tersebut.

Oleh itu, sekiranya Mariam kekal sebagai seorang Islam sebagaimana kenyataan anak-anak Mariam yang menyatakan Mariam telah mengucapkan syahadah maka wasiat tersebut untuk dikebumikan secara bukan Islam tidak boleh dilaksanakan.

Isu-isu sebegini adalah berkait rapat dengan isu pertukaran agama. Secara umumnya pertukaran agama bermaksud menukar kepercayaan dan pegangan daripada satu agama kepada agama lain tidak kira sama ada dari atau kepada agama Islam atau dari satu agama lain kepada agama lain (selain dari Islam). Bila dihubungkaitkan perkara pertukaran agama dari atau kepada Islam sahaja yang diperuntukkan di dalam undang-undang yang sedia ada mengenai kesan atau implikasi undang-undangnya. Tidak terdapat peruntukan undang-undang yang merujuk kepada kesan pertukaran dari satu agama bukan Islam kepada agama bukan Islam lain.

Terdapat kesan murtad (dari Islam kepada bukan Islam) dan pemelukan Islam daripada satu agama lain. Kesan yang timbul akan melibatkan status seseorang itu dari segi identitinya, taraf perkahwinannya, obligasi dan hak di bawah undang-undang dirinya serta perkara-perkara sampingan lain termasuk konflik bidangkuasa Mahkamah yang akan mengendalikan pertikaian yang timbul antara pihak Islam dengan yang bukan Islam.

Kesan akan timbul dalam pelbagai dimensi. Ini berpunca daripada struktur dan skim pembahagian kuasa perundangan dan kehakiman yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan agama Islam pada tempat yang istimewa sebagai agama Persekutuan. Selain daripada itu, peruntukan mengenai Hukum Syarak telah diperuntukan secara khusus dalam perlembagaan di bawah kuasa Negeri dan sebarang pertikaian mengenainya dletakkan di bawah bidangkuasa Mahakmah Syariah. Dengan latar belakang ini, kesan pertukaran agama dari perspektif perundangan Malaysia dapat dilihat lebih kpeada aspek identiti dan undang-undang diri yang termasuk undang-undang keluarga dan warisan.

Identiti yang dimaksudkan di sini merujuk kepada status agama seseorang itu yang turut mengakibatkan pertukaran undang-undang dan obligasinya terhadap pihak lain dan juga obligasi pihak lain terhadap dirinya. Ini termasuk juga di dalam menentukan status agama dirinya apabila ia meninggal dunia kelak.

Dari segi status agama, Seksyen 92 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Trengganu ) 2001 sebagai misalnya memperuntukan :

”Seseorang itu memeluk agama Islam dan menjadi orang Islam sebaik sahaja dia habis mengucap dua kalimah syahadah…”

Manakala seksyen 97 (1) enakmen yang sama memperuntukan bahawa seseorang yang telah memeluk agama Islam dan telah didaftarkan dalam Daftar Muallaf hendaklah bagi maksud mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri, dan selama-lamya diperlakukan sebagai orang Islam. Justeru itu jika seseorang muallaf yang berdaftar meninggal dunia dan tiada waris Islam yang akan menguruskan jenazahnya menurut cara Islam, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat Islam setempat atau pihak berkuasa agama secara fardu kifayah menguruskan jenazahnya mengikut Hukum Syarak.

Kes Kalliamal lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hospital Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia menjelaskan penerangan di atas. Dalam kes ini Moorthy (Mohamad bin Abdullah) telah dikebumikan mengikut Hukum Syarak berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur kerana beliau telah didaftarkan sebagai seorang muallaf di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Namun begitu di dalam kes lain iaitu keadaan di mana seseorang yang asalnya beragama Islam tetapi telah mengamalkan cara hidup dan ibadat mengikut agama lain meninggal dunia, maka tanggungjawab pihak berkuasa agama Islam (sekiranya tiada waris) menguruskan jenazahnya secara Islam gugur dan boleh diuruskan oleh warisnya yang bukan Islam dan dikebumikan cara bukan Islam.

Kes Nyonya Tahir (rujuk kes Permohonan Pengisytiharan Status Islam (Ex-Prte) olh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin) yang berlaku di Negeri Sembilan pada tahun 2006 jelas menunjukkan kesan ini di mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban memutuskan bahawa beliau bukan beragama Islam semasa kematiannya dan menyerahkan mayatnya kepada keluarganya yang bukan beragama Islam untuk dikebumikan mengikut agama Buddha.

Kesimpulannya, Mahkamah Syariah berbidangkuasa bagi menentukan status agama si mati yang diragukan keislamannya atas permohonan waris yang Islam atau melalui Majlis Agama Islam Negeri. Walau apapun setiap penentuan agama tersebut hendaklah disertakan dengan bukti yang kukuh sebelum Mahkamah Syariah memutuskan agama akhirnya. Orang Islam yang diragukan status keislaman kerana peristiwa atau kehidupan dilaluinya sebelum itu kekal dengan agama barunya. Ini bermaksud sekiranya ada bukti kukuh si mati mengamalkan ajaran Islam atau kembali kepada Islam maka jenazahnya boleh diuruskan secara Islam. Jika tidak ada sebarang bukti si mati adalah Islam maka ia kekal di dalam agama barunya dan terserahlah kepada pihak berkaitan menguruskan berkaitan dengan perkara tersebut.

30/09/2009 - Posted by | Uncategorized

1 Comment »

  1. salam,

    Artikel ini amat baik dan wajar dibaca oleh public. Secara peribadi, ana belum pasti samada ada terdapat mana2 pihak yang berkepentingan telah memohon status agama si mati di saat kematiannya di Mahkamah Syariah sebelum pengekebumian dilakukan. Kes2 seperti Nyonya Tahir dan lain2 di atas seharusnya menjadi panduan atau precedent kepada kes2 berikutnya.

    Bagaimana sekiranya tiba2 selepas ini ada di kalangan orang berkepentingan mengemukakan bantahan semasa pembahagian harta pusaka Mariam atas alasan terdapat halangan pewarisan kerana berlainan agama?

    Dalam hal ini, tidak mustahil isu mengenai status agama mariam di saat kematiannya akan timbul semula. Mana lah tahu kalau-kalau Mariam meninggalkan banyak harta dalam dan luar negara.. siapa tahu?

    TQ sheikh, sekadar berkongsi persoalan..

    Tahniah atas artikel ini

    Wassalam

    Comment by ERAKITA | 03/10/2009 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: