18P

Suara

PEGUAM SYARIE: PENGAMALAN DI MALAYSIA

PEGUAM SYARIE: PENGAMALAN DI MALAYSIA

Mohamad Isa Abd Ralip1

1 Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi sesi 2009/2012.

Abstrak

Kertas kerja ini akan membincangkan berkenaan dengan kerjaya sebagai Peguam Syarie berdasarkan kepada pengalaman dan pegamalan di Malaysia. Ianya merangkumi sejarah kepeguaman syarie, peranan Peguam Syarie, skop kerjaya mereka, kedudukan masakini serta perlunya suatu Akta bagi mentadbir serta mengawalselia profesion Peguam Syarie ini serta kewajaran Akta tersebut disegerakan.

PENDAHULUAN

1. SEJARAH KEPEGUAMAN SYARIE

Profesion Peguam Syarie bukanlah satu profesion yang baru malah, ianya telah bermula di zaman Rasulullah s.a.w lagi. Namun begitu, ianya bukanlah suatu profesion yang khusus pada waktu itu sebagaimana yang diamalkan pada masa kini.

Peranan sebagai peguam ini pernah dimainkan oleh Rasulullah S.A.W serta sahabat sahabat besar baginda. Sebagai contohnya Sayyidina Ali di dalam kes perempuan yang telah beriqrar di hadapan Khalifah Umar r.a, yang ianya telah melakukan zina, akhirnya perempuan ini telah dibebaskan dan iqrar di Mahkamah diketepikan.

Selain itu Ibn Abbas telah membela perempuan yang telah pun disabitkan melakukan zina dan hendak direjam oleh Khalifah Othman r.a dengan pembelaan tersebut Khalifah Othman r.a telah membetulkan hukumannya dengan membebaskan perempuan tersebut.

Menyusuri sejarah kepeguaman syarie yang terdapat di zaman Khalifah Umar al-Khatab r.a, dimana, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w, yakni Ka’ab telah berperanan sebagai pemudahcara kepada Khalifah Umar r.a yang tidak memahami pengaduan seorang wanita berkenaan dengan ketidakadilan suaminya dalam membahagikan masa antara ibadah dan wanita tersebut sebagai seorang isteri. Di dalam pengaduannya, wanita terbabit telah Kepeguaman Syarie Di Malaysia 2

menyatakan kepada Khalifah Umar r.a berkenaan dengan suaminya dengan berkata “Wahai Amirul Mukminin, aku mempunyai seorang suami yang sering berpuasa di siang hari, dan sering pula beribadah d imalam hari”.

Di dalam hal ini Khalifah Umar r.a berfahaman bahawa wanita tersebut hanya ingin menceritakan berkenaan suaminya semata-mata. Lalu Ka’ab menegur Khalifah Umar dan menerangkan keadaan yang sebenarnya iaitu wanita tersebut sebenarnya ingin mengadu berkenaan dengan ketidakadilan suaminya. Lalu diputuskan oleh Ka’ab supaya suaminya menganggap bahawa dia telah mempunyai empat orang isteri (waktu ibadah ditambah dengan isterinya yang sedia ada). Oleh yang demikian, perlu dibahagikan masa, tiga hari untuk beribadah manakala hari yang keempat adalah untuk isterinya.

Di dalam riwayat ini, sebenarnya secara tidak langsung Ka’ab telah berperanan sebagai seorang Peguambela dalam memudahkan pembentangan kes di hadapan Khalifah Umar r.a. Justeru itu, ianya menjadi sebagai salah satu dalil bahawa profesion Peguam Syarie telah wujud berabad lamanya.

2. PERANAN PEGUAM SYARIE

Sekiranya kita memperkatakan tentang Peguam Syarie, tergambar dibenak kita bahawa Peguam Syarie ini adalah seseorang yang menjadi peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya dari peguamnya.

Dengan harapan dari anakguam tersebut timbul persoalan samada Peguam Syarie yang dilantik oleh anakguam tersebut akan membela anakguamnya tanpa mengira samada anakguam mereka itu benar atau salah. Di dalam menentukan bahawa samada seseorang Peguam Syarie itu dapat menyempurnakan tugasnya sebagai Peguam Syarie amanah Allah hendaklah diutamakan. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 3

Di dalam menjalankan amanah Allah ini seorang Peguam Syarie hendaklah meletakkan pada dirinya suatu sikap untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang kezaliman termasuk tidak bersekongkol dengan kezaliman. Sehubungan dengan itu Peguam Syarie mestilah Islam serta mempunyai roh atau kepercayaan Islam bagi menentang segala kezaliman serta menegakkan keadilan.

Persoalan timbul mengapa perlu seorang Peguam Syarie menegakkan keadilan?. Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan membawa agama Islam yang terdiri dari akidah, syariah dan akhlak. Syariah atau undang-undang Islam adalah bertujuan untuk menegakkan keadilan mutlak. Islam menghendaki agar hak diberikan kepada yang berhak. Seseorang itu dibenarkan mempertahankan haknya dari dicabul, merampas hak orang lain bererti zalim. Islam tidak pernah bertolak ansur di dalam menegakkan keadilan. Firman Allah bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.” (Surah As-Syura: 15).

Perintah di atas walaupun ditujukan kepada Rasullullah s.a.w tetapi ianya juga meliputi kita semua, tanpa kecuali. Ini termasuklah hakim, pendakwa, peguam dan seterusnya. Keadilan yang wajib ditegakkan adalah meliputi semua aspek dan bidang, termasuklah dari segi undang-undang, pembahagian kekayaan, tindak-tanduk dan seterusnya. Ini termasuklah dari segi mendengar perbicaraan, memutuskan kes-kes, mengemukakan fakta, keterangan dan pengolahan dan pembentangan kes-kes semasa perbicaraan. Berlaku adil dalam semua tindakan adalah menjadi tuntutan Islam.

Peguam-peguam juga hendaklah mematuhi perintah Allah ini. Mereka wajib menegakkan keadilan walaupun ianya bertentangan dengan kepentingan diri mereka sendiri atau Kepeguaman Syarie Di Malaysia 4

pelanggan mereka, tetapi berpegang kepada prinsip dan mempertahankan nilai yang murni, patuh kepada Allah dan menegakkan keadilan hendaklah diutamakan. Keredhaan Allah hendaklah menjadi matlamat hidup. Hawa nafsu, perasaan kasihan, marah tidak boleh menjadi motif tindakan.

Kepentingan peribadi, kemasyhuran dan ingin menang di dalam sesuatu perbicaraan hendaklah diketepikan sebaliknya hendaklah menjadi saksi kerana Allah dan kemenangan yang sebenar ialah keredhaan Allah dan kemuncak kejayaan di dalam menjalankan tugas dan memainkan peranan sebagai peguam ialah berjaya menegakkan keredhaan Ilahi. Peguam yang melaksanakan tugasnya dengan cermat, amanah dan adil bererti melakukan ibadah kepada Allah.

Selain Peguam Syarie berperanan menegakkan kebenaran, Peguam Syarie juga berperanan menentang segala bentuk kezaliman. Ini adalah kerana Undang-undang Islam ialah bertujuan untuk memberikan keadilan dan mengelakkan kezaliman, kepentingan individu hendaklah dipelihara di samping kepentingan masyarakat, hak individu dijamin, dipelihara dan dipertahankan, setiap pencabulan dan kezaliman hendaklah dielakkan dan dihapuskan. Firman Allah s.w.t bermaksud:

Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim” (Surah A-li Imran: 57)

Demikianlah ayat Al-Quran yang menjelaskan betapa Islam membenci kezaliman dalam semua bentuk, kezaliman hendaklah dibanteras dan dihapuskan.

Seperti yang telah dijelaskan bahawa Allah s.w.t memerintahkan agar keadilan mutlaq ditegakkan, kezaliman dibanteras dan seterusnya dihapuskan. Lebih jauh dari itu, Islam juga mengharamkan kita dari membantu orang-orang zalim di dalam perbuatan zalimnya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Kepeguaman Syarie Di Malaysia 5

“Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukumkan di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyunya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang–orang yang melakukan khianat” (Surah An-Nisaa: 105)

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa kita hendaklah menghukum berdasarkan undang-undang Allah, kerana undang-undang ini adalah menjamin keadilan. Pada masa yang sama kita ditegah dari membela orang-orang yang zalim.

Berdasarkan ayat di atas jelas Islam bukan sahaja menentang kezaliman malahan ianya juga menentang perbuatan dan tindakan yang bertujuan membantu orang zalim yang ingin meneruskan kezaliman, menolong mereka, bererti melakukan kezaliman, bersimpati, bersekongkol dan bersepakat dengan orang zalim adalah haram, apatah lagi untuk membela dan mempertahankan mereka. Sikap Islam terhadap golongan yang membela dan mempertahankan kezaliman ini adalah jelas, iaitu perbuatan sedemikian adalah berdosa dan merupakan satu kezaliman juga.

Dengan mempunyai asas untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang bentuk kezaliman, dengan itu Peguam Syarie mempunyai peranan yang besar di Mahkamah. Tugas Peguam Syarie sebagai pegawai Mahkamah ialah membantu Mahkamah agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Selain daripada peranan tersebut di atas, Peguam Syarie juga bertindak sebagai wakil anak guamannya di dalam sesuatu pertikaian. Ini bermakna, kesahihan lantikan Peguam Syarie, tugas dan tanggungjwab, kuasa dan peranannya adalah tertakluk kepada prinsip-prinsip wakalah. Umumnya hubungan di antara Peguam Syarie dengan anak guamnya adalah hubungan di antara wakilnya dengan yang mewakilkan berdasarkan prinsip wakalah di dalam Islam. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 6

Perkataan wakalah adalah berasal daripada perkataan bahasa arab yang bererti menjaga, menjamin, melengkap dan menyerah. Apabila dikatakan seseorang itu “wakil” bererti orang itu adalah sebagai penjaga, penjamin, pelengkap atau seseorang itu diserahkan kepadanya sesuatu hal atau urusan dilakukannya. Justeru itu prinsip wakalah ini hendaklah disalurkan kepada orang yang berkelayakkan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Janganlah kamu jadikan yang lain daripada Allah sebagai tempat menyerah urusan kepadanya.” (Surah Al-Isra:2)

Seorang Peguam Syarie juga hendaklah seorang yang berakhlak mulia seperti yang dituntut oleh Islam. Selain itu juga seorang Peguam Syarie juga perlu mempunyai niat yang baik serta meniatkan tugas dan peranannya sebagai suatu ibadah kerana ianya adalah tugas yang mulia yang pernah dimainkan oleh para sahabat. Selain itu juga Peguam Syarie juga hendaklah berpengetahuan syariah yang mendalam. Pengetahuan syariah tidak akan mendalam jika mereka tidak berkemampuan untuk merujuk kepada kitab-kitab muktabar. Selain itu juga Peguam Syarie juga mengetahui undang-undang yang berkaitan dengan tugas mereka seperti Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara dan sebagainya.

Selain itu Peguam Syarie hendaklah mempertingkatkan kemampuan mereka mendalami ilmu pengetahuan yang berhubung kait dengan tugas mereka. Akhlaq sebagai Islam hendaklah dihayati dan etika sebagai seorang peguam Syarie hendaklah dijaga agar profesion ini dipandang tinggi. Ini adalah juga tugas serta peranan Rasulullah dan sahabat terdahulu di dalam menegakkan hukum Allah di muka bumi ini serta bagi menentang sebarang bentuk kezaliman. Justeru itu seseorang yang mahu mengadili orang Islam di Mahkamah Syariah termasuk Peguam Syarie bukan sahaja perlu mahir dengan undang-undang malahan perlu beragama Islam serta perlu menghayati konsep akidah, tauhid dan rukun Islam agar yang hak dapat ditegakkan dan yang batil dapat dihapuskan. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 7

AMALAN GUAMAN SYARIE DI MALAYSIA MASAKINI

1. BIDANGKERJA SERTA SKOP KEPEGUAMAN SYARIE

Secara praktisnya Peguam Syarie bertindak sebagai peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Bidangkuasa ini merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia yang telah meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan segala hal-hal berkaitan dengan agama Islam adalah terletak di bawah negeri masing-masing. Bidangkuasa yang diperuntukan adalah terhad memfokuskan terhadap undang-undang diri serta undang-undang keluarga Islam. Manakala undang-undang lain seperti muamalat terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukan seperti berikut;-

1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak Kepeguaman Syarie Di Malaysia 8

mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

Bidangkuasa jenayah juga terhad sebagaimana yang diperuntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah), 1988 yang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat dengan jenayah syariah iaitu denda tidak melebihi RM5,000.00, penjara tidak melebihi 3 tahun serta sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan. Oleh yang demikian, dari sudut amalannya peguam syarie hanya mempunyai bidangkuasa setakat yang diberikan oleh undang-undang kepadanya.

Peguam Syarie sememangnya sinonim dengan tuntutan serta pembelaan kes-kes di Mahkamah samada di dalam bidangkuasa mal serta jenayah. Namun yang demikian, seharusnya pemahaman terhadap profesion Peguam Syarie ini diperluaskan kepada bidang-bidang yang lain seperti pentadbiran harta, penulisan wasiat serta hibah, maka apa salahnya sekiranya penulisan wasiat dan hibah juga dilaksanakan oleh Peguam Syarie sebagai salah satu altenatif kerjaya. Sekiranya tiada ilmu berkenaan, maka apa salahnya pula sekiranya Peguam Syarie tersebut mendalami ilmu yang baru untuk masa-masa akan datang.

Seterusnya Peguam Syarie juga berperanan sebagai orang tengah atau perantara (mediator) kepada pihak-pihak yang bertikai yang ingin menyelesaikan pertikaian mereka diluar Mahkamah. Penyelesaian secara baik diluar Mahkamah adalah merupakan satu medium penyelesaian yang terbaik dan cara ini adalah amat digalakkan oleh Islam kerana ianya dapat mengelakkan pihak-pihak terlibat kepada perbicaraan yang panjang yang sudah tentunya memakan masa dan melibatkan kos.

Sekiranya perbicaraan kes yang memakan masa diputuskan oleh Mahkamah, kesannya belum tentu keputusan mahkamah tersebut akan dapat memuaskan hati semua pihak Kepeguaman Syarie Di Malaysia 9

berbanding penyelesaian secara bersama. Melalui penyelesaian secara bersama ini pihak-pihak dapat mengutarakan keperluan serta kepentingan mereka.

2. KEDUDUKAN PEGUAM SYARIE MASAKINI

a. Undang-Undang Yang Mengawalselia Hal Ehwal Peguam Syarie

Pada masa kini, undang-undang yang terpakai bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari aspek kemasukan, kelayakan dan hal tatatertib adalah ditentukan oleh kaedah-kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri. Negeri-negeri yang mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan tersebut adalah seperti berikut;

1. Selangor – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008

2. Wilayah Persekutuan – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993

3. Melaka – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1989

4. Johor – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1982

5. Perak – Kaedah-Kaedah Peguam Syariah 1980

6. Pulau Pinang – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1997

7. Perlis – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1991

8. Pahang – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1995

9. Kedah – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1988

10. Terengganu – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1986

11. Sarawak – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1992

12. Kelantan – Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983

Namun terdapat dua (2) buah negeri yang masih tidak mempunyai kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang seumpamanya iaitu Negeri Sembilan dan Sabah. Oleh itu, hal ehwal berkaitan Peguam Syarie ini hanya dikawal secara pentadbiran oleh satu jawatankuasa majlis sesuatu negeri atau perkara ini ditentukan oleh Ketua Hakim Syarie Kepeguaman Syarie Di Malaysia 10

Negeri berdasarkan peruntukan umum yang terkandung di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

b. Kelemahan

Akibat daripada ketidakseragaman ini mengakibatkan perbezaan atau tidak keseragaman dalam aspek kelayakan, penerimaan masuk serta tatatertib Peguam Syarie di seluruh negara. Perbezaan ini mengundang beberapa kelemahan dan masalah. Masalah-masalah yang dikenal pasti adalah seperti berikut:-

i) Pengantungan Kelayakan Akademik.

Di beberapa negeri, sesiapa yang ada ijazah Syariah semata-mata tidak melayakkan seseorang itu menjadi Peguam Syarie di mana mereka masih memerlukan memiliki Diploma di dalam bidang-bidang Amalan Guaman Syarie. Manakala di beberapa negeri lain, Diploma ini tidak diperlukan. Mereka boleh melayakkan diri diterima masuk sahaja sebagai Peguam Syarie. Di Pulau Pinang, pemegang ijazah Syariah tidak memadai untuk diterima masuk sahaja Peguam Syarie tanpa mempunyai kelulusan dari dalam undang-undang sivil. Ini menunjukkan setiap negeri mempunyai perbezaan di dalam mengiktiraf kelayakan-kelayakan akademik tertentu untuk menjadi Peguam Syarie.

ii) Perbezaan Dalam Tatacara Penerimaan Masuk Di Setiap Negeri.

Hal ini ditentukan oleh undang-undang sesebuah negeri dan proses penerimaan masuk sesebuah negeri tersebut. Sesetengah negeri tidak mempunyai kaedah peguam syarie yang khusus. Oleh itu, undang-undang yang terpakai adalah sesebuah bahagian, berdasarkan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri sebagai contoh, negeri Sabah dan Negeri Sembilan. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 11

iii) Proses Permohonan dan Penerimaan Masuk.

Terdapat perbezaan di antara negeri-negeri dalam proses penerimaan masuk. Terdapat negeri-negeri yang menetapkan proses penerimaan masuk ini dibuat ke Majlis Agama Islam Negeri, seperti apa yang berlaku di Terenggganu, Pahang dan Pulau Pinang. Manakala negeri-negeri lain meletakkan proses penerimaan masuk ini dibuat di mahkamah syariah negeri-negeri. Berbeza di negeri Johor, setiap permohonan penerima masuk dibuat kepada Setiausaha Bahagian undang-undang Jabatan Agama Negeri Johor.

iv) Peruntukan dan Prosedur Tatatertib

Terdapat negeri-negeri yang mempunyai peruntukan berhubung tindakan tatatertib terhadap peguam syarie yang terdapat di dalam kaedah-kaedah peguam syarie. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai kaedah-kaedah Peguam Syarie, tiada sebarang peruntukan terhadap tindakan tatatertib ini.

v) Bayaran Penerimaan Masuk

Dari segi pembayaran masuk sebagai peguam syarie, wujudnya perbezaan dari segi jumlah bayaran serta di mana bayaran itu dilakukan. Sesetengah negeri meletakkan bayaran terima masuk peguam syarie di bawah Majlis Negeri-Negeri dan ada juga bayaran dibuat terus kepada Mahkamah Syariah Negeri. Terdapat juga ngeri-negeri yang menetapkan bayaran-bayaran peguam syarie dibuat kepada pengarah Jabatan Agama Islam Negeri seperti yang berlaku di negeri Johor di mana bayaran terima masuk ditetapkan kepada pengarah Jabatan Agama Negeri Johor. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 12

vi) Tiada Kod Etika Yang Teratur

Ketidakseragaman kaedah yang mengawal terutama sekali dari sudut tingkah laku dan etika peguam, seringkali menimbulkan tohmahan terhadap tindakan dan tingkah laku mereka. Ini juga boleh menimbulkan keadaan di mana keangkuhan seseorang peguam syarie yang telah diambil tindakan di sesebuah negeri akibat daripada pelanggaran etika untuk moral, masih boleh melepaskan diri dengan berperoleh dan beramal di negeri lain serta memungkinkan orang tersebut megulangi kesalahan yang sama.

c. Kesan Terhadap Integriti Dan Imej Peguam Syarie

Perbezaan dan ketidakaturan sistem dan tahap kelayakan yang diperuntukkan di dalam peraturan dan kaedah di negeri-negeri tertentu boleh menjurus kepada perbezaan tahap kebolehan dan kualiti peguam-peguam syarie di antara dua buah negeri yang memperuntukkan syarat kelayakan berbeza, contohnya ada negeri yang menetapkan seorang peguam syarie mendapat latihan amali tertentu dan ada yang tidak.

Perkara ini juga boleh menimbulkan gambaran di golongan orang awam, terutama yang menggunakan khidmat Peguam Syarie membandingkan antara dua orang Peguam Syarie yang beramal di negeri yang berbeza. Kalangan orang awam ini yang juga menjadi pengguna perkhidmatan Mahkamah Syariah akan hilang keyakinan kepada Mahkamah Syariah di negeri tertentu dan akan menukar permastautinan di negeri yang mereka mempunyai andaian lebih baik dari negeri yang lain. Keseluruhannya, orang awam akan sentiasa hilang keyakinan terhadap profession Peguam Syarie dan Mahkamah di negeri-negeri tertentu. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 13

KEPERLUAN PENYEGERAAN KEWUJUDAN AKTA GUAMAN SYARIE

Penggubalan Akta Guaman Syarie yang sedang berjalan sekarang ini adalah perlu bagi menaiktaraf profesionalisme di kalangan Peguam Syarie di Malaysia ini. Bagi menjadikan profesion Peguam Syarie sebaris dengan rakan mereka Peguam Sivil yang mempunyai akta khusus mereka sendiri iaitu Akta Profesion Undang-Undang, 1976. Justeru, Akta Profesion Guaman Syarie ini adalah amat diperlukan bagi Peguam Syarie agar dapat mengawalselia serta memantau Peguam Syarie daripada pelbagai sudut.

Dengan adanya Akta tersebut maka pelbagai kebaikan yang akan diperolehi, antaranya adalah;

1. MENYERAGAMKAN KAEDAH PENERIMAAN MASUK PEGUAM SYARIE

Melihat sahaja daripada sudut penerimaan masuk yang dilaksanakan oleh setiap negeri adalah berbeza memberi kesukaran terhadap peguam syarie yang perlu memohon pada setiap negeri mengikut kepada sistem dan syarat yang berlainan. Ini bermakna dengan kewujudan 14 buah negeri, maka memerlukan 14 kali permohonan. Ini sebenarnya bukan sahaja menyukarkan Peguam Syarie untuk beramal, malah mengelirukan masyarakat sekiranya ingin membuat tuntutan kes di negeri yang berlainan.

Sebagai contoh, sekiranya pihak-pihak berada di dua negeri yang berbeza, maka mereka perlu mendapatkan Peguam yang mempunyai tauliah di kedua-dua negeri tersebut atau menggunakan khidmat dua orang Peguam Syarie yang berbeza dan sedikit sebanyak akan menimbulkan masalah kepada pihak yang terlibat.

Terdapat beberapa negeri seperti negeri Selangor contohnya, menetapkan bahawa pemohon dikehendaki memiliki Diploma Lanjutan Amalan Syariah atau setaraf sebelum dibenarkan untuk memohon sijil amalan di negeri tersebut. Sedangkan pemohon tersebut telah memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dan kadangkala subjek yang terdapat di dalam Kepeguaman Syarie Di Malaysia 14

silibus diploma lanjutan tersebut telahpun dipelajari di peringkat sarjana muda. Penetapan ini seringkali menjadi keluhan kepada bakal-bakal peguam syarie yang baru kerana setelah berhempas pulas selama tiga (3) hingga empat (4) tahun, kemudiannya perlu pula menyambung ke peringkat diploma lepasan Ijazah semata-mata untuk memenuhi syarat yang ditetapkan.

Seharusnya cara penerimaan masuk ini diseragamkan serta dipermudahkan memandangkan profesion Peguam Syarie kini telah berkembang seiring dengan perkembangan kes-kes di Mahkamah Syariah yang semakin rumit dan pelbagai.

Maka dengan itu, penubuhan Akta Profesion Guaman Syarie adalah amat diperlukan untuk mengawal selia serta memantau profesion Peguam Syarie di Negara ini sekaligus kaedah pemilihan dan terima masuk peguam syarie dapat diselaraskan dan diseragamkan supaya tidak bersifat menganiaya bakal-bakal Peguam Syarie di negara ini.

2. KEWUJUDAN MAJLIS PEGUAM SYARIE

Penubuhan Akta Guaman Syarie ini juga, maka akan terbentuk pula satu majlis yang akan menjaga kebajikan dan mengawalselia Peguam Syarie melalui Majlis Peguam Syarie Malaysia. Majlis ini turut berperanan sepertimana Majlis Peguam Malaysia yang di tubuhkan di bawah Undang-undang 1976, contohnya melevi yuran daripada Peguam Syarie yang telah diterima masuk dalam sesuatu tahun mengikut kadar yang ditetapkan, melantik jawatankuasa-jawatankuasa bagi maksud yang munasabah oleh Majlis Peguam Syarie Malaysia, mengadakan kemudahan-kemudahan, memaju dan menjaga kepentingan Peguam Syarie yang menjadi anggota Majlis Peguam Syarie Malaysia dan sebagainya

Dengan kewujudan Akta ini juga, kedudukan dan martabat Peguam Syarie dapat ditingkatkan sebagai pihak yang penting dalam melicinkan perjalanan proses keadilan di Kepeguaman Syarie Di Malaysia 15

Mahkamah. Taraf Profesion Peguam syarie juga akan lebih dimuliakan setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil yang dikawal selia di bawah Akta Profesion Undang-undang, 1976. Apabila wujudnya dan dikuatkuasakan Akta itu, maka Majlis Peguam Syarie turut boleh ditubuhkan yang bertujuan mengawal selia pengeluaran sijil amalan untuk setiap negeri, menjaga rekod peguam syarie, memastikan penerimaan masuk peguam syarie yang selaras serta dapat menjaga kebajikan ahli seperti sahabat mereka Peguam Sivil.

3. KEBAJIKAN PEGUAM SYARIE TERPELIHARA

Dengan kewujudan Majlis Peguam Syarie yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dan mengawalselia Peguam Syarie dan dengan itu kebajikan mereka akan terjaga. Contohnya dalam melevi yuran daripada Peguam Syarie yang telah diterima masuk dalam sesuatu tahun mengikut kadar yang ditetapkan, melantik jawatankuasa-jawatankuasa bagi maksud yang munasabah oleh Majlis Peguam Syarie Malaysia, mengadakan kemudahan-kemudahan, memaju dan menjaga kepentingan Peguam Syarie yang menjadi anggota Majlis Peguam Syarie Malaysia dan sebagainya.

4. TATATERTIB DAN DISIPLIN PEGUAM SYARIE DAPAT DIKAWAL

Pada masa kini, kebanyakan negeri hanya mempunyai kaedah-kaedah Peguam Syarie negeri dan ianya hanya mengandungi cara perlantikan Peguam Syarie sahaja serta tidak mengandungi perkara yang berkaitan dengan tatatertib dan disiplin seorang Peguam Syarie.

Situasi ini sebenarnya menyebabkan jika terdapat Peguam Syarie yang melanggar etika Peguam Syarie ataupun melakukan sesuatu perkara yang tidak wajar seperti menipu anakguam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj yang tidak munasabah dan Kepeguaman Syarie Di Malaysia 16

sebagainya, tidak ada badan tertentu mempunyai kredibiliti untuk mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap Peguam Syarie terbabit. Rentetan daripada itu, ianya akan menyebabkan segelintir Peguam Syarie dengan bebas melakukan kesalahan tanpa diambil sebarang tindakan dan seterusnya menjejaskan imej Peguam Syarie.

Pada masa ini, ada negeri-negeri di Malaysia tidak mempunyai Enakmen khas berkaitan Profesion Guaman Syarie. Kebanyakan negeri hanya mempunyai kaeda-kaedah peguam syarie negeri hanya mengandungi cara perlantikan peguam syarie sahaja dan tidak mengandungi perkara berkaitan dengan tatatertib dan disiplin seorang peguam syarie.

Bermakna, sekiranya terdapat Peguam Syarie yang terbabit dengan salah laku serta melakukan sesuatu perkara yang tidak wajar seperti menipu anakguam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah dan sebagainya, tidak ada badan tertentu mempunyai kredibiliti untuk mengambil tindakan terhadap Peguam Syarie yang terbabit. Ini sekaligus menyebabkan segelintir Peguam Syarie dengan bebas melakukan kesalahan dengan sewenang-wenangnya tanpa diambil sebarang tindakan dan akan menjejaskan imej Peguam Syarie.

Oleh yang demikian, dengan kewujudnya Akta Profesion Guaman Syarie yang mengandungi “Amalan, Etika, Kelakuan dan Disiplin Profesion Guaman Syarie” tersebut nescaya ianya dapat membantu pelanggan membawa kes salah laku Peguam Syarie kerana badan ini akan mempunyai kredibiliti untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Peguam terbabit.

Di bawah bahagian tersebut, setiap Peguam Syarie akan dikawal selia daripada segi perjalanan akaunnya, bayaran-bayaran yang ditetapkan, etika sebagai seorang Peguam Syarie dan cara penggantungan seseorang Peguam Syarie dari menjalankan tugasnya sebagai seorang Peguam Syarie kerana melakukan sesuatu kesalahan di bawah Akta. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 17

Di bawah Akta setiap Peguam Syarie akan dikawal selia dari segi:

Laporan akauntan bagi tujuan pembaharuan Sijil Amalan Tahunan;

Tindakan sengaja Peguam Syarie yang bertindak sebagai ejen;

Wang kena dibayar kepada anak guam;

Tindakan yang boleh di ambil terhadap Peguam Syarie yang bersalah;

Cara penggantungan Peguam Syarie daripada menjalankan amalan;

Cara mengambil dokumen yang masih dalam milikan Peguam Syarie bagi tujuan sesuatu aduan yang dikemukakan kepada Majlis Peguam Syarie;

Cara mengambil harta dalam milik Peguam Syarie jika dia seorang bankrap yang belum dilepaskan;

Kebertanggungan wakil diri seseorang Peguam Syarie atas perbuatan-perbuatan Peguam Syarie itu; dan

Tatacara sesuatu aduan yang hendak dibuat terhadap seseorang Peguam Syarie atau pelatih.

Dengan kewujudan Akta Profesion Guaman Syarie di peringkat Persekutuan, maka ianya akan memudahkan masyarakat umum yang ingin menggunakan khidmat guaman di Mahkamah Syariah kerana seseorang yang telah melantik Peguam Syarie tidak perlu untuk melantik Peguam Syarie yang berlainan untuk menjalankan kes di negeri yang berlainan. Berbanding dengan masa kini yang mahu atau tidak, seseorang yang telah melantik Peguam Syarie, perlu melantik peguam yang lain sekiranya peguam yang dilantik tidak mempunyai pentauliahan bagi negeri yang lain.

5. MENINGKATKAN TAHAP PROFESIONALISME PEGUAM SYARIE

Kewujudan Akta Guaman Syarie adalah merupakan cita-cita seluruh Peguam Syarie yang ada di negara ini. Kewujudan Akta Guaman Syarie serta Majlis Peguam Syarie secara tak Kepeguaman Syarie Di Malaysia 18

langsung akan meninggikan kedudukan Peguam Syarie seperti mana rakan sejawat mereka di guaman sivil.

Terdapat dua jenis Peguam Syarie dari sudut kelayakan mereka untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie. Pertama Peguam Syarie yang berkelulusan Syariah dan satu lagi Peguam Syarie yang telah diterima masuk sebagai Peguambela Peguam cara. Terdapat keadaan berbeza di mana Peguam Syarie yang bukan lepasan undang-undang tidak boleh beramal di Mahkamah Sivil tetapi Peguam Sivil yang mempunyai lesen Peguam Syarie, boleh pula beramal di Mahkamah Syariah.

Peguam Sivil tertakluk kepada Akta Profesion Guaman 1976. Dalam Seksyen 3 dan 11 menyatakan bahawa orang berkelayakan yang boleh diterima sebagai Peguam bela dan Peguam cara antaranya adalah lepasan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya, Universiti Malaya di Singapura, Universiti Singapura atau Universiti Kebangsaan Singapura; seorang barrister-at-law England; atau orang yang mempunyai apa-apa kelayakan lain sebagaimana yang diisytiharkan oleh Lembaga melalui pemberitahuan dalam Warta, berumur 18 tahun ke atas, berkelakuan baik, tidak diisytiharkan bankrap dan lain-lain.

Ini menunjukkan Akta ini tidak mengiktiraf Peguam Syarie yang mendapat kelulusan Syariah dari mana-mana Institut Pengajian Tinggi tempatan untuk diterima sebagai Peguam bela dan Peguam Cara. Ini memberi kesan sehingga kepada Peguam Syarie tidak boleh diterima sebagai rakan kongsi dan tidak dianggap Peguam yang boleh diletak namanya di dalam ‘letter head’ firma guaman Peguam Sivil. Perbezaan ketara ini menampakkan bagaimana secara langsung dan tidak langsung kedudukan Peguam Syarie yang tidak dianggap setara dengan rakan mereka Peguam Sivil. Kepeguaman Syarie Di Malaysia 19

KESIMPULAN

Peguam Syarie adalah seseorang yang menjadi peguam membela anak guamannya di Mahkamah Syariah di dalam kes-kes yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa. Bidangkuasa ini merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia yang telah meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan segala hal-hal berkaitan dengan agama Islam adalah terletak di bawah negeri masing-masing. Bidangkuasa yang diperuntukan adalah terhad memfokuskan terhadap undang-undang diri serta undang-undang keluarga Islam.

Dari sudut jenayah pula, bidangkuasa jenayah juga terhad sebagaimana yang diperuntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah), 1988 yang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat dengan jenayah syariah iaitu denda tidak melebihi RM5,000.00, penjara tidak melebihi 3 tahun serta sebatan tidak melebihi 6 kali sebatan.

Di Malaysia, terdapat dua jenis Peguam Syarie dari sudut kelayakan mereka untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie. Pertama Peguam Syarie yang berkelulusan Syariah dan satu lagi Peguam Syarie yang telah diterima masuk sebagai Peguambela Peguam cara. Terdapat keadaan berbeza di mana Peguam Syarie yang bukan lepasan undang-undang tidak boleh beramal di Mahkamah Sivil tetapi Peguam Sivil yang mempunyai lesen Peguam Syarie, boleh pula beramal di Mahkamah Syariah.

Oleh itu skop kerja bagi Peguam Syarie yang hanya berkelululusan syariah adalah terhad berbanding rakan-rakan Peguam Syarie yang telah diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.

Tambahan pula dari sudut perundangan di Malaysia tiada Akta khusus yang seragam bagi Peguam Syarie. Justeru, Akta Guaman Syarie adalah merupakan cita-cita seluruh Peguam Syarie yang ada di negara ini. Kewujudan Akta Guaman Syarie serta Majlis Peguam Syarie Kepeguaman Syarie Di Malaysia 20

secara tak langsung akan meninggikan kedudukan Peguam Syarie seperti mana rakan sejawat mereka di guaman sivil.

Akta yang dicadang akan menyeragamkan tahap kebolehan dan intergriti Peguam Syarie seluruh Malaysia dan diharap dapat memberi keyakinan kepada orang awam apabila mengguna khidmat Peguam Syarie dalam tindakan di Mahkamah Syariah. Dengan peubahan-perubahan yang ingin dilakukan, seharusnya akan memberikan satu lembaran baru kepada Peguam Syarie di Malaysia serta dapat memartabatkan dan meletakan Peguam Syarie ini seiring dengan Peguam Sivil.

Apabila wujudnya Akta Profesion Guaman Syarie ini, maka semua pengamal-pengamal undang-undang yang mahu menjadi Peguam Syarie akan diterima masuk melalui satu badan khusus yang akan diwujudkan oleh Akta iaitu Lembaga Peguam Syarie yang berperanan sebagai bagi mengadakan cara-cara seseorang untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie di Malaysia.

Dengan adanya Akta Profesion Guaman Syarie Malaysia juga akan mewujudkan Majlis Peguam Syarie yang sama seperti Majlis Peguam Malaysia dibawah Akta Profesion Undang-udang 1976 dan akan mengimbangi pandangan Majlis Peguam Malaysia yang pada selalunya tidak berpihak kepada Islam serta membantu Majlis Raja-raja mempertahankan Islam setiap masa.

28/10/2014 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: